backup og meta

Hepatitis C, Pembunuh Senyap Penduduk Dunia: 6 Cara Bagaimana Anda Boleh Dijangkiti

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 24/06/2020

    Hepatitis C, Pembunuh Senyap Penduduk Dunia: 6 Cara Bagaimana Anda Boleh Dijangkiti

    Hepatitis C adalah sejenis penyakit keradangan hati akibat daripada jangkitan virus Hepatitis C.

    Apa yang mungkin kurang diketahui oleh khalayak ramai adalah virus ini tergolong dalam keluarga virus Flaviviridae, keluarga virus yang sama dengan virus-virus seperti virus Denggi dan juga virus Zika. Terdapat 7 jenis genotaip untuk virus ini dan taburan genotaip-genotaip virus ini berbeza mengikut kumpulan berisiko dan juga geografi.

    Hepatitis C mampu menyebabkan jangkitan akut dan juga jangkitan kronik. Untuk jangkitan virus Hepatits yang akut, lazimnya tiada simptom atau tanda-tanda yang berlaku. Hanya dalam kes-kes yang cukup jarang berlaku sahaja, ianya mampu menyebabkan keadaan kesihatan yang mengancam nyawa. Setelah dijangkiti, sekitar 15 hingga 45% daripada mereka yang telah dijangkiti akan menghapuskan virus ini secara spontannya dalam tempoh 6 bulan walaupun tidak mendapat sebarang rawatan.

    Malangnya, untuk 60 hingga 80% daripada mereka yang tidak berjaya untuk menghapuskan virus ini melalui tindak balas sistem imun mereka, mereka akan menghidap jangkitan Hepatitis C yang kronik. Sepanjang tempoh jangkitan yang kronik ini, kebanyakan penghidap tidak akan perasan sebarang simptom atau tanda. Apabila digabungkan faktor kurangnya kesedaran terhadap Hepatitis C dan ketidakwujudan simptom dalam diri penghidap, mereka yang telah dijangkiti akan tidak terdorong untuk mendapatkan sebarang ujian saringan apatah lagi rawatan.

    Akibatnya, daripada kumpulan penghidap jangkitan kronik ini, mereka terdedah kepada risiko untuk menghidap sirosis hati dan juga kanser hati. Ini bermakna, penghidap jangkitan kronik Hepatitis C hanya akan menyedari perubahan, simptom dan tanda bahawa mereka telah dijangkiti apabila telah berlakunya komplikasi. Dianggarkan, risiko penghidap jangkitan kronik untuk mendapat komplikasi adalah sekitar 15 hingga 30% dalam tempoh masa 20 tahun.

    Beban penyakit Hepatitis C

    Taburan Hepatitis C bersifat tidak diskriminatif kerana ianya boleh dijumpai di seluruh pelusuk dunia, merentasi perbezaan geografi, iklim dan juga budaya. Namun yang demikian, menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kawasan yang didapati paling teruk terkesan akibat daripada virus ini adalah kawasan Timur Mediterranean (dengan kadar prevalens sebanyak 2.3%) dan juga kawasan Eropah (dengan kadar prevalens sebanyak 1.5%).

    Menurut WHO lagi, terdapat sekitar 71 juta penduduk dunia yang sedang menghidap jangkitan Hepatitis C yang kronik. Sejumlah besar daripada bilangan ini akan mendapat komplikasi seperti kerosakan hati dan kanser hati dan dianggarkan sekitar 399,000 manusia meninggal dunia setiap tahun akibat daripada penyakit Hepatitis C, dengan majoritinya meninggal akibat komplikasi Hepatitis C.

    Buat masa kini, tidak ada sebarang vaksin yang wujud untuk mencegah penyakit ini. Rawatan yang berada di pasaran sedia ada mampu untuk menyembuhkan kira-kira 95% daripada keseluruhan mereka yang telah dijangkiti oleh virus Hepatitis C, dengan kadar keberkesanan yang berbeza mengikut genotaip. Namun yang demikian, rawatan yang cukup berharga ini digenggam erat oleh syarikat farmeseutikal kapitalis, menyebabkan akses kepada rawatan menjadi sangat terhad.

    Malaysia dan Hepatitis C

    Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, terdapat sekitar 450,000 rakyat Malaysia yang kini dijangkiti dengan virus Hepatitis C, dan ianya adalah beban yang besar kepada kesihatan awam. Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil tindakan untuk menggunakan lesen kegunaan kerajaan ke atas ubat ‘Sofosbuvir’. Ubat Sofosbuvir adalah ubat yang didapati paling berkesan dalam merawat jangkitan Hepatitis C, dan (dengan gabungan rawatan yang sedia ada) ianya mampu untuk menghasilkan kadar kesembuhan setinggi 95%.

    Tindakan KKM ini disokong oleh rakyat dan juga badan-badan tidak berkeuntungan yang lain. Salah satu daripada badan tidak berkeuntungan terkenal yang menyatakan sokongan mereka ke atas tindakan murni KKM ini adalah pertubuhan Doctors Without Borders (MSF), yang telah menghantar sepucuk surat sokongan pada bulan Februari yang lalu kepada KKM. Penggunaan lesen kegunaan kerajaan ini akan menyebabkan Malaysia mampu untuk menawarkan rawatan yang terbaik kepada rakyatnya pada harga yang jauh lebih rendah. Sebagai perbandingan, syarikat Gilead yang memegang paten penghasilan ubat ini dikatakan menjual ubat Sofosbuvir ini pada harga RM4,000 untuk satu pil (USD 1,000), dan untuk tempoh rawatan selama 12 minggu bersama ubat lain, kos keseluruhan mampu mencapai nilai RM336,000 (USD 84,000). Sekiranya kerajaan Malaysia berjaya untuk membolehkan syarikat penghasilan ubatan generik dari Mesir atau India untuk menghasilkan ‘sofosbuvir’ yang generik, kos rawatan untuk 12 minggu boleh dikurangkan kepada serendah RM480 sahaja (USD 120).

    Namun yang demikian, tindakan yang mulia daripada KKM ini bukanlah tanpa tentangannya – sebagai tindak balas, Badan Kajian Farmaseutikal dan Penghasilan Amerika (PhRMA) telah menghantar surat kepada Badan Perwakilan Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) untuk meletakkan Malaysia dalam laporan 301 sebagai Negara Asing Keutamaan (Priority Foreign Country). Laporan 301 adalah laporan yang menyemak sebarang bentuk halangan ke atas hak milik intelek, hak cipta terpelihara, paten dan tanda dagangan (Trademarks) syarikat-syarikat kapitalis Amerika dalam memperdagangkan produk mereka ke negara luar. Laporan ini diberi nama sempena syeksyen 301 dalam Akta Perdagangan tahun 1974 dalam perundangan Amerika Syarikat.

    PhRMA, melalui surat yang dihantar kepada USTR, mencadangkan agar Malaysia diletakkan dalam senarai Negara-Negara Asing Keutamaan, iaitu satu pengkelasan terburuk untuk negara-negara yang gagal memberikan perlindungan yang cukup dan efektif ke atas hak cipta terpelihara dan harta intelek. Sekiranya Malaysia tersenarai dalam senarai ini, Malaysia berdepan kemungkinan sekatan ekonomi daripada Amerika Syarikat yang akan menjejaskan lebih banyak aspek perdagangan dan diplomatik antara dua negara ini.

    Bagaimana Anda Boleh Dijangkiti?

    Anda boleh dijangkiti melalui pelbagai cara namun cara utama jangkitan virus ini tersebar dalam negara membangun adalah melalui perkongsian jarum dalam pengambilan atau penyalahgunaan dadah intravena. Dalam negara kurang membangun pula, kaedah penyebaran utama dalah melalui transfusi darah dan prosedur kesihatan yang tidak bersih atau selamat.

    Berkongsi Jarum Dalam Penyalahgunaan Dadah Intravena

    Merentasi 77 negara, penilaian profil jangkitan virus ini mendapati bahawa terdapat 25 negara mempunyai prevalens tinggi (antara 60 hingga 80%) jangkitan virus ini dalam golongan pengguna dadah intravena. Bahkan, terdapat 12 lagi negara lain yang mempunyai kadar prevalens yang jauh lebih tinggi, melebihi 80%. Dipercayai bahawa 10 juta keseluruhan pengguna dadah intravena menghidap jangkitan Hepatitis C, dengan 3 negara yang paling banyak adalah China (1.6 juta), Amerika Syarikat (1.5 juta) dan juga Rusia (1.3 juta).

    Pendedahan Akibat Prosedur Kesihatan

    Prosedur-prosedur seperti transfusi darah, transplantasi organ (khususnya tanpa saringan untuk virus ini) membawa risiko jangkitan yang tinggi. Mereka yang mengalami kecederaan atau kemalangan yang membabitkan jarum tajam daripada sampel mereka yang menghidap jangkitan ini mempunyai risiko untuk dijangkiti sebanyak 1.8%. Risikonya adalah jauh lebih tinggi jika jarum itu tertusuk dengan lebih dalam.

    Dengan saringan universal, risiko transmisi jangkitan dalam sektor kesihatan dapat dikurangkan kepada paras yang paling minima. Sungguhpun begitu, di bahagian dunia yang tertentu, mereka masih lagi tidak mampu untuk mengambil langkah saringan universal yang mencukupi dan efektif, menyebabkan risiko jangkitan adalah lebih tinggi.

    Hubungan Seks

    Sedikit memeranjatkan tentang kaedah ini adalah transmisi virus Hepatitis C melaluinya adalah rendah dan agak jarang berlaku. Kajian dalam pasangan heteroseksual (dengan satu pasangan telah dijangkiti) mendapati kadar jangkitan adalah sangat rendah. Sungguhpun begitu, tabiat seks penetratif yang berisiko tinggi, seperti seks anal, mempunyai risiko jangkitan yang lebih tinggi.

    Modifikasi Badan

    Amalan bertatu dikaitkan dengan risiko jangkitan sebanyak 2 hingga 3 kali ganda. Ini boleh disebabkan oleh peralatan tatu yang tidak disterilkan atau dicuci dengan baik dan juga perwarna yang telah tercemar akibat dikongsi dalam satu bekas atau tiub yang sama. Selain tatu, amalan bertindik juga mempunyai risiko yang tinggi khususnya yang dilakukan oleh pusat yang tidak profesional atau mereka yang tidak terlatih.

    Berkongsi Alat Kebersihan Diri

    Barang kebersihan diri peribadi seperti pisau cukur, berus gigi dan juga pewarna kuku berupaya untuk dicemari dengan sampel darah yang telah dijangkiti daripada pengguna sebelumnya. Justeru, perkongsian alatan seperti ini mampu untuk mengakibatkan penyebaran jangkitan. Perkongsian pisau cukur lazimnya berlaku di tempat gunting rambut murah yang tidak mempraktikan kebersihan dan sebaliknya, menggunakan semula pisau cukur yang sama untuk beberapa pelanggan bagi menjimatkan kos operasi mereka. Penting untuk diingatkan bahawa jangkitan virus ini tidak berlaku melalui pelukan, ciuman mahupun perkongsian sudu dan garfu.

    Transmisi Daripada Ibu Kepada Anak

    Transmisi melalui kaedah ini berlaku dalam kurang daripada 10% keseluruhan kandungan. Apa yang masih tidak diketahui adalah di tempoh manakah transmisi itu berlaku (semasa mengandung, semasa bersalin atau kedua-duanya). Proses bersalin yang panjang dikaitkan dengan peningkatan risiko untuk mendapat jangkitan virus ini. Walaupun tiada bukti saintifik yang mengatakan menyusu badan mampu untuk menyebarkan jangkitan, langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan kemungkinan berlakunya penyebaran khsususnya jika puting payudaranya merekah atau berdarah.

    Apakah Simptom-simptom dan tanda-tanda Hepatitis C?

    Jangkitan Akut

    Seperti yang telah dibincangkan, jangkitan akut jarang menghasilkan sebarang simptom atau tanda. Sekiranya ada, simptom yang berlaku adalah tidak serius, seperti kurang selera makan, rasa lesu dan lemah, sakit sendi dan otot yang tidak khusus, mual dan surut berat badan. Adalah sangat jarang untuk jangkitan akut menyebabkan kegagalan hati akut. Kesembuhan spontan lazimnya berlaku dalam kalangan orang muda dan juga wanita.

    Jangkitan Kronik

    Definisi jangkitan kronik adalah pengesanan replikasi virus dalam darah mereka walaupun setelah melepasi tempoh 6 bulan sekurang-kurangnya. Kebanyakan penghidap akan mengalami simptom yang minima atau tiada simptom pada 10 tahun pertama. Sungguhpun begitu, jangkitan kronik dikaitkan dengan kepenatan dan kelesuan kronik selain masalah kognitif yang lain. Komplikasi daripada jangkitan kronik adalah sirosis hati dan juga kanser hati. Dalam separuh daripada penghidap jangkitan kronik, perubahan lemak dalam hati didapati akan berlaku terlebih dahulu sebelum sirosis hati terjadi. Mereka yang menghidap sirosis hati terdedah kepada risiko 20 kali ganda untuk mendapat kanser hati.

    Sirosis hati juga menyebabkan jaundis (kekuningan kulit dan membran mukosa), hipertensi dalam vena portal, pengumpulan cecair dalam ruang-ruang abdomen (ascites), mudah bengkak dan bedarah, pendarahan dalam esofagus, perut dan anus.

    Komplikasi-Komplikasi Selain Hati

    Kegatalan – Toksin yang ada darah anda dan menyebabkan penyakit kuning juga boleh menyebabkan anda kegatalan. Anda mungkin merasakannya hanya di tangan dan kaki atau seluruh badan anda. Sesetengah orang mengatakan ia ada rasa gatal pada organ. Selain itu, rawatan untuk Hepatitis C juga boleh menyebabkan kulit kering dan gatal. Ia perlu perbincangan bersama doktor mengenai preskripsi ubat-ubatan. Manakala bagi perokok, dengan berhenti merokok boleh meredakan sesetengah kegatalan.

    Bintik-bintik darah (Purpura) – Pecahan merah atau ungu ini boleh sekecil seperti kepala pin atau sebesar setengah inci. Ia boleh menyakitkan atau gatal. Bagi orang yang mempunyai Hepatitis C, ruam biasanya merupakan simptom cryoglobulinemia. Ia adalah masalah pembuluh darah yang terjadi apabila protein dalam darah melekat semasa dalam cuaca sejuk. Ini akan menghalang aliran darah.

    Fenomena Raynaud – Sekiranya jari-jari anda menjadi putih atau biru dalam keadaan sejuk, itulah tanda-tanda anda mempunyai keadaan ini. Jari kaki, hidung atau telinga anda juga boleh terjejas. Ia berlaku apabila saluran darah menjadi kekejangan dalam keadaan sejuk, dan aliran darah menjadi perlahan. Anda mungkin berasa sakit, kebas dan kesemutan.

    Lichen planus – Penyakit ini muncul sebagai lebam yang biasanya bermula pada pergelangan tangan, tetapi boleh juga muncul di mana sahaja. Ia boleh menyebabkan luka-luka atau luka dalam mulut anda. Tiada faktor jelas yang menyebabkannya, tetapi kebanyakan mengalami planus lichen mempunyai Hepatitis C.

    Porphyria cutanea tarda (PCT) – Keadaan ini menyebabkan lepuh yang menyakitkan dan kulit rapuh yang menjadi lebih teruk apabila terdedah kepada cahaya matahari. Ia berlaku apabila protein dipanggil wujud porphyrins di hati, kemudian bergerak ke dalam aliran darah dan seterusnya ke kulit anda.

    Ujian saringan

    Satu-satunya cara untuk diagnosis awal hepatitis C adalah melalui ujian saringan. Ia adalah ujian mudah dengan mengesan kehadiran virus di dalam satu sampel darah yang diambil menggunakan picagari.

    Mereka yang perlu menjalani ujian saringan termasuk:

    • Pernah menjalani menerima darah atau organ sebelum tahun 1992. Kebanyakan darah tidak disaring sebelum tahun 1992.
    • Ibu bapa atau ahli keluarga menghidap hepatitis C.
    • Mereka yang berkongsi picagari seperti penagih dadah.
    • Mereka yang ingin menderma darah atau organ (hati).
    • Ibu mengandung digalakkan jika berisiko.

    Bagaimana Ianya Didiagnosis?

    Doktor akan memesan beberapa ujian untuk hepatitis C jika doktor mengesyaki anda berisiko tinggi. Ini akan membantu doktor memulakan rawatan atau mengesyorkan perubahan pada gaya hidup yang boleh melambatkan kerosakan pada hati. Bahkan, jangkitan hepatitis C kebiasaannya mula merosakkan hati dalam tempoh yang lama sebelum anda boleh melihat tanda dan simptomnya. Maka ini adalah langkah yang baik.

    Ujian darah untuk mendiagnosis hepatitis C adalah perlu untuk membantu memeriksa sama ada anda mengandungi virus hepatitis C, membantu mengukur kuantiti virus di dalam darah dan membantu menilai susunan genetik virus tersebut yang seterusnya membantu menentukan pilihan rawatan anda.

    Menguji sampel tisu hati mungkin diperlukan untuk membantu doktor menilai seteruk mana kerosakan pada hati. Sampel kecil dari tisu hati anda perlu diambil untuk ujian makmal. Biopsi hati boleh membantu menentukan keterukan penyakit dan memandu keputusan rawatan.

    Rawatan

    Rawatan utama yang menghasilkan kadar penyembuhan yang tinggi adalah rawatan yang berteraskan regim gabungan Sofosbuvir dan juga Ledipasvir. Sekiranya sirosis hati dan kegagalan hati telah berlaku, rawatan pilihan adalah untuk menjalani transplantasi hati. Pemindahan hati ialah pilihan yang diperlukan jika hati anda telah rosak dengan serius. Semasa pemindahan hati, hati anda yang rosak boleh dibuang dan diganti dengan hati yang sihat. Walau bagaimanapun, ini tidak bermaksud bahawa anda sudah pulih. Anda masih perlu mengambil ubat antiviral, kebiasaannya selepas pemindahan hati kerana jangkitan hepatitis C berkemungkinan berlaku pada hati baru tersebut.

    Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan berikut mungkin membantu dalam melengkapkan rawatan anda:

    1. Berhenti minum alkohol.
    2. Elakkan ubat-ubatan yang boleh merosakkan hati.
    3. Bantu mengelakkan orang lain dari bersentuh dengan darah anda dengan membalut luka yang anda ada dan dengan tidak berkongsi pencukur atau berus gigi.
    4. Jangan menderma darah, organ atau air mani dan sila beritahu pekerja kesihatan yang anda mengandungi virus ini.

    Sekiranya anda tidak pasti akan status anda atau pernah terdedah kepada mana-mana kaedah transmisi jangkitan virus ini, segeralah berjumpa dengan doktor di klinik-klinik kesihatan berdekatan anda. Di Malaysia, kita beruntung kerana mempunyai sistem saringan yang murah, mudah dan disambungkan terus dengan rawatan yang efektif dan mampu milik. Ini adalah servis yang tidak dinikmati di kebanyakan negara justeru manfaatkanlah kelebihan ini demi kesihatan kita dan orang yang kita sayangi.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 24/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan