home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Penyakit Kelamin Klamidia Dalam Kalangan Lelaki, Boleh Terjadi Ke? Apa Tanda-Tandanya?

Penyakit Kelamin Klamidia Dalam Kalangan Lelaki, Boleh Terjadi Ke? Apa Tanda-Tandanya?

Klamidia merupakan salah satu penyakit kelamin yang agak sukar dilihat pada lelaki kerana bukan semua kaum Adam mempunyai simptom dan gejala yang sama.

Walau bagaimanapun, penyakit kelamin klamidia pada lelaki boleh dikenal pasti melalui tanda-tanda tertentu.

Teruskan membaca jika anda ingin tahu.

Apa itu penyakit kelamin klamidia?

klamidia

Chlamydia trachomatis adalah jangkitan penyakit kelamin (STI) yang biasanya berlaku disebabkan oleh bakteria kecil yang disebut chlamydia trachomatis.

Kadang-kadang, penyakit kelamin ini turut dikenali sebagai ‘jangkitan senyap’ kerana ia sering tidak menimbulkan gejala, atau hanya menunjukkan gejala yang ringan.

Anda mungkin tidak sedar menghidap klamidia kerana banyak orang tidak mempunyai tanda atau gejala, seperti kesakitan pada alat kelamin ataupun keluar cecair daripada zakar.

Ini bermaksud bahawa sekitar 25 hingga 50% orang lelaki yang menghidap klamidia tidak tahu bahawa mereka sedang memilikinya.

Chlamydia trachomatis kebiasaannya banyak menjangkiti para wanita, tetapi ia juga boleh berlaku pada lelaki tanpa mengira peringkat umur.

Antara gejala penyakit kelamin klamidia

Sebilangan besar orang yang menghidap klamidia tidak menyedari akan gejala-gejalanya.

Jangkitan chlamydia trachomatis pada peringkat awal boleh berlaku tanpa menunjukkan gejala yang jelas atau tidak mempunyai sebarang tanda langsung!

Simptom-simptom klamidia pada lelaki:

Anda boleh memerhatikan simptom-simptom di bawah ini bagi mengetahui sama ada telah dijangkiti penyakit kelamin klamidia ataupun tidak:

  • Terasa sakit ketika membuang air kecil
  • Keluar cecair berwarna keputihan, keruh atau berair pada hujung zakar
  • Rasa seakan-akan terbakar atau gatal di uretra (tiub yang membawa air kencing keluar dari badan)
  • Berasa sakit pada zakar
  • Berwarna kemerah-merahan atau rasa sakit pada lubang air kencing

Sekiranya klamidia tidak dirawat, jangkitan boleh menyebabkan pembengkakan pada epididimis (saluran yang membawa sperma dari testis).

Malahan, keadaan ini juga boleh mempengaruhi kesuburan anda serta menyebabkan masalah kesihatan yang lebih serius.

Komplikasi penyakit kelamin klamidia

Antara kesan komplikasi bagi mereka yang dijangkiti chlamydia trachomatis adalah:

#1 Penyakit radang pelvis (PID)

PID adalah jangkitan pada satu atau lebih organ reproduktif yang menyebabkan rasa sakit pada pelvis.

Jangkitan yang serius mungkin memerlukan anda untuk dibawa ke hospital bagi menjalani rawatan antibiotik.

#2 Jangkitan berhampiran testis (epididymitis)

Jangkitan klamidia boleh memberikan rasa terbakar pada tiub bergelung yang terletak di sebelah setiap testis (epididimis).

Jangkitan ini boleh mengakibatkan demam, sakit pada bahagian skrotum dan berlakunya pembengkakan.

#3 Jangkitan kelenjar prostat

Walaupun ia mungkin jarang berlaku, organisma klamidia dapat merebak ke kelenjar prostat lelaki.

Prostatitis boleh menyebabkan kesakitan semasa atau selepas hubungan seks, demam dan menggigil, kencing yang menyakitkan, serta sakit belakang.

#4 Artritis reaktif

Orang yang menghidap chlamydia trachomatis mempunyai risiko lebih tinggi untuk terkena artritis reaktif, juga dikenali sebagai sindrom Reiter.

Keadaan ini biasanya akan memberi kesan kepada sendi, mata dan uretra iaitu tiub yang membawa air kencing dari pundi kencing anda ke luar badan.

Bolehkah penyakit kelamin klamidia disembuhkan?

dapatkan rawatan klamidia

Ya, klamidia dapat disembuhkan dengan rawatan yang betul. Penting untuk anda mengambil semua ubat-ubatan yang ditetapkan oleh doktor dalam proses menyembuhkan jangkitan ini.

Jika anda komited dan melakukannya dengan betul, ia akan menghentikan jangkitan dan dapat mengurangkan kemungkinan anda bagi mengalami komplikasi lain di kemudian hari.

Namun begitu, jangkitan klamidia yang berulang adalah perkara biasa.

Anda harus menjalani ujian lagi kira-kira 3 bulan selepas dirawat, walaupun pasangan seks anda mungkin telahpun sembuh.

Langkah-langkah pencegahan daripada penyakit kelamin

Cara paling mujarab untuk mencegah daripada berlakunya jangkitan penyakit kelamin klamidia adalah dengan tidak melakukan aktiviti seksual namun itu adalah mustahil.

Oleh itu, bagi memastikan anda mengamalkan langkah-langkah pencegahan daripada dijangkiti penyakit kelamin, lakukan cara ini:

  • Gunakan kondom

Gunakan kondom lateks lelaki atau kondom poliuretana wanita semasa setiap hubungan seksual.

Kondom yang digunakan dengan betul akan mengurangkan risiko jangkitan.

  • Hadkan bilangan pasangan seks anda

Mempunyai ramai pasangan seks boleh menjadikan anda berisiko tinggi untuk dijangkiti klamidia dan penyakit kelamin yang lain.

  • Dapatkan pemeriksaan secara berkala

Sekiranya anda aktif secara seksual, terutamanya jika anda mempunyai banyak pasangan, berbincanglah dengan doktor mengenai berapa kerap anda perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. http://allgood.org.au/ms/mengenai/chlamydia/
  2. https://www.nhs.uk/conditions/chlamydia/symptoms/#:~:text=Symptoms%20in%20men,the%20tip%20of%20the%20penis
  3. https://www.cdc.gov/std/chlamydia/stdfact-chlamydia.htm
  4. http://www.myhealth.gov.my/chlamydia-2
  5. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/chlamydia/symptoms-causes/syc-20355349
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Nisreen Nadiah Disemak pada 20/09/2021
Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman