backup og meta

Anda Suka Body Shaming Individu Lain? STOP IT!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/03/2020

    Anda Suka Body Shaming Individu Lain? STOP IT!

    Sikap suka menyindir bentuk badan seseorang adalah 1 perbuatan yang selalu kita dengar berlaku. Tahukah anda, perbuatan tidak bermoral itu boleh menyebabkan keyakinan diri individu pudar?

    Body shaming di mana-mana

    Pernah tular di media sosial mengenai tindakan penyanyi dan pelawak, Mark Adam menyentuh berkenaan saiz badan pengacara sebuah realiti program, Sherry Alhadad yang dikatakan ‘besar’. Walaupun mungkin pada pelawak tersebut, apa yang dikatakan adalah dengan tujuan bergurau, tetapi hakikatnya perbuatan tersebut adalah dikategorikan sebagai ‘body shaming’. 

    Sejujurnya, tiada siapa yang suka jika diri diejek atau dihina. Apatah lagi kalau perbuatan itu dilakukan secara terbuka di hadapan individu lain. Boleh tebal muka dan hilang ‘mood’ apabila berdepan dengan situasi sebegitu. Rasa geram pasti membara di hati. Nak tahu apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan body shaming? Teruskan membaca perkongsian artikel ini.

    Sikap menyindir bentuk badan

    keyakinan diri

    Sebenarnya, dalam kehidupan seharian, kita selalu berdepan dengan situasi seperti ini. Cuma yang membezakan sama ada anda menyedari bahawa ia adalah satu perbuatan body shaming ataupun tidak. 

    Secara ringkasnya, body shaming atau menyindir bentuk badan ini adalah satu perbuatan sama ada mengkritik diri anda sendiri atau individu lain berkaitan dengan aspek penampilan diri yang cenderung mewujudkan satu kitaran penilaian diri yang tidak baik. 

    Pada sesetengah individu, perbuatan ini mungkin dilakukan atas niat untuk menjadikannya lebih baik tetapi wujud kesan sampingan yang boleh mengakibatkan masalah kesihatan mental yang serius, terutamanya apabila ia berkaitan dengan penampilan fizikal seseorang. 

    Perbuatan menyindir ini boleh terjadi dalam pelbagai cara, antaranya adalah:

  • Mengkritik penampilan diri seperti membandingkan diri dengan individu lain. Contohnya: “Saya tak cantik seperti dia”, “Tengoklah jendulkan dahi saya”
  • Mengkritik penampilan individu lain secara berdepan. Contohnya: “Besarnya paha awak, mesti susah nak cari baju yang cantik.”
  • Mengkritik penampilan individu lain di luar pengetahuan mereka. Contohnya: “Awak perasan tak tudung yang dia pakai hari ini? Selekeh sangat.”
  • menyindir-bentuk-badan-individu

    Tanpa mengira bagaimana anda mengatakannya, ia sering kali cenderung ke arah perbandingan dan menimbulkan rasa malu pada individu yang terlibat. Ini sekali gus membuatkan timbulnya idea bahawa setiap individu harus dihakimi dan dinilai berdasarkan ciri fizikal mereka.

    Atasi isu menyindir bentuk badan

    Kenal pasti individu positif

    Anda boleh mengenali individu yang mempunyai pemikiran yang positif mengenai perihal anggota badan. Kenali individu yang menghargai penampilan diri dan kekuatan yang mereka miliki. Luangkan masa bersama individu sebegini pastinya dapat membantu anda yang sering bergelut dengan isu sindiran ini untuk menjadi lebih positif.

    Meluahkan

    Apabila anda sudah mengenal pasti mengetahui perihal badan anda yang sering menjadi topik sindiran, anda mungkin akan menyedari berapa kerap individu di sekeliling melakukannya kepada anda. Luahkan kepada mereka. Bincangkan mengapa isu sebegitu mengganggu anda dan bantu mereka untuk melihat seandainya isu yang sama turut akan mengganggu dan menyakitkan hati mereka. 

    Kenali diri

    Segalanya adalah bermula dengan diri anda sendiri. Mula untuk mencari apa yang anda gemari tentang badan atau diri anda. Mungkin anda boleh melihat betapa cergasnya anda apabila sering bersenam, bukankah itu sesuatu yang bagus? Raikan diri anda setiap hari. 

    Menyindir bentuk badan perbuatan jenayah

    menyindir-bentuk-badan-individu

    Jika anda adalah individu yang suka mengejek individu lain media sosial? Mungkin sudah tiba masanya anda berhenti melakukan tabiat buruk tersebut. Kenapa?

    Ini kerana body shaming atau perbuatan menghina rupa fizikal seseorang dalam apa jua perkhidmatan aplikasi boleh didakwa di bawah Seksyen 233 (1)(b), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Hukuman yang mungkin disabitkan adalah denda RM50 ribu dan penjara setahun.

    Tingkatkan keyakinan diri

    Seperti isu-isu lain yang berlaku disebabkan buli, masalah menyindir bentuk badan akan sentiasa wujud dan hadir melainkan jika anda melihatnya dari sudut yang positif dan sihat.

    Perkara yang paling utama yang perlu anda lakukan adalah untuk menyayangi dan mencintai diri sendiri seadanya. Sentiasa tingkatkan keyakinan diri anda, okay?

    Biarkan sahaja sebarang komen atau kritikan negatif itu berlalu. Usah terlalu memikirkan tentangnya. Tak sakit pun kalau ada individu cakap negatif pasal kita. Anggap sahaja itu adalah tanda mereka cemburu dengan kita. Think positive, be positive!

    Kepada individu yang sering melakukan perbuatan body shaming ini, hentikanlah perbuatan tidak bermoral anda. Tiada manusia sempurna di dalam dunia ini. Belajar untuk menghormati individu lain jika anda ingin dihormati!

    Anda mungkin berminat untuk membaca artikel ini:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/03/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan