backup og meta

Penjagaan Zakar Lelaki Sangat Penting, Semak 5 Faktor Risiko Anda Boleh Terkena Barah Prostat

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 27/06/2021

    Penjagaan Zakar Lelaki Sangat Penting, Semak 5 Faktor Risiko Anda Boleh Terkena Barah Prostat

    Penulis ingin bertanya, adakah anda tahu faktor risiko kanser prostat? Teruskan pembacaan anda selanjutnya dalam artikel ini.

    Kanser prostat adalah kanser yang berlaku pada kelenjar prostat, yang mengandungi komponen cecair untuk air mani dan terletak di bawah pundi kencing. 

    Di peringkat global, kanser prostat merupakan kanser kedua paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki.

    Sementara dalam kalangan lelaki di Malaysia, kanser prostat merupakan kanser ke-4 paling kerap berlaku.

    Kebanyakan kes kanser prostat dilaporkan dalam lelaki dewasa berusia 60 tahun ke atas.

    Kejadian kanser prostat di Malaysia lebih rendah berbanding di negara-negara barat seperti Amerika Syarikat.

    Laporan tahun 2018 oleh WHO menganggarkan 9 daripada 100 000 orang lelaki didiagnosis dengan kanser prostat di Malaysia, berbanding 67.8 daripada 100 000 orang lelaki di Amerika Syarikat.

    faktor risiko kanser prostat

    Punca dan faktor risiko kanser prostat

    Faktor risiko kanser prostat adalah sesuatu yang meningkatkan kemungkinan seseorang mendapat kanser.

    Mempunyai faktor risiko tidak bermakna anda akan mendapat penyakit tersebut, sebaliknya anda lebih terdedah kepada kemungkinan mendapat penyakit tersebut berbanding orang yang kurang faktor risikonya.

    Ketiadaan faktor risiko juga bukan menjamin seseorang tidak akan mendapat sesuatu penyakit.

    Mengetahui faktor risiko membantu anda menjadi lebih berpengetahuan dalam penjagaan kesihatan dan membolehkan anda membuat pilihan gaya hidup sihat atau melakukan ujian saringan yang berkaitan.

    Berikut merupakan faktor risiko kanser prostat:

    1. Faktor risiko kanser prostat untuk lebih berusia 

    Faktor risiko kanser prostat bertambah dengan usia, terutamanya selepas usia 50-an. Lebih daripada 80% kanser prostat didiagnosis pada lelaki berusia 65 tahun atau lebih tua.

    Risiko menghidap kanser prostat meningkat bermula selepas usia 55 tahun dan paling kerap didapati berlaku sekitar usia 70-74 tahun.

    2. Ada penghidap kanser prostat dalam kalangan keluarga

    faktor risiko kanser prostat

    Kanser prostat yang berlaku dalam keluarga yang sama, yang disebut kanser prostat familial, berlaku kira-kira dalam 20% kes.

    Jenis kanser prostat ini berkembang kerana kombinasi genetik dan faktor persekitaran atau gaya hidup.

    Mempunyai ahli keluarga terdekat (adik beradik lelaki atau ayah) yang mengalami kanser prostat boleh meningkatkan risiko sebanyak 2 hingga 3 kali ganda.

    3. Bangsa/etnik

    Lelaki kulit hitam mempunyai risiko kanser prostat 60% lebih tinggi berbanding lelaki Kaukasian (kulit putih).

    Mereka juga lebih cenderung untuk megalami kanser prostat pada usia yang lebih awal dan mempunyai tumor yang lebih agresif dan tumbuh dengan cepat.

    Manakala lelaki Hispanik mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mendapat kanser prostat dan mati akibat penyakit ini berbanding lelaki kulit putih bukan Hispanik.

    Sebab yang tepat untuk perbezaan ini tidak diketahui dan mungkin melibatkan faktor genetik, sosioekonomi, atau lain-lain.

    4. Gaya hidup mempengaruhi kanser prostat

    Kaitan antara kanser prostat dan bangsa mungkin juga berkait rapat dengan gaya hidup.

    Kanser prostat berlaku paling kerap di negara barat dan semakin meningkat dalam kalangan lelaki Asia yang hidup di persekitaran bandar seperti Hong Kong, Singapura, Amerika Utara dan Eropah, terutamanya dalam kalangan mereka yang mempunyai gaya hidup kurang sihat.

    Sebagai contoh, kanser prostat dalam kalangan lelaki Jepun di Amerika adalah 43 kali ganda lebih tinggi berbanding lelaki Jepun di negara Jepun.

    5. Pemakanan punca kanser prostat

    Selain faktor risiko tersebut, diet juga mungkin memainkan peranan.  Namun, tiada kajian telah membuktikan bahawa diet dan pemakanan boleh menyebabkan atau menghalang perkembangan kanser prostat secara langsung.

    Walau bagaimanapun, banyak kajian yang melihat terdapat kaitan antara cara pemakanan dan kanser. Sebagai contoh, obesiti dikaitkan dengan pelbagai kanser, termasuk kanser prostat.

    Dalam sebuah kajian di Malaysia, makanan yang rendah lemak, tinggi buah-buahan dan sayur-sayuran serta makanan kaya lycopene (tomato, tembikai, jambu batu) dikaitkan dengan risiko kanser prostat yang lebih rendah.

    Jangka hayat pesakit barah prostat

    faktor risiko kanser prostat

    Kebanyakan lelaki yang didiagnosis dengan kanser prostat hari ini mempunyai peluang hidup yang baik, dengan jangkaan hidup sehingga 5 tahun sebanyak 100% dan sehingga 10 tahun sebanyak 98.7%.

    Ini disebabkan kebanyakan kes kanser prostat dikesan awal dan kanser ini kebiasaannya lambat membesar dan merebak.

    Namun, bagi pesakit dengan kanser prostat yang telah merebak ke organ lain, jangkaan hidup sehingga 5 tahun adalah sebanyak 30%.

    Jika anda berusia lebih daripada 50 tahun, mempunyai simptom berkaitan dan mempunyai sejarah keluarga dengan kanser prostat, anda mungkin akan disarankan doktor untuk menjalani ujian saringan PSA

    Pengesanan dan rawatan awal dapat membantu pesakit meningkatkan peluang jangka hayat yang normal.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Hello Doktor Medical Panel


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 27/06/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan