backup og meta

Nak Periksa Prostat, Ini Syaratnya! Si Suami, Elak Bersenggama Selama 2 Hari Sebelum Jalani Ujian PSA

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 26/07/2021

    Nak Periksa Prostat, Ini Syaratnya! Si Suami, Elak Bersenggama Selama 2 Hari Sebelum Jalani Ujian PSA

    Ada satu ujian yang dilakukan untuk memeriksa risiko kanser prostat pada lelaki. Ia dinamakan ujian PSA prostat. Ujian prostat ini bertindak mengukur jumlah antigen khusus prostat dalam darah seorang lelaki.

    Antigen khusus prostat (prostate-specific antigen)

    PSA adalah bahan kimia yang dihasilkan oleh prostat. Prostat adalah kelenjar seks yang terletak berhampiran dengan pundi kencing lelaki. Ia menghasilkan cecair dalam air mani.

    Tahap PSA biasanya meningkat seiring bertambahnya usia lelaki. Tetapi tahap PSA yang lebih tinggi daripada biasa boleh menjadi petunjuk bahawa kanser telah berkembang dalam kelenjar prostat.

    Walau bagaimanapun, tahap PSA yang tinggi juga boleh didapati dalam keadaan lain yang bukan kanser.

    Ini termasuk prostatitis (radang prostat) dan kebengkakan prostat (BPH), iaitu pembesaran prostat yang banyak menjejaskan golongan warga emas.

    Apakah tujuan ujian PSA prostat?

    psa prostat

    Ujian PSA prostat ini digunakan sebagai ujian saringan bagi kanser prostat. Bagi lelaki yang telah didiagnosis menderita barah prostat, PSA diukur untuk menentukan sekiranya kanser tersebut telah kembali setelah pembedahan.

    Ia juga dapat digunakan untuk menentukan sekiranya kanser tersebut tumbuh atau menyusut setelah dirawat dengan hormon atau radiasi.

    Ujian PSA prostat boleh digunakan untuk mengesan tahap awal kanser prostat, sebelum penyakit ini mula menunjukkan simptom-simptomnya.

    Ujian pemeriksaan prostat ini dapat mengurangkan kadar kematian akibat kanser prostat dalam kalangan lelaki dengan mengesan kanser pada peringkat awal. 

    Siapakah yang patut melakukan ujian PSA prostat?

    Sekiranya anda berusia lebih daripada 45 tahun dan mempunyai risiko kanser prostat yang lebih tinggi seperti sejarah keluarga, anda boleh berjumpa doktor dan berbincang mengenai keperluan melakukan ujian ini.

    Doktor berkemungkinan tidak mengesyorkan anda untuk melakukan ujian PSA ini jika anda tidak mempunyai sebarang gejala.

    Selain itu, anda juga tidak disarankan untuk menjalani ujian ini jika anda mempunyai masalah kesihatan yang serius yang membuatkan anda mungkin tidak cukup sihat untuk rawatan kanser prostat.

    Tetapi jika anda mempunyai simptom masalah prostat yang mungkin berlaku, doktor mungkin akan menyarankan anda untuk berjumpa dengan doktor pakar bagi rawatan lanjut.

    Ada sesetengah individu yang ditawarkan untuk melakukan ujian PSA sebagai sebahagian daripada pemeriksaan kesihatan umum. Anda masih perlu memikirkan sama ada anda patut melakukannya atau tidak.

    Kenapa saya tidak boleh melakukan hubungan intim sebelum ujian PSA prostat dijalankan?

    Ujian PSA prostat digunakan untuk mengukur tahap PSA dalam darah manusia, iaitu golongan lelaki. Jika berlakunya peningkatan PSA, ia boleh menjadi satu tanda bagi beberapa keadaan prostat seperti di bawah ini:

    Sebelum menjalani ujian PSA, seseorang lelaki mestilah tidak berejakulasi dalam tempoh 48 jam sebelum ujian dilakukan. Ini kerana, air mani yang dikeluarkan semasa hubungan seks atau ejakulasi boleh menyebabkan tahap PSA ini meningkat untuk seketika waktu.

    Hal ini boleh menjejaskan hasil keputusan ujian yang dijalankan. Selain itu, terdapat juga beberapa perkara lain yang perlu dielakkan sebelum menjalani ujian ini seperti:

    • Melakukan senaman dengan terlalu kuat dalam tempoh 48 jam
    • Mempunyai jangkitan kencing
    • Pernah menjalani biopsi prostat dalam tempoh 6 minggu

    Kelebihan dan kekurangan ujian pemeriksaan prostat

    ujian prostat

    Ia adalah keputusan anda sendiri sekiranya ingin menjalani ujian pemeriksaan prostat atau tidak. Kami nyatakan di sini beberapa kebaikan dan juga keburukan menjalani ujian pemeriksaan prostat.

    Kelebihan

    Melalui ujian PSA yang dijalani, ia boleh membantu anda mengesan kanser prostat sebelum simptom-simptomnya mula muncul.

    Selain itu, ia boleh membantu menyingkirkan kanser pada peringkat awal apabila rawatan yang diberikan boleh menghentikan perkembangan kanser tersebut.

    Selain itu juga, ujian yang dilakukan dengan kerap boleh memberikan manfaat kepada kumpulan lelaki yang berisiko untuk mendapat kanser prostat.

    Sebarang perubahan pada tahap PSA boleh menujukkan bahawa anda mempunyai kanser prostat.

    Kekurangan

    Antara kekurangan ujian ini ialah ia mungkin tidak begitu tepat.

    Tahap PSA anda mungkin menunjukkan tahap yang tinggi, namun anda sebenarnya tidak mempunyai kanser prostat.

    Selain itu, walaupun anda menjalani ujian ini, ada kemungkinan juga bahawa ujian ini tidak dapat mengesan kanser prostat yang dialami.

    Sekiranya tahap PSA anda tinggi, anda mungkin memerlukan lebih banyak ujian lain seperti biopsi.

    Biopsi boleh menyebabkan kesan sampingan seperti rasa sakit, jangkitan dan kewujudan darah dalam air kencing atau air mani.

    Kesimpulan

    Adakah anda perlu melakukan ujian pemeriksaan prostat? Ia terpulang kepada anda. Jika anda mempunyai risiko yang tinggi seperti sejarah keluarga, anda mungkin perlu berjumpa doktor dan berbincang sama ada anda patut menjalaninya atau tidak.

    Jika anda membuat keputusan untuk menjalaninya, elakkan diri anda daripada melakukan hubungan intim atau berejakulasi selama 48 jam untuk mengelakkan keputusan ujian terjejas. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 26/07/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan