backup og meta

Jom Ambil Tahu Tentang Anatomi Kemaluan Lelaki Secara Luaran & Dalaman!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 04/01/2023

    Jom Ambil Tahu Tentang Anatomi Kemaluan Lelaki Secara Luaran & Dalaman!

    Kebanyakan individu pasti kurang selesa untuk berbicara berkenaan soal alat kemaluan lelaki terutama di khalayak ramai apabila timbul isu-isu kesihatan berkaitan kemaluan.

    Bagi kaum Adam, kemaluan lelaki turut menjadi satu topik yang bersifat tabu untuk diperkatakan.

    Dalam isu kesihatan, tiada apa yang perlu dimalukan walaupun ia berkaitan dengan zakar lelaki.

    Sebelum pergi kepada perkara yang lebih mendalam berkenaan kemaluan lelaki, adalah lebih baik jika kita mengetahui sedikit sebanyak berkenaan bahagian-bahagian yang terdapat padanya.

    Bahagian-bahagian zakar lelaki boleh dibahagikan kepada dua iaitu anatomi seksual luaran dan anatomi seksual dalaman.

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Lelaki, anda boleh klik di sini.

    kemaluan lelaki

    Anatomi seksual luaran kemaluan lelaki

    Penis dan skrotum adalah dua bahagian anatomi seksual luaran kemaluan lelaki.

    Penis terdiri daripada tiga lapisan tisu yang mampung (spongy), dan apabila seseorang lelaki terangsang, darah akan masuk dan memenuhi kawasan tisu ini.

    Hal ini yang membuatkan penis menjadi lebih keras dan menegang yang juga dipanggil sebagai ereksi atau terangsang.

    Kebanyakan zakar lelaki mempunyai rupa bentuk yang berbeza, sesetengahnya mempunyai bentuk yang melengkung dan yang lain mempunyai bentuk menegak.

    Kesemua penis mempunyai bahagian yang sama iaitu:

    Glans

    Glans juga dikenali sebagai kepala atau hujung penis. Pembukaan urethra (saluran kencing) bermula di kawasan ini. 

    Di bahagian ini juga di mana praejakulasi (air mazi) dan semen (air mani) dikeluarkan selain daripada air kencing itu sendiri.

    Bahagian ini turut merupakan antara bahagian yang paling sensitif di kawasan kemaluan kaum Adam.

    Shaft (batang)

    Bahagian ini bermula daripada hujung penis iaitu glans sehinggalah ke bahagian perut. Bentuknya seperti tiub dan di bahagian inilah urethra berada.

    Foreskin (kulup)

    Kulup adalah satu bahagian kulit yang menutupi dan melindungi kepala zakar (glans).

    Apabila penis anda berada dalam keadaan tegang, kulup tersebut akan tertarik ke belakang sekali gus mendedahkan bahagian hujung penis.

    Kadangkala kulup disunat atau dibuang melalui pembedahan oleh doktor sejurus selepas seorang lelaki dilahirkan, oleh itu tidak semua individu memiliki kulup.

    kemaluan lelaki

    Frenulum

    Frenulum adalah apabila kulup berjumpa dengan bahagian bawah penis. Ia berbentuk seperti V kecil di bawah hujung penis.

    Kebiasaannya, bahagian ini masih kekal selepas disunatkan dan ianya amat sensitif bagi kebanyakan individu.

    Skrotum

    Skrotum adalah kulit karung yang tergantung di bawah penis.

    Skrotum bertindak sebagai pemegang testikel dan memelihara testikel pada suhu yang tepat. Sekiranya suhu persekitaran terlalu sejuk, skrotum akan menarik testikel lebih rapat ke bahagian tubuh.

    Tetapi sekiranya suhu persekitaran terlalu panas atau suam, testikel akan dilepaskan sedikit jauh daripada tubuh.

    Skrotum diselaputi dengan bahagian kulit yang berkedut dan berbulu selain boleh bersaiz kecil atau besar, mempunyai bulu yang sedikit atau banyak dan mempunyai pelbagai warna.

    Ia juga adalah antara bahagian zakar lelaki yang sangat sensitif, oleh itu sebarang pukulan atau pusingan pada bahagian tersebut boleh menjadi sangat menyakitkan pada seorang lelaki.

    Anatomi seksual dalaman kemaluan lelaki

    Terdapat beberapa bahagian yang perlu diketahui berada di bahagian dalam zakar lelaki.

    Bahagian-bahagian tersebut terdiri daripada:

    Testikel

    Testikel merupakan dua bahagian kelenjar yang berbentuk seperti bola atau telur yang berada di bahagian dalam skrotum kemaluan kaum Adam.

    Fungsi testikel adalah untuk menghasilkan sperma dan hormon seperti testosteron.

    Epididimis

    Epididimis adalah bahagian tiub yang menyimpan sperma yang telah matang.

    Ia menghubungkan setiap testikel dengan setiap vas deferens dan ia berfungsi menyimpan sperma sebelum berejakulasi.

    Vas deferens

    Vas deferens adalah tiub sempit dan panjang yang membawa sperma dari epididimis ke bahagian vesikel mani apabila seseorang individu berejakulasi.

    Terdapat dua vas deferens di dalam kemaluan lelaki dan setiap satunya berhubung dengan setiap epididimis.

    kemaluan lelaki

    Vesikel mani

    Vesikel mani adalah dua bahagian organ yang menghasilkan air mani, iaitu cecair yang bertanggungjawab membawa sperma keluar dari zakar lelaki.

    Vesikel mani terletak di bahagian bawah pundi kencing.

    Kelenjar prostat

    Kelenjar prostat menghasilkan cecair yang membantu sperma untuk bergerak.

    Ia hanyalah bersaiz sebesar kacang walnut dan kelenjar prostat amat sensitif kepada sebarang tekanan atau sentuhan yang mana memberikan kepuasan dan menyenangkan kepada kebanyakan individu.

    Kelenjar cowper

    Kelenjar cowper menghasilkan cecair yang dipanggil praejakulasi atau air mazi.

    Cecair ini bertindak sebagai persediaan kepada urethra sebelum ejakulasi, dan ia berfungsi dengan cara mengurangkan pergeseran agar air mani dapat melalui urethra dengan lebih mudah.

    Kelenjar ini berada di bawah prostat dan melekat dengan urethra. Ia turut dikenali sebagai kelenjar bulbourethal.

    Urethra

    Urethra adalah bahagian penis yang berfungsi menyalurkan air kencing, praejakulasi dan air mani ke bahagian pembukaan urethra dan keluar dari tubuh.

    Cremaster

    Cremaster adalah bahagian otot yang menggerakkan skrotum dan testikel agar lebih rapat dengan tubuh.

    Ini berlaku apabila seseorang individu berada dalam persekitaran sejuk, terangsang atau apabila bahagian dalaman paha disentuh.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 04/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan