
Apabila bercakap tentang wanita, tanpa dapat dinafikan, antara perkara pertama yang selalu menjadi ukuran adalah kecantikan fizikal. Dan kecantikan itu sendiri bersifat sangat subjektif mengikut individu sehingga sukar untuk mendefinisikannya dengan tepat. Tetapi disebalik sanjungan masyarakat kepada wanita, golongan inilah antara yang paling kerap menjadi mangsa keganasan di peringkat domestik mahupun global.
Berbanding ukuran kecantikan sebagai pilihan ikon, berikut adalah 3 tokoh yang memperjuangkan hak asasi wanita yang patut anda kenali.
Malala Yousfazai
Sementara gadis di Malaysia berpeluang untuk menyertai aktiviti kegemaran mereka, di negara-negara membangun yang lain, pergerakan wanita dan kanak-kanak dibatasi termasuklah kebebasan untuk mendapatkan pendidikan. Malala Yousafzai, pemenang Hadiah Nobel Keamanan termuda di dunia adalah antara remaja yang pernah dihalang daripada mendapatkan pendidikan.
Dimotivasikan oleh bapanya, seorang aktivis sosial yang menguruskan sekolah untuk pelajar perempuan, Malala menyampaikan ucapan ‘Berani Taliban Merampas Hak Pendidikan Saya!’, sewaktu usia 11 tahun sebagai protes kepada penutupan sekolah di sebuah kelab media dan disiarkan di seluruh Pakistan. Malala juga menulis diari berkala yang disumbangkan atas nama pena kepada BBC Urdu, merakamkan perjalanan hidup di Lembah Swat, Pakistan sewaktu dikuasai Taliban.
Aktivisme beliau membuatkan beliau sering muncul di kaca tv dalam dan luar negara, menimbulkan kemarahan Taliban. Pada usia 15 tahun, beliau ditembak di kepala oleh militan Taliban sewaktu dalam perjalanan pulang dari sekolah tetapi berjaya diselamatkan dan dibawa ke United Kingdom untuk pembedahan. Peristiwa tersebut mencetuskan amarah dan reaksi antarabangsa.
Pada tahun 2013, beliau menubuhkan Dana Malala dengan bapanya, Ziauddin. Setahun kemudian, beliau menerima Hadiah Nobel Keamanan sebagai pengiktirafan usaha beliau membantu setiap gadis mendapat pendidikan percuma, selamat, berkualiti. Beliau kini merupakan seorang pelajar di Oxford University yang mengikuti ijazah dalam Falsafah, Politik, dan Ekonomi.
Denis Mukwege
Bukan semua ikon global yang lantang bercakap tentang keganasan terhadap wanita adalah wanita sendiri. Seorang doktor pakar sakit puan, Dr Denis Mukwege merupakan pemenang Nobel Keamanan 2018 atas usahanya membantu wanita sembuh, (fizikal dan mental) daripada keganasan seksual.
Beliau yang asalnya membuka hospital untuk menyediakan rawatan materniti bagi wanita hamil sebaliknya mendapati terlalu banyak kes keganasan seksual yang diterima. Ini disebabkan konflik perang antara militan yang berleluasa di Congo yang selalu melibatkan penggunaan jenayah rogol terhadap wanita dan kanak-kanak sebagai cara menakutkan masyarakat awam.
Komplikasi jenayah rogol yang dirawat beliau kebanyakannya adalah komplikasi serius dengan umur mangsa ada yang seawal 3 tahun. Bahkan ada mangsa yang dirogol sewaktu berusia 5 tahun dan ditembak pada kemaluan. Beliau banyak menghabiskan masa melakukan pembedahan atas komplikasi serius ini dan membantu pesakit sembuh daripada trauma.
Keganasan terhadap wanita yang selalu berlaku dalam bentuk jenayah rogol dan gangguan seksual sewaktu perang bukanlah sekadar untuk melepaskan nafsu tetapi adalah untuk menzalimi dan menyiksa mangsa daripada kelompok musuh. Di Congo, hampir semua pihak yang terlibat dalam perang saudara menggunakan jenayah rogol sebagai hukuman yang akhirnya menyiksa mangsa; wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.
Nadia Murad
gambar ihsan Reuters
Nadia Murad, aktivis hak asasi Yazidi daripada Iraq merupakan mangsa perhambaan seks oleh ISIS. Berjaya melarikan diri tiga bulan setelah diperhambakan, beliau mula bersuara tentang perdagangan manusia dan keganasan seksual, terutama kerana isu-isu ini berkaitan dengan wanita Yazidi. Beliau turut memenangi Hadiah Nobel Keamanan tahun 2018 bersama Dr Denis Mukwege.
Masyarakat Yazidi sering kali menjadi sasaran kezaliman ISIS disebabkan ajaran mereka yang bertentangan daripada agama Islam. Sewaktu penangkapannya, 6 saudara lelaki beliau dibunuh beramai-ramai manakala semua wanita dibawa ke Mosul, Iraq untuk dipasarkan sebagai hamba seks. Secara keseluruhannya, lebih daripada 5,200 wanita Yazidi telah diperdagangkan oleh ISIL pada tahun 2014, manakala kira-kira 5,000 orang terbunuh.
Murad telah dibeli dan dijual beberapa kali sebelum melarikan diri pada bulan November. Kesaksiannya bukan sahaja menarik perhatian terhadap penderitaan komuniti Yazidi dan juga keganasan ISIS tetapi juga terhadap fakta bahawa keganasan seksual sebagai senjata perang merupakan taktik yang digunapakai pelbagai kumpulan militan. Beliau menulis sebuah memoir mengenai penderitaannya dan menubuhkan Inisiatif Nadia, sebuah organisasi yang menganjurkan hak-hak wanita dan minoriti dan membantu membangunkan masyarakat minoriti yang menghadapi krisis.
Jadi, walau siapa pun yang anda jadikan sebagai ikon, jangan menyempitkan kecantikan sebagai ukuran. Kerana terlalu banyak tokoh hebat untuk dicontohi di luar sana. Hatta, di rumah anda sendiri, wanita yang melahirkan dan membesarkan anda, pasti mempunyai banyak kualiti untuk dicontohi.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.