
Ketika anda berdiri menghadap cermin, anda sedar bahawa tali leher dan seluar yang anda pakai, tidak bersesuaian dengan baju kemeja yang baru anda beli semalam.
“Nanti nak singgah Pavi sekejap lah, nak beli tali leher dengan seluar baru”.
Seusai membeli apa yang dihajati, anda juga membeli sepasang kasut baru, seutas jam tangan berjenama dan tali pinggang yang baru. Apa dah jadi?
Anda tertanya-tanya, kenapa keinginan untuk membeli barang selain daripada apa yang dirancang, membuak-buak? Ikuti artikel ini untuk penjelasan selanjutnya.
Rancang beli barang satu, bawa balik sepuluh
Pada abad ke-17, Denis Diderot, penulis dan pengasas kepada salah satu ensiklopedia komprehensif berjudul Encyclopédie, telah menjual koleksi buku tersebut kepada Catherine The Great.
Beliau mendapat keuntungan sebanyak 1000 GBP (bersamaan dengan RM200,000 nilai sekarang) dan ini membolehkannya untuk menampung kos perkahwinan anaknya yang sudah semakin dekat. Diderot merancang untuk membeli sehelai jubah yang cantik berwarna merah menyala bagi menghadiri majlis tersebut.
Ketika mengenakan pakaian itu, Diderot mendapati bahawa, seluar yang dipakainya sudah lusuh dan kasutnya tidak setaraf dengan nilai jubah yang dibelinya. Beliau membeli beberapa aksesori tambahan supaya tampak bergaya dengan jubah yang ingin dibelinya.
Namun, adakah ia tamat di situ? Jawapannya, tidak. Diderot membeli beberapa kelengkapan rumah, skulptur dan kerusi berkulit asli bagi menggantikan kerusi malasnya yang diperbuat daripada rotan. Situasi ini menunjukkan bahawa keinginan untuk membeli meningkat selari dengan kualiti barang yang kita rancang untuk beli.
Fenomena ini dinamakan sebagai Diderot effect.
Naik taraf barang milik anda
Naluri manusia adalah lebih kepada untuk menaik taraf, mengumpul dan membina sesuatu, bukan untuk menurunkan taraf, membinasa, mengurangkan atau mempermudahkan pemilikan sedia ada.
Ini bermakna barang yang anda miliki sekarang akan menjadi tanda aras kepada nilai barang baru yang akan anda beli pada masa akan datang. Jika sekarang anda memiliki kereta BMW, sukar untuk anda menggantikannya dengan kereta Proton Saga kelak.
Diderot effect merupakan satu kesan psikologi yang kerap kita lihat pada setiap individu dan ini menguji keteguhan diri mereka.
Pembelian barang yang baru akan mengundang keinginan untuk memiliki barangan yang lain walaupun hakikatnya, kita tidak memerlukan barangan tersebut. Sebagai contoh:
- Anda beli jaket baru dan sekarang anda mempunyai keinginan untuk membeli baju kemeja, seluar dan kasut yang sepadan dengannya
- Anda beli televisyen baru dan kini anda ingin membeli rak televisyen dan set pembesar suara bagi melengkapi sistem hiburan di rumah anda
- Anda beli keahlian gim, dan kini anda ingin membeli pakaian sukan, suplemen, protein shake dan jurulatih persendirian
Bajet yang pada asalnya RM1,000 boleh berubah kepada RM2,000 dan ke atas disebabkan oleh kesan psikologi ini. Ia mempunyai kaitan dengan hormon dopamin di dalam otak. Hormon ini mempunyai fungsi untuk mengawal kelakuan berkaitan ganjaran.
Semakin besar ganjaran, semakin banyaklah dopamin yang akan dirembeskan seterusnya meningkatkan motivasi kita untuk bertindak melakukan sesuatu. Jika anda mempunyai barangan yang mahal, maka barangan yang murah tidak akan menyebabkan anda teruja.
Ini membuatkan anda membelanjakan wang kepada barangan yang lebih mahal. Tiada siapa yang mahu beli barang yang lebih murah atau jenama yang lebih teruk, kan? Kecuali dalam situasi kecemasan dan anda tidak mempunyai wang.
Konklusi
Diderot effect merupakan kesan psikologi yang tidak diketahui ramai. Ia merupakan salah satu teori yang menerangkan mengapa kita lebih cenderung untuk tersasar apabila sudah membuat perancangan secara teliti.
Perancangan sahaja tidak mencukupi, anda perlu mempunyai keteguhan diri untuk melaksanakannya tanpa menambah apa-apa perkara lain yang tidak diperlukan. Memang sukar terutamanya jika mempunyai jumlah wang yang besar semasa hendak keluar membeli belah. Tanpa disiplin dan kekuatan dalaman, kesan Diderot sememangnya musuh yang paling dahsyat kelak anda hadapi.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Baca juga:
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.