Jika dilihat pada sudut pandang doktor, mereka juga manusia yang melakukan kesilapan. Menurut laman Facebook Public Health Malaysia, secara amnya, doktor pelatih yang ingin mengambil darah perlu tahu bahawa mereka hanya mempunyai peluang sebanyak dua kali untuk mencuba. Jika gagal buat kali kedua, mereka bertanggungjawab untuk memanggil doktor yang lebih berpengalaman. Ia bagi mengelakkan penderitaan anak anda dek dicucuk berkali-kali sehingga menyebabkan lebam di kedua-dua belah tangan.
Berbanding dengan orang dewasa, darah anak kecil sukar untuk diambil keluar. Mereka mempunyai akses vena yang kecil berbanding dengan orang dewasa dan tanpa bantuan, teramatlah sukar untuk mendapatkan darah daripada anak yang meronta-ronta. Jika pada ketika itu, kebanyakan doktor sedang sibuk, jika dibenarkan oleh ibu dan bapa, pengambilan darah boleh dicuba sehingga 4 kali. Jika masih gagal, kaedah tersebut perlu diberhentikan dan perbincangan lanjut mengenai alternatif lain perlu dilakukan untuk memberi ruang kepada ibu bapa memilih apa yang terbaik buat anak mereka.
Apabila ia melibatkan kebenaran untuk meneruskan prosedur perubatan, ibu bapa memegang kuasa veto dalam membuat keputusan. Jika selepas cubaan pertama gagal dan ibu bapa pesakit mengarahkan doktor lain untuk mengambil alih tugasan tersebut, permintaan mereka perlu diikuti.
Komplikasi prosedur venepunktur
“Doktor, kenapa tangan anak saya lebam ni?”
Tromboflebitis adalah komplikasi yang lazim berlaku kepada pesakit yang diambil darahnya melalui saluran vena. Ia terjadi apabila vena membengkak disebabkan oleh pengumpulan darah beku ataupun kesan daripada iritasi disebabkan oleh penggunaan peralatan perubatan yang melibatkan penyucukan jarum. Sebagai ibu bapa, sukar untuk kita terima penjelasan daripada doktor yang bertugas tatkala melihat tangan kecil si manja yang penuh dengan kesan cucukan jarum dan mungkin kebiru-biruan akibat lebam.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen