Demam kepialu adalah sejenis jangkitan yang disebabkan oleh bakteria. Bagi mencegah jangkitan mudah tersebar, ia biasanya dielakkan melalui suntikan tifoid. Berikut adalah penerangan mengenai demam kepialu.
Maksud demam kepialu
Demam kepialu berlaku apabila wujud jangkitan bakteria yang merebak melalui air dan makanan yang tercemar. Jangkitan ini disebabkan oleh bakteria Salmonella typhi (S. typhi) yang terdapat dalam air kencing, najis dan darah pembawanya.
Pembawanya membawa bakteria ini tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala demam kepialu. Jangkitan ini boleh dirawat melalui suntikan tifoid di klinik-klinik.
Namun, ia boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan lain jika dibiarkan tidak dirawat.
Simptom-simptom dijangkiti demam kepialu
Jika seseorang itu dijangkiti oleh demam kepialu, ia tidak terus menunjukkan simptom. Biasanya, simptom yang berlaku akan muncul dalam tempoh satu hingga 2 minggu selepas dijangkiti.
Antara simptom-simptom jangkitan demam kepialu ialah:
- Demam panas yang berpanjangan
- Badan berasa lemah
- Rasa sakit pada bahagian perut
- Sakit kepala
- Hilang selera makan
- Mempunyai ruam
- Keletihan
- Berasa keliru
- Mengalami sembelit mahupun cirit-birit
Perlukah saya mengambil suntikan tifoid?
Bagi mereka yang sihat, suntikan tifoid mungkin tidak diperlukan. Namun, doktor mungkin akan menyarankan anda untuk mengambil suntikan ini jika anda adalah golongan berikut:
- Pembawa bakteria Salmonella typhi
- Mempunyai hubungan yang rapat dengan pembawa bakteria
- Mengembara ke negara-negara di mana kes demam kepialau kerap berlaku
- Pengendali atau penyedia makanan seperti pekerja asrama dan tukang masak di restoran
Keberkesanan pengambilan suntikan tifoid ini adalah antara 50 hingga 80%.
Selain suntikan tifoid, makan makanan ini ketika alami demam kepialu
Apabila seseorang itu dijangkiti penyakit kepialu, mereka akan berisiko mengalami masalah berkaitan gastrousus. Ada juga yang hilang selera makan dan mengalami loya.
Pengambilan makanan dengan bahagian yang sedikit tetapi kerap akan membantu membekalkan tenaga kepada tubuh. Namun, anda juga perlu memastikan jenis makanan yang diambil dan dielakkan ketika mengalami jangkitan ini.
Pilihlah makanan yang mudah untuk dihadam dan mestilah mengandungi karbohidrat dan lemak untuk keperluan tenaga tubuh. Antara jenis makanan yang perlu diambil ialah:
#1. Makanan tinggi kalori
Pesakit demam kepialu disarankan untuk mengambil jenis makanan yang tinggi kandungan kalorinya seperti nasi, pasta, kentang dan roti.
Ini bertujuan memberikan tenaga yang mencukupi kepada tubuh.
#2. Buah-buahan yang tinggi kandungan air
Selain itu, bagi mengelakkan tubuh badan anda daripada mengalami dehidrasi disebabkan cirit-birit, kerapkan pengambilan makanan yang kaya dengan air.
Ini termasuklah buah-buahan seperti tembikai, air kelapa, minuman elektrolit dan juga sup.
Bagi memudahkan anda mendapatkan kedua-dua kandungan air dan juga vitamin, makanlah buah-buahan yang kaya dengan kandungan air.
Selain tembikai, anda boleh mencuba buah-buahan lain seperti anggur, nanas dan juga betik.
Pengambilan buah-buahan yang kaya dengan air akan mengekalkan tubuh badan anda daripada mengalami kekurangan kandungan air.
#3. Makanan yang kaya dengan karbohidrat
Makanan yang tinggi kandungan karbohidrat juga penting untuk keperluan tenaga tubuh.
Selain itu, ambil juga makanan karbohidrat separa pepejal untuk memudahkan pencernaan tubuh.
Ini termasuklah bubur, telur rebus, dan juga kentang rebus atau kentang lenyek. Makanan seperti ini akan memberikan tenaga selain memudahkan pencernaan berlaku.
#4. Makanan dan minuman daripada produk tenusu
Bagi memastikan pengambilan protein harian anda mencukupi, anda juga boleh mengambil sumber protein daripada produk tenusu.
Anda boleh mengambil susu, telur, keju dan juga yogurt untuk memenuhi keperluan protein tubuh.
Makanan seperti ini lebih mudah untuk dicerna perut anda berbanding daging dan ayam.
Anda juga boleh mendapatkan protein daripada sumber kekacang seperti kacang kuda, kacang soya dan juga tauhu.
#5. Ambil makanan yang kaya dengan kandungan omega-3
Oleh itu, anda juga perlu banyak mengambil makanan yang kaya omega-3 seperti ikan, telur dan kekacang.
Kesimpulan
Jika tidak dirawat, demam kepialu boleh menyebabkan beberapa komplikasi kesihatan lain yang boleh mengancam nyawa.
Jika anda atau mana-mana ahli keluarga anda ada mengalami simptom-simptom seperti yang dinyatakan di atas, segera berjumpa dengan doktor untuk membuat ujian saringan dan pemeriksaan.