Selain vaksin Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca, negara kita juga menerima vaksin Sinovac dari Sinovac Biotech, sebuah syarikat farmaseutikal di Beijing. Vaksin COVID-19 dari negara tembok besar ini digunakan secara meluas di Asia Tenggara, lebih-lebih lagi di Indonesia dan Filipina.
Menurut WHO, vaksin dua dos ini mempunyai 51% keberkesanan terhadap jangkitan COVID-19 yang simptomatik, 100% terhadap jangkitan COVID-19 yang teruk dan 100% terhadap hospitalisasi bermula 14 hari selepas menerima dos kedua.
Tetapi, apakah beza vaksin Sinovac dengan vaksin lain yang digunakan di negara kita? Jom, ikuti penjelasan kami di bawah untuk kenali vaksin ini dengan lebih lanjut!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.
Vaksin daripada virus COVID-19
Berbeza dengan vaksin Pfizer dan Moderna, Sinovac dihasilkan menggunakan virus COVID-19 yang mati atau tidak aktif.
Setelah disuntik, partikel ini akan mendedahkan sistem imun badan terhadap virus tersebut tanpa merisikokan jangkitan yang serius.
Untuk pengetahuan anda, Sinovac Biotech merupakan sebuah syarikat yang sudah lama berkecimpung dalam pembuatan vaksin. Mereka menggunakan kaedah tradisional untuk membuat vaksin Koronavirus.
Kaedah yang digunapakai oleh Sinovac Biotech ini merupakan cara yang sama digunakan untuk menghasilkan vaksin rabies dan hepatitis A suatu ketika dahulu.
Malah, pembuatan vaksin dengan cara ini juga lebih meyakinkan kerana terdapat banyak bukti mengenai keberkesanannya.
Salah satu kebaikan Sinovac ialah keupayaannya untuk disimpan di dalam peti ais biasa yang bersuhu 2 hingga 8 darjah selsius, berbeza dengan vaksin Pfizer-BioNTech yang perlu disimpan pada suhu -70 darjah selsius.
Ini bermaksud, vaksin Sinovac sesuai untuk digunakan di negara membangun. Bukan itu sahaja, vaksin ini juga boleh dihantar ke kawasan pedalaman kerana ia tidak perlu disimpan dalam peti ais khas dengan suhu yang amat rendah.
Baca juga:
- Kesan Sampingan Vaksin AstraZeneca Amat Rendah, Rakyat Diseru Jangan Bimbang!
- Sudah Cucuk Vaksin AZ, Tapi Nak Beralih Ke Pfizer Pula! Boleh Ke Campur Dua Vaksin COVID-19?
Rekomendasi dos untuk vaksin Sinovac
Strategic Advisory Group of Experts atau SAGE menggalakkan pengambilan vaksin Sinovac sebanyak 2 dos (0.5 ml) secara suntikan. Individu yang menerima vaksin ini perlu menunggu selama 2 hingga 4 minggu sebelum mengambil dos kedua.
Menurut WHO, jika dos kedua diberikan kurang daripada 2 minggu selepas dos pertama, pemberian vaksin tidak perlu diulang semula. Namun, jika pemberian dos kedua terlewat lebih daripada 4 minggu, vaksin haruslah diberikan secepat mungkin.
Sinovac selamat digunakan untuk individu berusia 18 tahun ke atas. Walau bagaimanapun, data penggunaan vaksin tersebut dalam kalangan warga emas berusia 60 tahun ke atas masih terhad.
Selain Sinovac, negara China turut menghasilkan beberapa vaksin lain seperti Sinopharm dan CanSinoBIO.
Namun, buat masa ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya memberikan kelulusan bersyarat kepada dua vaksin COVID-19 baharu iaitu Sinopharm dan Johnson & Johnson.
Walau bagaimanapun, penggunaan Sinovac di negara ini akan dihentikan selepas semua bekalan vaksin tersebut habis digunakan.
Menurut KKM, keputusan ini dilakukan kerana Malaysia telahpun mendapat vaksin yang mencukupi untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Program imunisasi di negara kita telah bermula pada 24 Februari lalu. Pada waktu artikel ini ditulis, 21,050,822 orang rakyat Malaysia telah mendaftar untuk menerima vaksin. Sebanyak 14,471,138 pula telah mendapat dos pertama.
Adakah vaksin Sinovac efektif untuk melawan varian Delta?
Buat masa ini, negara China masih lagi belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai keberkesanan vaksin ini dalam melawan varian Delta.
Pun begitu, pakar dari negara tersebut menggesa semua orang untuk mengambil vaksinasi secepat mungkin.
Menurut BBC pula, ujian klinikal vaksin ini menunjukkan keberkesanan sebanyak 50% hingga 79% dalam melawan kes jangkitan COVID-19 yang simptomatik. Ia juga didapati dapat mengelakkan hospitalisasi dan kematian disebabkan wabak ini.
Namun, menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Nature Medicine, vaksin yang menggunakan virus yang tidak aktif seperti Sinovac dan Sinopharm mungkin 20% tidak berkesan ke atas varian Delta.
Sebuah kajian dari Thailand juga mendapati tahap antibodi dalam kalangan individu yang mengambil Sinovac akan berkurang sebanyak separuh setiap 40 hari.
Walaupun keberkesanannya menurun, itu tidak bermaksud vaksin ini tidak boleh digunakan. Malah, vaksin ini masih lagi mampu menjalankan tugas utamanya iaitu melindungi orang ramai daripada jangkitan COVID-19.
Keraguan terhadap Sinovac bermula apabila negara jiran kita iaitu Indonesia telah mengalami peningkatan kes COVID-19 disebabkan penularan varian Delta.
Di sana, ratusan pekerja kesihatan telah dijangkiti dengan COVID-19 walaupun telah divaksin menggunakan vaksin Sinovac.
Walau bagaimanapun, punca sebenar jangkitan dalam kalangan pekerja kesihatan ini masih belum dapat dipastikan.
Artikel berkaitan: