Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.
Bukan satu ubat sahaja yang telah disenaraikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai rawatan yang berpotensi untuk membunuh virus korona baharu (COVID-19).
Remdesivir, ubat HIV dan ubat malaria seperti chloroquine merupakan antara ubat yang berpotensi menjadi ubat COVID-19.
Kebanyakannya masih berada dalam fasa ujian sebelum disahkan selamat untuk digunakan oleh orang awam.
Baru-baru ini, satu kajian yang dijalankan oleh Universiti Monash telah menambah satu lagi jenis ubat sebagai agen yang berpotensi untuk merawat pesakit COVID-19.
Ubat tersebut adalah ivermectin, ubat antiparasit yang digunakan secara meluas di seluruh dunia untuk merawat jangkitan parasit.
[covid_19]
Baca artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Berkesan membunuh wabak dalam masa 48 jam, mungkinkah ivermectin ubat COVID-19 terbaik?
Perkara yang menakjubkan berkaitan dengan penggunaan ubat antiparasit, ivermectin untuk merawat COVID-19 adalah ia mampu membunuh virus tersebut dalam masa 48 jam.
Dapatan tersebut telah direkodkan semasa fasa kajian makmal terhadap sel yang dikulturkan dengan virus korona baharu.
Jika penggunaannya oleh pesakit menunjukkan kesan farmakologi yang lebih kurang sama, ia merupakan ubat COVID-19 yang paling berkesan setakat ini.
Kajian tersebut telah diketuai oleh Dr Kylie Wagstaff.
Walaupun dapatan tersebut dianggap positif, beliau mengingatkan bahawa ujian klinikal secara rasmi perlu dilakukan bagi melihat tahap keberkesanan sebenar.
“Langkah seterusnya adalah untuk menentukan dos yang berkesan dan selamat digunakan oleh manusia”, ujarnya.
Oleh sebab dunia tidak mempunyai ubat COVID-19 yang berkesan untuk merawat wabak tersebut, penggunaan ubat sedia ada boleh mempercepatkan proses ujian klinikal.
Penghasilan ubat baharu wajib melibatkan prosedur yang lebih ketat kerana kita tidak tahu apakah kesannya terhadap manusia.
Ivermectin merupakan ubat antiparasit yang telah disahkan selamat untuk diambil sekian lamanya.
Apa yang perlu kita kaji sekarang adalah dos yang berkesan.
Penggunaan ubat ivermectin terhadap kultur sel yang dijangkitkan dengan virus korona baharu, menunjukkan keputusan yang sangat positif.
Selepas 24 jam, penurunan jumlah virus berlaku secara mendadak.
Mekanisme tindakannya terhadap COVID-19 masih lagi tidak diketahui.
Namun, kebolehannya untuk menyerang virus sudah diketahui sejak tahun 2012 lagi oleh Dr Wagstaff dan Profesor David Jans.
Prosedur klinikal yang berbeza dengan langkah ujian ubat COVID-19 lain
Oleh sebab profil keselamatan ivermectin telah pun disahkan selamat semasa permohonan asal yang dibuat dahulu, fasa ujian klinikalnya berbeza jika dibandingkan dengan ubat baharu.
Protokol profil semula (reprofiling protocol) ubat sedia ada merupakan kaedah yang dianggap sebagai pendekatan yang berkesan.
Ia bertujuan untuk mengenal pasti keupayaan ubat sedia ada untuk digunakan bagi merawat penyakit lain selain daripada apa yang diuji sebelum ini.
Ini bermakna, fokus utamanya lebih tertumpu kepada dos yang berkesan untuk merawat COVID-19.
Kajian fasa klinikal ubat ivermectin yang telah dijalankan dahulu bagi tujuan merawat jangkitan parasit telah terbukti berkesan dan selamat.
Maka, bagi mendefinisikan semula fungsi ivermectin, pengkaji perlu memberi tumpuan kepada aspek tertentu sahaja.
Menurut Profesor Mikrobiologi di Universiti Monash Malaysia, Prof Sunil K. Lai, ia akan mempercepatkan prosedur ujian klinikal selain memperuntukkan kos operasi yang lebih rendah.
Setelah dos yang selamat dan berkesan berjaya ditemui, ia boleh digunakan oleh orang awam sekiranya diluluskan oleh badan berwajib.
Penemuan ubat COVID-19 yang diiktiraf dalam masa yang singkat dapat membantu menyelamatkan banyak nyawa di seluruh dunia.
Sehingga ke hari ini (9 April 2020) jumlah kematian hampir mencecah 100,000 individu di seluruh dunia.
Itu merupakan satu perkembangan negatif dan angka tersebut akan terus meningkat sekiranya ubat COVID-19 tidak ditemui dalam masa terdekat.
Langkah pencegahan sebelum ubat COVID-19 disahkan selamat untuk kegunaan awam
Tanpa vaksin atau ubat COVID-19, perkara yang boleh dilakukan hanyalah langkah pencegahan yang mampu untuk mengekang kemaraan virus korona baharu.
Jangan salah faham. Langkah yang perlu diambil oleh semua individu di seluruh dunia penting bagi memastikan wabak berada dalam keadaan terkawal.
Jika tidak, kita bakal mengalami krisis tatkala sektor kesihatan negara tidak berkemampuan untuk menguruskan jumlah kes yang melonjak pesat.
Perintah kawalan pergerakan yang dijalankan oleh kerajaan di seluruh dunia berjaya menurunkan jumlah kes baharu dalam sehari.
Ada ubat COVID-19 ataupun tidak, kita masih perlu mencuci tangan sekerap mungkin bagi mengelakkan jangkitan wabak.
Manusia menyentuh muka pada kekerapan 16 kali sejam dan majoriti sentuhan melibatkan hidung, mata dan mulut.
Pengendalian ujian untuk mengkaji keberkesanan dan kesan sampingan ubat COVID-19 termasuklah ivermectin akan dijalankan dengan teliti.
Pesakit tidak boleh dirawat dengan ubat yang tidak diketahui akan keberkesanan mahupun tahap keselamatannya.
Ia membahayakan diri sendiri. Malahan, integriti doktor yang mempreskripsikan ubat yang tidak disahkan berkesan dan selamat harus dipersoalkan.
[mc4wp_form id=’115319″]
Konklusi
Perjalanan ke arah kesembuhan wabak COVID-19 pada peringkat global masih lagi jauh.
Ubat-ubatan yang sedang dikaji memerlukan masa yang lama sebelum ia boleh disahkan selamat dan berkesan.
Setakat ini, ivermectin menunjukkan potensi yang sangat tinggi.
Jika segalanya berjalan lancar dan keputusan ujian klinikal memberangsangkan, kita bakal menyaksikan pemberian ubat antiparasit itu sebagai ubat COVID-19.
#HelloHealthGroup, #HelloDoktor, #HelloHealthCoronaVirus
Baca juga:
- Lagi Berita Baik – Malaysia Terpilih Jalani Ujian Ubat Antiviral Lawan COVID-19!
- Saintis Kata Ubat Anti Radang Boleh Terukkan Simptom COVID-19, Tapi…
- Covid-19 Tambah Stres Pada Doktor, Staf Perubatan? Bagaimana Mereka Hadapinya
- Berita Baik, Ujian Pertama Vaksin COVID-19 Pada Manusia Sudah Bermula!
- Adakah Saya Dijangkiti COVID-19? Kenali Simptom Awal Jika Terkena Virus Korona