Berita mengenai pesakit koma atau terpaksa diletakkan dalam keadaan koma dan perlu mendapatkan bantuan pernafasan melalui ventilator bukanlah sesuatu yang baharu.
Walaupun ia mungkin sudah sebati dengan kita disebabkan tempoh pandemik yang terlalu lama, namun sebarang kematian disebabkan COVID-19 merupakan sesuatu yang amat menyedihkan dan boleh meninggalkan kesan mendalam.
Baru-baru ini, kita kehilangan seorang penyanyi ikonik kesayangan ramai iaitu Siti Sarah Raisuddin. Pemergian beliau diiringi dengan doa oleh jutaan rakyat Malaysia dan juga manusia dari setiap pelusuk dunia.
Sama seperti Siti Sarah, ramai lagi pesakit koma angkara COVID-19 yang perlu ‘ditidurkan’.
Pesakit koma yang ditidurkan bukanlah orang lain melainkan ibu, bapa, anak, adik, kakak, atau sahabat seseorang. Semuanya tidak terlepas daripada menjadi mangsa wabak COVID-19 yang kian mengganas.
Mari ikuti penjelasan kami mengenai koma dan mengapa ada yang perlu ditidurkan untuk melawan COVID-19.
Apakah maksud pesakit koma?
Menurut NHS, koma bermaksud keadaan seseorang yang tidak sedarkan diri, tidak boleh dikejutkan dan tidak dapat memberi sebarang tindak balas terhadap keadaan sekeliling.
Selain COVID-19, pesakit boleh koma disebabkan kecederaan pada kawasan kepala seperti kemalangan atau strok. Bukan itu sahaja, pesakit juga boleh koma disebabkan keracunan alkohol atau jangkitan pada kawasan otak (encephalitis).
Mata pesakit koma selalunya dalam keadaan tertutup dan mereka sukar untuk bertindak balas dengan keadaan sekeliling. Mereka juga tidak akan memberikan sebarang reaksi kepada bunyi atau rasa sakit.
Pesakit koma juga boleh bernafas dengan sendiri. Namun, ada juga yang perlukan bantuan mesin seperti ventilator.
Lama-kelamaan, pesakit akan mula sedarkan diri dan lebih sensitif terhadap keadaan sekeliling. Ada yang sedar selepas seminggu, ada juga yang mungkin memakan masa yang lebih lama.
Baca juga:
- Makan Ubat Cacing Untuk Kuda Boleh Cegah COVID-19? Jangan Ambil Risiko, Ini Fakta Ivermectin!
- Mantapkan Imun Badan Dengan Vitamin C, Tapi Betul Ke Vitamin D Boleh Turunkan Risiko COVID-19?
Mengapa pesakit COVID-19 perlu diletakkan pada ventilator dalam keadaan koma?
Disebabkan tidak ada ubat yang boleh merawat COVID-19, doktor hanya akan memerhatikan simptom pesakit.
Jika simptom pesakit menjadi semakin teruk, kemungkinan besar pesakit tersebut akan dimasukkan ke dalam ICU untuk pemantauan yang lebih rapi.
Menurut kajian setakat ini, 6% pesakit COVID-19 akan mengalami jangkitan yang serius. Malah, 1 daripada 4 pesakit COVID-19 mungkin memerlukan bantuan ventilator untuk bernafas.
Tetapi, apakah maksud ventilator?
Ventilator merupakan sejenis mesin yang membantu pesakit untuk bernafas jika mereka tidak mampu melakukannya sendiri. Selalunya, mesin ini dipanggil mesin pernafasan atau ‘respirator’.
Apabila kita menarik nafas dengan normal, oksigen akan masuk ke dalam paru-paru dan gas karbon dioksida pula akan dikumuhkan keluar dari badan.
Namun, berbeza pula dengan mereka yang menghidap COVID-19. Virus ini boleh membuatkan saluran pernafasan mereka mengalami inflamasi.
Pesakit yang menghidap COVID-19 seakan-akan lemas kerana virus ini boleh menenggelamkan paru-paru pesakit dengan cecair.
Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa penggunaan ventilator atau alat bantuan pernafasan ini tidak dapat mengubati COVID-19.
Tetapi, ia dapat membantu pesakit untuk terus hidup sehinggalah paru-paru mereka boleh berfungsi dengan normal.
Malah, menurut kajian yang dilakukan oleh Northwell Health, pusat kesihatan terbesar di New York, kematian yang berlaku dalam kalangan pesakit yang dihospitalkan disebabkan COVID-19 secara amnya adalah sekitar 21%.
Namun, jumlah ini meningkat kepada 88% jika pesakit tersebut menerima ventilasi secara mekanikal.
Dapatan ini menunjukkan penggunaan ventilator kadangkala boleh membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan untuk pesakit COVID-19 yang kritikal.
Oleh sebab itu, pihak hospital sentiasa berjaga-jaga jika pesakit COVID-19 perlu diletakkan dalam keadaan koma dan menggunakan mesin ventilator.
Semua berisiko menjadi mangsa COVID-19
Tidak kiralah lelaki, wanita, tua atau muda, semuanya berisiko untuk dijangkiti COVID-19.
Malah, dengan adanya mutasi baharu yang berlegar dalam masyarakat kita kini, tidak mustahil, orang muda dan golongan yang sihat serta selalu bersenam juga boleh menjadi mangsa.
Seorang pekerja kesihatan yang namanya tidak didedahkan mengakui kebenaran kenyataan di atas. Menurut beliau, dia merupakan seorang lelaki yang sihat dan selalu bersenam. Ketika dia dijangkiti COVID-19, dia berusia 30 tahun.
Namun, setelah 5 hari mengalami COVID-19, dia dimasukkan ke hospital dan terpaksa menjalani rawatan selama 68 hari di ICU. Menurutnya, dia diletakkan dalam keadaan koma dan perlu menggunakan ventilator.
Pesakit tersebut mengalami kegagalan organ dan tidak dapat sedarkan diri. Dia juga tidak dapat memberikan respons terhadap keadaan sekeliling ketika diletakkan dalam keadaan koma.
Bukan itu sahaja, setelah tersedar daripada koma, pesakit tersebut terpaksa menghadapi kesan sampingan jangka panjang seperti diabetes, sesak nafas dan hipertensi.
Ini tidak termasuk dengan sebarang trauma dan impaknya terhadap ahli keluarga pesakit koma.
Malah, dia juga mengakui hidupnya telah berubah selepas dijangkiti COVID-19. Berat badannya telah turun dengan mendadak dan kini perlu menggunakan inhaler. Dia juga cepat penat walaupun melakukan tugasan yang mudah seperti naik turun tangga.
Jelaslah COVID-19 merupakan penyakit yang serius dan boleh merubah hidup seseorang.
Artikel berkaitan: