
Peranan dan sokongan komuniti penting dalam menyumbang kepada pengurangan stigma, pemulihan, dan mencegah kejadian bunuh diri dalam kalangan pesakit mental.
Pesakit mental berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam kehidupan sehari-harian mereka dengan stigma, tindakan melabel, diskriminasi dan juga dipinggirkan daripada masyarakat, sementelah dalam masa yang sama mereka berperang dengan diri sendiri untuk melawan masalah mental mereka.
Menyedari tanggapan tentang pesakit mental tidak pernah berubah oleh kebanyakan masyakat, Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA) bekerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mental lain dalam mendidik orang awam dan membetulkan persepsi mereka mengenai penyakit dan pesakit mental.
Presiden MIASA, Anita Abu Bakar berkata, meskipun kesedaran tentang penyakit mental meningkat dalam kalangan masyarakat, namun, stigma terhadap pesakit dan bekas pesakit mental masih ada.
Menurutnya, pewujudan masyarakat inklusif perlu dilakukan dalam usaha membantu golongan yang mengalami masalah mental.
“Tiada sokongan daripada masyarakat boleh menyebabkan proses pemulihan untuk pesakit mental akan menjadi lebih mencabar. Diskriminasi dan stigma masyarakat terhadap pesakit mental perlu diubah untuk memastikan golongan ini menjadi individu yang produktif.
“Malahan, didikan ini perlu dimulakan sejak dari awal lagi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di sekolah. Kita mesti memupuk tingkah laku inklusif dan empati dalam kalangan kanak-kanak bagi meminimakan stigma terhadap penyakit dan pesakit mental. Kita perlu membantu kanak-kanak ini memahami tentang kesihatan mental dan memupuk empati dalam diri mereka,” katanya semasa sidang media MIASA di Damansara, baru-baru ini.
Anita berkata, antara cara lain untuk membina masyarakat inklusif adalah dengan kemasukan komuniti dan sosial, kemasukan penjaga, kemasukan pendidikan, dan kemasukan majikan.
Dalam majlis yang sama, MIASA turut memperkenalkan Patron Diraja pertamanya, Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Selain itu, MIASA turut mengumumkan program kebajikan, MIASA Run2Support Recovery yang berlangsung pada 21 April 2019 di Perdana Botanical Gardens, Kuala Lumpur.
MIASA adalah pertubuhan bukan kerajaan kesihatan mental yang ditubuhkan untuk mempromosi kesedaran terhadap kepentingan kesihatan mental. Selain itu, MIASA juga menyediakan sokongan untuk pesakit mental dan penjaga melalui pelbagai inisiatif sokongan yang disediakan untuk golongan ini.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.