backup og meta

Hati-Hati! Kes Influenza Sedang Meningkat Naik

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 06/10/2022

    Hati-Hati! Kes Influenza Sedang Meningkat Naik

    Sejak kebelakangan ini, kes-kes penyakit yang menyerupai influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk telah melanda beberapa negara termasuk Malaysia dan kes-kes ini merekodkan sedikit peningkatan berbanding kadar normal. Baru-baru ini, terdapat laporan mengenai wabak influenza yang melanda bandar Wuhan, Wilayah Hubei, China yang telah menyebabkan 44 kes influenza dengan 11 orang pesakit sedang berada dalam keadaan yang kritikal. 

    Wabak yang tercetus di China ini telah menyebabkan Kementerian Kesihatan Malaysia bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memastikan ia tidak menular dan merebak di negara ini. Bahagian Kawalan Penyakit KKM masih tidak dapat memastikan jika kes-kes influenza yang berlaku di Malaysia ini berkaitan dengan wabak di China atau tidak.

    Kes influenza masih terkawal

    Malaysia mempunyai rekod jangkitan influenza sepanjang tahun disebabkan oleh iklim tropika yang dimilikinya. Namun, kes-kes influenza ini berlaku pada kadar yang sangat rendah. Analisis yang dilaksanakan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan juga Institut Penyelidikan Perubatan terhadap virus influenza ini mendapati ia tidak menunjukkan sebarang tanda mutasi yang membawa kepada kemunculan virus influenza baharu, yang juga dikenali sebagai ‘novel virus’. Walau bagaimanapun, menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, terdapat beberapa langkah yang perlu diambil bagi mengawal influenza yang berlaku ini. Apatah lagi, jika ia melibatkan kanak-kanak yang berusia bawah lima tahun yang pernah mempunyai influenza.

    Pengesanan di pintu masuk negara

    Beberapa negara seperti Malaysia, Singapura, Hong Kong, Korea Selatan, Taiwan dan Vietnam telah mula bertindak dengan melakukan pengesanan suhu badan bagi penumpang pesawat yang tiba dari Wuhan, China. Singapura telah dilaporkan mempunyai kes pertama yang disyaki berkaitan dengan virus influenza dari Wuhan ini. Ia melibatkan seorang pelancong kanak-kanak berusia tiga tahun dari China yang mempunyai pneumonia dan sejarah perjalanan ke bandar Wuhan. Kanak-kanak tersebut telah ditahan di wad bagi melakukan penilaian dan rawatan. 

    Apakah simptom-simptom dijangkiti influenza?

    Influenza atau flu boleh menyebabkan kesakitan daripada tahap ringan hingga teruk, dan kadangkala boleh menyebabkan kematian. Flu berbeza daripada selesema dan ia biasanya hadir secara tiba-tiba. Antara simptom sekiranya anda mempunyai flu atau influenza ialah:

    • Demam atau rasa seperti hendak demam atau kesejukan
    • Batuk
    • Sakit tekak
    • Hidung tersumbat atau berhingus
    • Sakit-sakit pada bahagian badan atau otot
    • Sakit kepala
    • Keletihan
    • Sesetengah individu mungkin akan mengalami muntah-muntah dan cirit-birit dan ia lebih kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

    Perlu diingatkan juga bahawa tidak semua individu yang mempunyai jangkitan influenza ini akan mengalami demam. 

    Bagaimana jangkitan influenza ini boleh merebak?

    Secara umumnya, virus influenza ini merebak melalui titisan-titisan kecil yang terhasil apabila seseorang individu yang dijangkiti itu batuk, bersin atau bercakap. Titisan-titisan kecil ini boleh memasuki mulut atau hidung individu lain yang berada berdekatan dengan mereka. Selain itu, terdapat juga faktor lain boleh menyebabkan penyebaran virus ini melalui sentuhan pada permukaan atau objek yang mempunyai virus flu padanya. 

    Komplikasi-komplikasi jangkitan influenza

    Antara komplikasi-komplikasi yang boleh berlaku termasuklah pneumonia bakteria, jangkitan telinga, jangkitan sinus, dan keadaan perubatan kronik yang semakin teruk seperti kegagalan jantung kongestif, asma dan diabetes.

    Langkah penjagaan yang sepatutnya

    Menurut Dr. Noor Hisham, sekiranya terdapat keperluan perubatan, dos paracetamol yang bersesuaian perlu diberikan selain kaedah menyejukkan badan dengan menggunakan kain basah pada kepala, kaki dan juga badan. Tambah beliau lagi, penggunaan ubat anti radang (NSAIDS) perlu dielakkan jika berlakunya demam kerana terdapat bukti yang menunjukkan bahawa penggunaannya mungkin meningkatkan risiko komplikasi jangkitan influenza seperti keradangan otak dalam kalangan kanak-kanak. 

    Untuk mereka yang sedang sakit, mereka dinasihatkan untuk meminum banyak air bagi mengekalkan hidrasi tubuh badan mereka. Selain itu, mereka juga perlu mendapatkan nasihat perubatan secepat yang mungkin sekiranya demam tersebut berlanjutan atau terdapat sebarang simptom influenza yang lain seperti selesema, flu, sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan juga keletihan. Mereka yang dijangkiti juga dinasihatkan untuk tidak kerap keluar rumah atau berada di tempat-tempat awam. Jika perlu untuk keluar rumah, mereka yang dijangkiti ini digalakkan untuk memakai topeng muka bagi mengelakkan penyebaran jangkitan melalui udara. 

    Untuk mengelakkan penyebaran jangkitan influenza kepada individu lain, orang awam terutamanya mereka yang dijangkiti diminta untuk menjaga tahap kebersihan diri seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan air bersih, menggunakan hand sanitizer, menjaga kelakuan apabila batuk dan juga mengamalkan gaya hidup yang sihat. Selain itu, bagi mereka yang berada dalam kumpulan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti, mereka juga digalakkan untuk mendapatkan vaksin flu bermusim yang boleh diperoleh daripada fasiliti kesihatan swasta yang terdapat di seluruh negara. Mereka yang tergolong dalam kumpulan berisiko ini adalah seperti kanak-kanak yang berumur kurang daripada lima tahun, warga emas, wanita hamil, mereka yang mempunyai penyakit kronik, mereka yang obesiti dan juga mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah.

    Pesanan buat pengendali pusat asuhan kanak-kanak

    Bagi pentadbir dan pengendali pusat asuhan atau tadika, pastikan anak-anak di bawah jagaan anda berada dalam keadaan yang sihat. Jika anda mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai simptom-simptom jangkitan flu, hubungi ibu bapa atau penjaga mereka agar mereka boleh dibawa pulang ke rumah atau di bawa ke klinik atau hospital berdekatan. Selain itu, lakukan pembersihan di dalam kawasan pusat asuhan dengan cara menggunakan cecair pembasmi kuman. Ini lebih berkesan berbanding penggunaan sabun biasa bagi membunuh kuman yang mungkin boleh menjangkiti anak-anak kecil.

    Kesimpulan

    Walaupun kanak-kanak adalah antara golongan yang paling berisiko untuk dijangkiti influenza, ini tidak bermakna bahawa individu dewasa terlepas daripada jangkitan ini. Anda perlu memastikan bahawa kesemua langkah pencegahan diambil kira bagi memastikan ia tidak merebak dalam kalangan ahli keluarga anda. Jika salah seorang ahli keluarga anda mempunyai tanda-tanda dijangkiti flu, bawa mereka berjumpa dengan doktor secepat yang mungkin bagi melakukan pemeriksaan. Ikuti langkah-langkah seperti yang disarankan agar ia tidak tersebar kepada individu-individu lain. Jika anak kecil anda dijangkiti flu, elakkan daripada menghantarnya ke pusat asuhan atau tadika buat sementara waktu sehinggalah mereka sembuh sepenuhnya. Ini adalah untuk kebaikan anak anda dan juga kanak-kanak lain yang berada di pusat asuhan tersebut.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 06/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan