
Pemahaman terhadap maklumat dan kajian sains kadangkala sukar diterjemahkan kepada bahasa mudah yang difahami masyarakat. Disebabkan itu, seni komunikasi sains merupakan antara cabaran yang perlu dikuasai saintis dalam menyampaikan maklumat.
FameLab International Champion, sebuah pertandingan komunikasi sains bertempat di UK memberi pengiktirafan kepada saintis yang berbakat menyampaikan ilmu sains dalam bahasa yang mudah. Tahun ini menyaksikan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Siti Khayriyyah Mohd Hanafiah dinamakan sebagai “World’s Best Science Communicator”.
Pensyarah Sekolah Sains Biologikal, Universiti Sains Malaysia (USM) ini merupakan rakyat Malaysia kedua memenangi gelaran tersebut, selepas Dr. Abhimanyu Veerakumarasivam daripada Universiti Putra Malaysia pada tahun 2016.
Dalam pembentangannya selama 3 minit tersebut, Dr Siti Khayriyyah menerangkan tentang penggunaan biomarker yang terdiri daripada kombinasi antibodi dan antigen untuk mengesan jangkitan TB. Menurut beliau, kajian lanjut tentang biomarker yang tepat untuk mendiagnosis TB masih diperlukan. Ini disebabkan keterbatasan kaedah sedia ada menyebabkan sesetengah pesakit dengan jangkitan TB tidak dapat dikesan.
Apa itu Biomarker
Biomarker atau biological marker secara umumnya merujuk kepada petunjuk biologi yang diperoleh daripada unsur biologi tubuh yang dapat digunakan untuk mengenalpasti keadaan kesihatan dan boleh diukur dengan tepat. Suhu badan manusia contohnya, merupakan biomarker yang boleh menunjukkan keadaan demam.
Sementara itu dalam bidang biomedikal sains, biomarker kebiasanya merujuk kepada ukuran makmal yang dapat membantu mengenalpasti keadaan tertentu.
Penggunaan Biomarker
Biomarker boleh digunakan untuk mengukur keadaan normal, berpenyakit mahupun kesan kepada ubat. Oleh itu, biomarker membolehkan pencarian jawapan bagi pertanyaan-pertanyaan seperti:
“Apakah saya akan sakit?”
“Apakah buah pinggang saya elok saja? Bagaimana dengan hati saya?”
“Apakah saudara atau anak-anak saya juga akan menderita penyakit ini?”
“Akankah ubat baru ini berkesan pada tubuh saya?”
“Apakah saya akan sembuh?”
Antara contoh kegunaan biomarker yang membolehkan persoalan ini dijawab termasuklah:
Mengenal pasti risiko penyakit
Ujian saringan terhadap kanser boleh dilakukan dengan mengenalpasti kewujudan atau tahap biomarker tertentu. Contohnya, peningkatan alfa fetoprotein boleh meramalkan risiko pesakit mempunyai kanser hepatoselular (hati). Sumber genetik juga boleh memainkan peranan sepertimana aktres popular Hollywood, Angelina Jolie melakukan pembedahan membuang payudara dan ovari kerana biomarker genetik BRCA1 yang menunjukkan risiko menghidap kanser tersebut.
Diagnosis penyakit
Sepertimana penyakit TB menggunakan biomarker untuk diagnosis, terdapat penyakit lain yang turut menggunakan biomarker sebagai salah satu kriteria diagnosis seperti penyakit reumatoid artritis, lupus (SLE), dan demam reumatik.
Membantu perkembangan ubat
Ujian-ujian darah seperti ujian fungsi hati dan buah pinggang adalah antara ujian mengenal pasti biomarker dalam perkembangan ubat. Memandangkan ubat yang anda ambil biasanya akan diproses di dalam hati atau buah pinggang, ukuran biomarker seperti ini dapat membantu menentukan tahap keselamatan sesuatu ubat.
Rawatan penyakit
Penggunaan biomarker dapat membantu menentukan rawatan yang lebih khusus kepada pesakit. Contohnya dalam pesakit kanser paru-paru, biomarker membantu terapi bersasar dengan cara menyesuaikan ubat dengan keadaan mutasi sel kanser. Ujian biomarker yang positif menunjukkan mutasi tertentu sel kanser yang kemudiannya dapat dipadankan dengan ubat yang lebih berkesan. Teknik terapi bersasar ini telah terbukti memberikan keputusan yang lebih baik berbanding kemoterapi konvensional.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.