Pelakon Selma Blair Kini Terpaksa Bertongkat? Kenali Penyakit Saraf yang Melumpuhkan Orang Muda

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 27/11/2019 . 2 minit bacaan
Share now

Bagi peminat filem Hellboy (tahun 2004) dan juga filem Hellboy II (tahun 2008), sudah pasti anda mengenali salah seorang pelakon utamanya iaitu Selma Blair yang memainkan watak Liz Sherman dalam kedua-dua filem tersebut. Pelakon yang turut popular melalui filem Cruel Intentions itu kini terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak dan berjalan akibat daripada penyakit saraf yang menyerangnya. Apa yang lebih membimbangkan adalah penyakit ini hampir selalunya menyerang orang muda dan berupaya untuk menyebabkan kelumpuhan.

Multiple sclerosis, sejenis penyakit autoimun

Multiple Sclerosis (MS) adalah sejenis penyakit neurologi autoimun yang menyebabkan keradangan sistem saraf pusat. Dalam penyakit ini, sistem imun badan seseorang itu sendiri menyerang selaput mielin, lapisan perlindungan berasaskan lemak yang menyelaputi serat-serat saraf dengan jarak yang tertentu antara setiap selaput mielin. Serangan ini menyebabkan berlakunya keradangan yang meluas dalam sistem saraf pusat dan, dengan masa, tisu-tisu parut akan terhasil. 

Pembentukan tisu-tisu parut ini mengganggu fungsi konduksi impuls saraf sekali gus menyebabkan gangguan deria seperti penglihatan, sensasi, kekuatan otot dan juga keupayaan kognitif. Jika dibiarkan tanpa rawatan, Multiple Sclerosis mampu menyebabkan atropi otak dan kehilangan upaya fizikal. Sepanjang menghidap penyakit ini, penghidap boleh mengalami serangan akut bersiri dari semasa ke semasa yang mana dengan setiap serangan akut, gangguan saraf dan keupayaan fizikal boleh menjadi lebih teruk.

Statisitik multiple sclerosis di Malaysia

Multiple Sclerosis adalah sejenis penyakit yang jarang berlaku, dengan anggaran hanya 2.5 juta penghidap di seluruh dunia. Hanya 767 sahaja pesakit MS yang dilaporkan di Malaysia, dengan majoritinya daripada kaum Melayu (59.4%), diikuti oleh kaum India (20.5%), Cina (16.6%) dan juga orang asli (3.5%). Dari sudut jantina, kaum wanita lebih banyak yang menghidapi penyakit ini berbanding kaum lelaki, dengan kadar perbandingan 5:1. Penyakit ini juga adalah penyakit bukan trauma utama dalam menyebabkan ketidakupayaan dalam kalangan golongan belia, dengan julat usia 19.1 tahun hingga 38.9 tahun.

Kadar prevalens penyakit ini di Malaysia dikatakan berada pada kadar 2.73 orang penghidap bagi setiap 100,000 penduduk, namun angka ini mungkin tidak memberikan gambaran yang sebenar kerana kurangnya kesedaran dan pengetahuan rakyat Malaysia terhadap gejala dan tanda penyakit ini, khususnya jika mereka tidak tahu mereka sedang menghidapnya. Kesannya, penghidap mungkin tidak akan terdorong untuk mendapatkan rawatan atau perhatian doktor kerana simptom dan tanda-tanda serangan akut berupaya untuk hilang dengan sendirinya, menyebabkan mereka menyangkakan penyakit mereka telah sembuh.

Kesukaran dalam membuat diagnosis

Tambahan lagi, seperti yang dialami oleh pelakon Selma Blair sendiri, beliau terpaksa berjumpa doktor berkali-kali dari semasa ke semasa sebelum diagnosis berjaya dicapai. Disebabkan ianya jarang berlaku dan simptomnya boleh menjadi tidak khusus, kebanyakan doktor tidak arif atau mahir dalam membuat diagnosis. Tambahan lagi, diagnosis Multiple Sclerosis adalah sesuatu yang mencabar kerana pembentukan diagnosis turut memerlukan ujian yang invasif seperti tusukan lumbar untuk mendapatkan sampel tulang air belakang, dan juga ujian yang terhad di hospital-hospital tertentu sahaja seperti pengimejan MRI. Ini merupakan salah satu faktor mengapa diagnosis hanya dibuat setelah beberapa bulan hingga beberapa tahun seseorang itu mula menzahirkan simptom dan tanda. Untuk Selma Blair sendiri, beliau menangis kegembiraan apabila diagnosis berjaya dibuat setelah bertahun lamanya diganggu oleh simptom penyakit ini.

Gejala Multiple Sclerosis tidak boleh diramal dan setiap gejala boleh berlaku atau tidak berlaku dalam bilangan dan pada masa yang berbeza-beza mengikut individu. Justeru, perhatian dan kesedaran yang lebih perlu disemai demi memastikan pesakit mendapat diagnosis awal dan rawatan yang secukupnya.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Baca juga:

    Artikel lain untuk anda

    multiple sclerosis

    Dunia Lawan Multiple Sclerosis: Kesedaran Kunci Kemenangan

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Shelby
    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab
    Diterbitkan pada 29/05/2019 . 3 minit bacaan
    Pesakit Sklerosis Multipel

    Bolehkah Pesakit Sklerosis Multipel Berpuasa?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Helma Hassan
    Diterbitkan pada 16/05/2018 . 2 minit bacaan