backup og meta

Langkah Menangani Masalah Kencing Kotor (UTI)

Langkah Menangani Masalah Kencing Kotor (UTI)

Sakit kencing kotor merupakan penyakit yang boleh membuatkan pesakit rasa tidak selesa. Namun, jika anda merupakan pesakit kencing kotor yang berulang-ulang, ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan rasa sakit itu. 

Ketidakselesaan yang dialami ini dapat mengganggu kehidupan seharian mereka yang menghidap masalah kencing kotor.

Malah, tidak ada sesiapapun yang ingin berkerja sambil menahan kencing. Dalam masa yang sama, hidup juga akan jadi lebih sukar jika anda terpaksa ke tandas berkali-kali setiap hari.

UTI boleh diubati, tetapi ia boleh berlaku berulang kali kepada individu yang sama terutamanya golongan wanita. Mereka kerap mengalami UTI disebabkan jarak saluran kencing yang dekat dengan rektum. Oleh sebab itu, bakteria lebih mudah untuk memasuki uretra.

Selalunya, doktor akan memberikan preskripsi antibiotik kepada pesakit untuk merawat UTI yang dialami. Namun, jika jangkitan disebabkan oleh masalah kencing kotor tidak sembuh, anda mungkin perlu melakukan lebih banyak ujian bagi menentukan punca sebenar UTI ini. 

Pesakit yang menghidap UTI boleh mengalami gangguan dari segi emosi dan fizikal. Namun, semua ini boleh diatasi jika pesakit sanggup untuk melakukan beberapa perubahan dari segi gaya hidup untuk menangani masalah ini. 

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Jangkitan Saluran kencing, sila dapatkannya di sini. 

Perubahan pesakit UTI dari segi emosi

sakit kencing kotor

Ramai orang akan mengalami perubahan dari segi emosi apabila menghidap UTI. Kesakitan dan ketidakselesaan yang berlaku disebabkan penyakit ini mempunyai impak negatif terhadap perasaan dan emosi pesakit setiap hari.

Perubahan ini amat ketara dalam kalangan warga emas. Disebabkan masalah ini sering melanda mereka yang menghidap demensia dan Alzheimer, maka sukar untuk mereka berkomunikasi tentang masalah ketika membuang air kecil.

Antara tanda yang sering mereka tunjukkan ialah perubahan dari segi tingkah laku seperti mengalami masalah untuk tidur, sering resah, depresi atau berhalusinasi.

Jika melihat sebarang perubahan tingkah laku pada orang tua anda, pastikan anda membawa mereka berjumpa doktor secepat mungkin. 

Rasa sakit yang mereka alami ketika membuang air boleh datang sekali dengan simptom lain seperti demam dan badan menggigil.

Berbeza pula dengan kanak-kanak. Mereka juga mungkin alami simptom kencing kotor yang sama seperti orang dewasa seperti sakit ketika membuang air kecil. Namun, mereka mungkin kerap mengamuk dan buat perangai akibat rasa tidak selesa itu. 

Jika anak atau orang tua yang anda jaga mempunyai penyakit inkontinens urin, anda boleh mengurangkan risiko UTI jika inkontinens yang mereka hadapi dirawat oleh doktor terlebih dahulu. Oleh sebab itu, berbincanglah dengan doktor untuk mendapatkan rawatan terbaik untuk anak ataupun ibu bapa anda. 

Perubahan dari segi fizikal

sakit kencing kotor

Selain kekal melakukan rawatan seperti yang diarahkan doktor, pesakit yang menghidap UTI juga boleh melakukan beberapa perkara untuk mengurangkan ketidakselesaan disebabkan UTI.

Ada beberapa strategi yang dapat membantu pesakit untuk kekal selesa dan mengurangkan simptom yang dialami. Antaranya ialah:

1. Minum banyak air putih

Pastikan anda minum air secukupnya untuk mempercepatkan penyembuhan jangkitan saluran kencing. Anda mungkin perlu ke tandas dengan kerap, namun, anda akan kurang rasa sakit kerana air kencing akan jadi lebih cair.

Selain itu, minum banyak air juga dapat membantu mengeluarkan semua bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan daripada saluran uretra. Jika anda tidak boleh minum air kosong dengan banyak, anda juga boleh tukarkannya dengan minuman lain seperti teh atau kopi.

Walau bagaimanapun, cuba elakkan mengambil minuman bergas ataupun manis. Cukup jika anda boleh minum 8 gelas air sehari.

2. Kosongkan pundi kencing anda

Apabila anda minum air dengan lebih kerap, sudah pasti anda akan selalu ke tandas untuk membuang air kecil.

Walaupun rasa sakit yang disebabkan oleh UTI akan membuatkan anda rasa ingin menahan kencing, elakkan berbuat demikian dan kosongkan pundi kencing anda secepat mungkin. 

Tambah lagi, amalan menahan kencing adalah tidak digalakkan untuk penghidap UTI.

3. Letakkan sesuatu yang panas pada perut anda

Untuk mengurangkan rasa sakit yang dialami, anda boleh cuba letakkan kain panas atau heating pad pada bahagian bawah abdomen.

Selain itu, anda juga boleh mandi dengan air panas untuk mengurangkan kesakitan yang dialami.

4. Elakkan melakukan hubungan seks

Jika anda menghidap UTI, cuba elak mengadakan sebarang hubungan seks. Oleh sebab itu, lebih baik anda elakkannya sehingga simptom yang dialami sembuh sepenuhnya.

5. Guna pakaian yang sesuai

Elakkan memakai pakaian yang ketat dan tidak menyerap peluh. Sebarang lembapan pada kawasan alat sulit boleh boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria.

Sebaiknya, cuba pakai seluar dalam yang diperbuat daripada kapas. Bukan sahaja selesa, material jenis ini juga dapat menyerap peluh dengan lebih baik.

6. Elakkan tahan kencing terlalu lama

Jika anda perlu duduk dalam satu tempoh masa yang lama ketika berkerja, cuba bangun dan berjalan seketika untuk menghilangkan ketidakselesaan disebabkan UTI.

Berjalan boleh melegakan rasa sakit yang berlaku disebabkan cystitis. Alang-alang anda sudah berjalan, apa kata anda minum segelas dua air kosong atau berehat dengan secawan kopi atau teh.

Menyesuaikan diri dengan UTI dari segi sosial

sakit kencing kotor

UTI merupakan sejenis jangkitan bakteria yang lazim berlaku di kalangan wanita dan kekerapannya akan meningkat apabila usia semakin bertambah.

Menurut sebuah kajian yang dijalankan oleh Eriksson, et al., mereka mendapati wanita yang mengalami UTI mempunyai moral yang lebih rendah jika mereka tinggal berseorangan atau duduk di institusi seperti rumah orang-orang tua.

Mereka juga didapati tidak akan keluar rumah jika memakai kateter. Malah, ramai orang tua yang menghidap kencing kotor rasa menderita dan mudah marah disebabkan rasa sakit serta ketidakselesaan yang mereka alami.

Oleh sebab itu, penjaga perlu sentiasa peka akan kesihatan ibu bapa atau orang tua yang berada di dalam jagaan mereka. 

Selain itu, wanita juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap UTI. Malah, menurut statistik, wanita mempunyai risiko sebanyak 50% untuk menghidap UTI sekali seumur hidup.

Oleh sebab itu, ramai wanita yang memahami kesakitan dan ketidakselesaan pesakit yang menghidap UTI. Mereka boleh memberikan sokongan dan membantu anda untuk menyesuaikan diri dengan simptom yang dialami.

Menyesuaikan diri dengan UTI secara praktikal

Jika anda sering mengalami UTI, cara terbaik untuk elak pada masa hadapan ialah dengan berjumpa doktor dan mendapatkan rawatan yang bersesuaian.

Untuk pesakit yang mempunyai penyakit kronik pula, ada banyak langkah pencegahan yang boleh anda lakukan. Salah satunya ialah dengan sentiasa menjaga kebersihan diri untuk elakkan jangkitan daripada berlaku.

Selain itu, pesakit juga boleh mengambil ubat-ubatan seperti ubat tahan sakit yang boleh didapati secara over-the-counter untuk mengurangkan ketidakselesaan yang dialami.

Ubat ini boleh membantu menghilangkan kesakitan untuk beberapa hari. Walau bagaimanapun, elakkan bergantung sepenuhnya terhadap ubat tahan sakit. Sebaiknya, anda berjumpa doktor untuk rawatan yang sepatutnya.

Sesuaikan diri dengan sakit kencing kotor

UTI merupakan penyakit yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, terutamanya kaum wanita. Jika anda sering diserang UTI, mungkin sudah tiba masanya untuk anda melakukan beberapa langkah bagi menyesuaikan diri dengan penyakit tersebut.

Tidak ada satu langkah yang mujarab untuk semua orang untuk membantu menyelesaikan masalah kencing kotor. Oleh sebab itu, anda boleh cuba mana-mana langkah di atas dan lihat yang mana satu dapat membantu anda untuk atasi ketidakselesaan yang berpunca daripada UTI.

Sakit kencing kotor yang ringan boleh sembuh dengan sendirinya tanpa bantuan doktor. Apabila anda dapat merasakan simptom UTI, pastikan anda minum lebih banyak air untuk membuang bakteria daripada saluran uretra.

Ambil ubat-ubatan over-the-counter daripada farmasi berdekatan untuk mengurangkan kesakitan yang dialami.

Jika simptom tidak hilang, anda perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut, lebih-lebih lagi jika demam, muntah-muntah dan menggigil semasa mengalami UTI. Simptom yang lebih serius mungkin merupakan petanda anda mempunyai jangkitan buah pinggang.

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Better Health Channel. 2018. Urinary tract infections (UTI). May. Accessed December 24, 2020. https://www.betterhealth.vic.gov.au/health/conditionsandtreatments/urinary-tract-infections-uti.
  2. Cleaveland Clinic. 2019. 5 Practical Ways to Curb the Pain From Interstitial Cystitis. August 2. Accessed December 24, 2020. https://health.clevelandclinic.org/5-practical-ways-to-curb-the-pain-from-interstitial-cystitis/.
  3. Eriksson, I., Y. Gustafson, L. Fagerström, and B Olofsson. 2010. “Do urinary tract infections affect morale among very old women?” Health and Quality of Life Outcomes volume 73. doi:https://doi.org/10.1186/1477-7525-8-73.
  4. Netdoctor. 2019. How to cope with a urinary tract infection at work. October 25. Accessed December 24, 2020. https://www.netdoctor.co.uk/healthy-living/wellbeing/a29017/uti-cystitis-at-work/.
  5. NHSWSCCG. n.d. Recurrent urinary tract infections. Accessed December 24, 2020. https://www.wsh.nhs.uk/CMS-Documents/Patient-leaflets/UrologyDepartment/6265-1-Urinary-Tract-Infections-recurrent-infections-.pdf.

Versi Terbaru

19/06/2024

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Fahami Tentang Diagnosis & Rawatan Kencing Kotor, Baru Mudah Atasinya!

Langkah Menangani Masalah Kencing Kotor (UTI)


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 19/06/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan