backup og meta

Selain Kerap Buang Air, Ada 3 Penyakit Berkaitan Pundi Kencing, Wajib Ambil Tahu!

Selain Kerap Buang Air, Ada 3 Penyakit Berkaitan Pundi Kencing, Wajib Ambil Tahu!

Bayangkan anda sedang asyik menonton wayang tapi individu yang berada di hadapan anda kerap bangun untuk ke tandas. Menjengkelkan, bukan? Sabar, mungkin individu tersebut mengalami masalah pundi kencing.

Tapi takkanlah orang muda pun mempunyai masalah pundi kencing? Jangan terkejut, zaman moden kini penyakit bukan sahaja dikaitkan dengan warga tua, malahan yang muda juga.

Keadaan sebegini boleh memberikan tekanan kepada individu berkenaan. Mereka akan rasa kurang yakin untuk berada di khalayak ramai.

Namun sedihnya, hal ini tidak dibicarakan secara terbuka kerana masyarakat kita menganggap masalah ini sulit dan seolah-olah membuka aib mereka.  

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Urologi, sila dapatkannya di sini.

Apakah itu masalah pundi kencing?

pundi kencing

Masalah kawalan pundi kencing adalah gabungan keadaan yang mempengaruhi cara seseorang menahan atau membuang air kecil.

Kehilangan keupayaan mengawal air kencing ialah salah satu masalah kawalan pundi kencing yang paling lazim dialami oleh individu.

Ia bukanlah penyakit, tetapi satu keadaan yang mungkin berkaitan dengan masalah kesihatan lain atau peristiwa hidup, seperti kehamilan atau masalah prostat bagi lelaki.

Keadaan ini sangat menjengkelkan dan boleh mempengaruhi kualiti hidup seseorang. Individu yang terlibat mungkin terlalu malu dan takut untuk menyertai aktiviti atau tidak dapat menyelesaikan rutin harian dengan normal.

Contohnya, seseorang mungkin terkencing semasa berlari, batuk, bersin mahupun ketawa. Dalam kes lain, individu tersebut akan mengalami kesukaran untuk ke tandas tepat pada waktunya.

Tiga penyakit pundi yang perlu anda ambil tahu

1. Pundi kencing terlebih aktif (OAB)

Pundi kencing terlebih aktif, juga digelar OAB boleh menyebabkan kekerapan kencing yang datang secara tiba-tiba dan sukar dikawal. Perasaan untuk membuang air kecil akan hadir berkali-kali, sama ada pada waktu siang atau malam.

Kadangkala, sesetengah individu juga akan terkencing secara tidak sengaja. Keadaan tersebut digelar sebagai inkontinen urgensi.

Jika anda mempunyai masalah pundi kencing terlebih aktif, anda mungkin akan mengalami beberapa simptom seperti :

  • Desakan untuk membuang air kecil yang sukar dikawal
  • Membuang air kecil dengan tidak sengaja setelah merasai rasa kencing
  • Kekerapan membuang air kecil, sehingga lapan kali atau lebih dalam tempoh 24 jam
  • Bangun lebih dari dua kali pada waktu malam untuk membuang air kecil (nokturia)

Pundi kencing yang terlalu aktif berlaku apabila otot mengecut secara sukarela walaupun jumlah air kencing yang terkumpul masih rendah. Pengecutan secara tidak sengaja inilah yang menimbulkan rasa keinginan untuk membuang air kecil.

Ia boleh berlaku disebabkan oleh masalah kesihatan seperti sistem saraf, diabetes, jangkitan kuman pada sistem urinari, perubahan hormon dan sebagainya.

[embed-health-tool-bmi]

2. Keradangan pundi kencing

Keradangan pundi kencing adalah masalah kronik yang menyebabkan kesakitan dan tekanan pada organ tersebut. Kadangkala, ia juga boleh menyebabkan kesakitan pada lantai pinggul anda.

Keadaan ini adalah sebahagian daripada spektrum penyakit yang dikenali sebagai sindrom pundi kencing yang menyakitkan (painful bladder syndrome).

Pundi kencing akan memberi isyarat kepada otak untuk membuang air kecil sekiranya ia sudah penuh. Isyarat tersebut disampaikan oleh saraf pelvis anda.

Dalam kes keradangan pundi kencing, terdapat kekeliruan terhadap isyarat tersebut. Oleh itu, anda akan rasa seperti perlu untuk membuang air kecil dengan lebih kerap tetapi jumlah yang lebih sedikit berbanding normal.

Keadaan yang menyakitkan ini paling kerap berlaku dalam kalangan wanita dan boleh memberi kesan jangka masa panjang terhadap kualiti hidup mereka yang terlibat.

Tanda dan gejala penyakit ini berbeza-beza mengikut individu. Sekiranya anda mengalami masalah keradangan ini, simptom boleh berubah dari semasa ke semasa.

Dalam sesetengah keadaan, simptom boleh menjadi lebih teruk, berpunca daripada tindak balas kepada keadaan tubuh ataupun sekeliling. Contohnya, kedatangan haid, duduk untuk waktu yang lama, stres, senaman dan aktiviti seksual.

Tanda dan gejala yang lazim ditemui seperti :

pundi kencing

  • Sakit di bahagian tulang pinggul di antara faraj dan dubur untuk wanita
  • Sakit di antara skrotum dan dubur untuk lelaki
  • Sakit tulang pinggul atau pelvis yang kronik
  • Desakan untuk kencing secara berterusan
  • Kekerapan membuang air kecil, selalunya dalam jumlah yang sedikit sepanjang hari (sehingga 60 kali sehari)
  • Rasa tidak selesa semasa pundi kencing penuh ataupun kosong selepas membuang air kecil
  • Sakit semasa bersenggama dengan pasangan

Walaupun tidak ada penawarnya sehingga kini, banyak ubat-ubatan dan terapi yang boleh ditawarkan untuk melegakan simptom.

Sekiranya tidak dirawat, ia boleh mengakibatkan komplikasi seperti :

  • Kapasiti pundi kencing berkurangan
  • Kualiti hidup yang lebih rendah
  • Masalah keintiman dengan pasangan
  • Masalah emosi

3. Retensi urin

masalah pundi kencing

Ramai yang keliru sama ada retensi urin merupakan sejenis penyakit atau pun tidak. Sebenarnya, retensi urin ialah suatu keadaan yang menjengkelkan apabila anda tidak boleh mengosongkan pundi kencing sepenuhnya.

Ia bukan sejenis penyakit, tetapi lebih kepada tanda yang mungkin berkaitan dengan penyakit lain, seperti masalah prostat buat lelaki atau pundi kencing prolaps pada wanita.

Retensi urin boleh menjadi akut iaitu ketidakupayaan untuk membuang air kecil secara tiba-tiba, atau kronik di mana ia berlaku secara beransur-ansur.

Keadaan akut seringkali berlaku pada lelaki yang lebih berusia dan kemungkinan menjadi lebih teruk seiring bertambahnya usia.

Kajian mendedahkan dalam jangka masa lima tahun, kira-kira satu daripada 10 lelaki berusia lebih daripada 70 tahun dan hampir satu daripada tiga lelaki berusia dalam lingkungan 80-an akan mengalami masalah retensi urin akut.

Berita baik buat kaum hawa kerana retensi urin jarang berlaku pada wanita. Namun setiap tahun, kira-kira tiga daripada 100,000 orang wanita mengalami masalah ini. Bagi kanak-kanak pula, keadaan ini jarang ditemui.

Tanda dan gejala berbeza mengikut keadaan retensi urin yang dialami oleh seseorang. Simptom retensi urin akut termasuklah :

Contoh tanda dan gejala retensi urin kronik yang sering dikenal pasti ialah :

  • Ketidakupayaan untuk mengosongkan pundi kencing sepenuhnya semasa membuang air kecil
  • Kerap membuang air kecil, tetapi dalam jumlah yang sedikit 
  • Kesukaran untuk memulakan aliran air kencing, digelar sebagai keraguan (hesitancy)
  • Aliran air kencing yang perlahan daripada biasa
  • Terdesak untuk kencing walaupun dalam jumlah yang sedikit
  • ‘Kebocoran’ air kencing tanpa sebarang amaran 
  • Sakit atau ketidakselesaan di bahagian bawah perut

Lazimnya, punca masalah ini berkaitan dengan penyumbatan yang menghalang sebahagian atau keseluruhan jumlah air kencing untuk meninggalkan pundi kencing atau uretra.

Dalam hal lain, ia berlaku kerana pundi kencing anda tidak dapat mengekalkan kekuatan yang cukup untuk membuang semua air kencing.

Kesimpulan 

Meskipun masalah pundi kencing lazim didiagnos dalam masyarakat kita, namun masih ramai lagi individu di luar sana yang tidak tahu atau segan-silu untuk berjumpa doktor.

Keadaan ini harus diambil berat oleh setiap orang kerana ia berpotensi menyebabkan jangkitan kuman di ginjal anda lantas mengakibakan masalah kesihatan yang serius. 

Oleh itu, segera berbincang dengan doktor sekiranya anda mempunyai tanda dan gejala seperti yang dijelaskan di atas sebelum terlambat.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/interstitial-cystitis/symptoms-causes/syc-20354357
  2. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/overactive-bladder/symptoms-causes/syc-20355715
  3. https://www.niddk.nih.gov/health-information/urologic-diseases/urinary-retention/definition-facts
  4. https://www.webmd.com/urinary-incontinence-oab/ss/slideshow-bladder-myths-and-facts
  5. https://www.cdc.gov/ic/index.html

Versi Terbaru

17/01/2023

Ditulis oleh Nana Muhammad

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Fatin Zahra


Artikel Berkaitan

Kenapa Perlu Terus Sengsara Akibat Kencing Tak Lawas? Ada 7 Cara Mengawalnya!

AWAS! Air Kencing Terasa Panas Bukan Hanya Sebab Demam, Ini Petanda Jangkitan Kelamin?


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 17/01/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan