Pembedahan kelenjar prostat merupakan salah satu pilihan rawatan untuk kanser prostat. Prosedur pembedahan yang dikenali juga sebagai prostatektomi ini dilakukan dengan membuang kelenjar prostat berserta tisu di sekelilingnya.
Selalunya, prosedur ini memakan masa selama 2 jam. Pesakit akan diberikan anesthesia dan ditidurkan sepanjang pembedahan.
Prostatektomi bukan sahaja dilakukan untuk merawat kanser, prosedur ini juga dibuat untuk mengatasi masalah lain seperti prostat membengkak (benign prostate hyperplasia – BPH) atau lelaki dengan masalah urinari yang kronik.
Sama seperti pembedahan lain, prostatektomi juga mempunyai kesan sampingannya yang tersendiri. Mari ikuti penjelasan kami mengenai pembedahan kelenjar prostat serta langkah yang perlu anda lakukan selepas pembedahan.
Risiko pembedahan kelenjar prostat
Tidak ada pembedahan yang datang tanpa sebarang risiko.
Walaupun pembedahan kelenjar prostat merupakan antara pembedahan yang mudah untuk melegakan simptom urinari, namun risiko serta komplikasinya lebih besar berbanding pembedahan lain.
Bukan itu sahaja, lelaki yang menjalani pembedahan ini juga mungkin perlukan masa yang lebih panjang untuk sembuh.
Antara risiko utama pembedahan prostatektomi ialah:
- Pendarahan.
- Jangkitan saluran kencing.
- Inkontinens urin.
- Orgasma kering.
- Disfungsi erektil atau mati pucuk.
- Saluran uretra menyempit.
Jarang sekali pesakit maut selepas pembedahan kelenjar prostat. Namun, ia juga boleh berlaku. Secara keseluruhannya, risiko anda bergantung kepada kesihatan anda secara am dan umur.
Selepas prostatektomi, apa yang boleh pesakit jangkakan?
Selalunya, pembedahan prostat tidak akan memakan masa yang lama. Selepas pembedahan, pesakit mungkin perlu mengambil ubat tahan sakit untuk menguruskan kesakitan selama beberapa hari.
Jika ubat tahan sakit tidak mencukupi, pesakit perlu berhubung dengan doktor secepat mungkin.
Seminggu selepas pembedahan, kateter akan dikeluarkan. Prosedur ini boleh dilakukan di hospital atau secara sendiri dengan bantuan doktor.
Selain itu, pesakit juga tidak digalakkan untuk melakukan aktiviti yang berat sekurang-kurangnya sebulan selepas pembedahan.
Oleh sebab itu, kebanyakan lelaki yang melakukan pembedahan kelenjar prostat akan mengambil cuti selama sebulan sebelum kembali bekerja.
Selepas sebulan, hidup pesakit akan perlahan-lahan menjadi normal semula. Walau bagaimanapun, ada lelaki yang akan mengalami beberapa kesan sampingan seperti inkontinens urin dan masalah mati pucuk.
Tidak dinafikan, pesakit mungkin perlukan masa yang lama untuk sembuh. Kesan sampingan akibat pembedahan kelenjar prostat juga selalunya bersifat sementara dan akan hilang selepas beberapa bulan.
Kesan sampingan selepas pembedahan
Antara kesan sampingan yang lazim selepas prostatektomi ialah inkontinens urin dan masalah mati pucuk.
Lelaki yang mengalami inkontinens urin sukar untuk mengawal air kencing mereka. Oleh sebab itu, air kencing mereka kerap menitis dan tidak dapat dikawal.
Masalah ini bukan sahaja boleh memberikan impak yang negatif terhadap kesihatan lelaki, mereka juga akan terkesan dari segi mental dan sosial.
Walau bagaimanapun, kesan sampingan ini tidak akan berlarutan dalam jangka masa panjang. Lama-kelamaan, fungsi pundi kencing akan kembali seperti sediakala.
Mati pucuk selepas pembedahan kelenjar prostat pula bergantung kepada umur, kebolehan untuk mengalami ereksi sebelum pembedahan dan sama ada semua saraf pada kawasan prostat telah dipotong semasa pembedahan.
Secara amnya, lelaki mungkin akan mengalami pengurangan ereksi. Namun, pesakit yang masih muda selalunya tidak akan mengalami masalah ini.
Sama seperti masalah inkontinens urin, masalah mati pucuk juga akan sembuh dengan perlahan-lahan.
Jika pesakit perlu bantuan ubat-ubatan, jangan segan untuk berkongsi masalah anda kepada doktor.
Selain masalah kencing tidak lawas dan mati pucuk, ada banyak lagi kesan sampingan yang mungkin berlaku disebabkan prostatektomi. Antaranya ialah:
- Kesukaran untuk mencapai orgasma. Selepas pembedahan, ada kemungkinan lelaki akan mengalami orgasma kering (dry orgasm). Walaupun tiada air mani yang keluar, kaum Adam masih mampu menikmati hubungan seks bersama isteri.
- Tidak subur. Setelah melalui pembedahan, badan masih lagi menghasilkan sperma, namun ia tidak dapat keluar dari badan semasa ejakulasi. Ini bermaksud, lelaki tersebut sudah tidak boleh mendapat anak secara semula jadi. Walau bagaimanapun, perkara ini jarang menjadi masalah kerana penghidap masalah prostat selalunya lelaki yang sudah berusia.
- Perubahan zakar dari segi saiz. Tidak mustahil, zakar lelaki akan jadi lebih pendek selepas pembedahan. Ini mungkin berlaku disebabkan saluran urethra yang semakin memendek.
- Hernia. Pembedahan prostatektomi meningkatkan risiko lelaki untuk mengalami hernia pada masa hadapan.
Kesimpulan
Pembedahan merupakan satu langkah yang boleh pesakit ambil untuk merawat kanser prostat. Sama seperti pembedahan lain, pesakit perlulah rehat dengan secukupnya selepas melakukan prostatektomi.
Untuk mempercepatkan proses penyembuhan, cuba berjalan dengan kerap setiap hari. Aktiviti ini dapat meningkatkan pengaliran darah dan mengelakkan sembelit.
Pada awalnya, cuba elakkan kawasan berbukit dan berjalan di kawasan yang rata. Namun, jangan lakukan sebarang aktiviti berat sejurus selepas pembedahan ya.
Tunggu sekurang-kurangnya 2-3 minggu dan pastikan anda mendapat kelulusan doktor terlebih dahulu.