Jangkitan saluran kencing (UTI) atau kencing kotor merupakan masalah kesihatan yang sering berlaku kepada wanita. Tidak dinafikan, UTI boleh menyebabkan ketidakselesaan sepanjang hari. Namun, selain rasa yang tidak selesa, bolehkah UTI memberikan masalah kesuburan pada wanita?
Wanita dijangka akan mendapat kencing kotor sekali seumur hidup. Sebenarnya, ada beberapa faktor yang menyebabkan UTI lebih lazim dalam kalangan kaum Hawa.
Antaranya ialah anatomi wanita itu sendiri. Saluran urethra wanita lebih pendek berbanding lelaki. Oleh sebab itu, bakteria lebih mudah masuk dan menjangkiti kawasan pundi kencing.
Bukan itu sahaja, terdapat juga beberapa jenis kaedah kontraseptif yang meletakkan wanita dalam golongan yang lebih berisiko.
Sebagai contoh, mereka yang lebih banyak menggunakan diafragma dan juga spermisid mempunyai peratusan yang lebih tinggi untuk menghidap UTI.
Wanita yang sudah mencecah menopaus juga mempunyai tahap hormon estrogen yang kian berkurangan. Secara tidak langsung, ini akan menyebabkan wanita lebih terdedah kepada jangkitan.
Tetapi, itu tidak bermaksud kaum Adam terlepas daripada mengalami UTI! Lelaki juga berisiko, namun tidak setinggi wanita. Jika anda ingin tahu dengan lebih lanjut, mari baca kupasan kami di bawah!
Bolehkah UTI menyebabkan masalah kesuburan pada wanita?
Jangkitan saluran kencing berlaku apabila bakteria memasuki saluran urinari melalui urethra dan mula membiak di dalam pundi kencing.
Walaupun sistem urinari manusia dicipta untuk menghalang kemasukan sebarang bakteria, kadangkala bakteria yang bersaiz mikroskopik masih boleh masuk dan menyebabkan jangkitan.
UTI bukanlah sejenis penyakit yang boleh membawa maut. Malah, ia boleh dirawat jika pesakit melakukan rawatan secepat mungkin.
Namun, jika ia dibiarkan tanpa sebarang rawatan, pesakit berisiko untuk mengalami komplikasi yang serius. Sebagai contoh:
- Jangkitan yang berulang, terutamanya pada wanita yang dijangkiti 2 atau lebih UTI dalam masa kurang dari 6 bulan.
- Kerosakan buah pinggang yang kekal atau jangkitan buah pinggang akut disebabkan kencing kotor.
- Mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk melahirkan bayi yang kurang berat atau pramatang.
- Saluran urethra menyempit dalam kalangan kaum Adam.
- Sepsis, sejenis jangkitan yang boleh membawa maut, lebih-lebih lagi jika jangkitan tersebut bergerak ke kawasan buah pinggang.
UTI selalunya tidak akan menyebabkan masalah kesuburan pada wanita. Walau bagaimanapun, simptomnya sama dengan sejenis penyakit yang dikenali sebagai penyakit radang pelvis atau PID.
Berbeza dengan UTI, penyakit radang pelvis boleh menyebabkan masalah kesuburan pada wanita.
Apakah maksud penyakit radang pelvis?
PID merupakan sejenis penyakit yang mempengaruhi organ reproduktif wanita. Sama seperti UTI, PID boleh menjangkiti wanita menerusi hubungan seks.
Namun, penyakit ini berlaku disebabkan jangkitan kelamin atau STI seperti gonorea dan klamidia.
Kebanyakan orang dijangkiti PID menerusi seks yang tidak selamat. Namun, wanita juga boleh menghidap PID melalui jangkitan lain seperti vaginosis bakteria (BV) yang bukan disebarkan melalui hubungan seks.
Jangkitan ini juga boleh merosakkan sistem reproduktif termasuklah uterus, ovari dan tiub falopio.
Menurut American College of Obstetricians and Gynecologists, 1 dalam 10 wanita yang menghidap PID akan mengalami kemandulan.
Malah, penyakit ini juga boleh menyebabkan tiub falopio menjadi berparut. Parut ini jugalah yang menyebabkan masalah kesuburan pada wanita.
Setiap kali wanita dijangkiti dengan PID, bakteria akan bertindak merosakkan kawasan rahim dan juga tiub falopio.
Malah, wanita yang pernah dijangkiti PID mempunyai risiko yang lebih besar untuk mengalami jangkitan sekali lagi pada masa akan datang.
Tanda penyakit radang pelvis
Penyakit radang pelvis mempunyai beberapa simptom yang lebih kurang sama dengan UTI. Sebagai contoh, penghidap kedua-dua penyakit ini akan rasa sakit dan pedih ketika membuang air kecil.
Namun, penghidap PID mempunyai simptom yang lebih serius. Selalunya, mereka akan alami tanda-tanda seperti:
- Rasa sakit pada kawasan abdomen.
- Keputihan yang abnormal dan berbau busuk.
- Sakit ketika melakukan hubungan seks.
- Demam dan sering seram sejuk.
- Rasa sakit ketika membuang air kecil.
Sebarang luka pada kawasan organ reproduktif boleh menyebabkan masalah kesuburan pada wanita.
Oleh sebab itu, penghidap PID perlu berjumpa doktor dengan segera. Semakin lama pesakit menunda rawatan, semakin besar kemungkinan untuk mengalami masalah kesuburan.
Saluran tiub falopio yang rosak atau tersumbat selalunya boleh dipulihkan dengan pembedahan. Walau bagaimanapun, jika opsyen ini tidak dapat dilakukan, wanita tersebut terpaksa menimbang teknik konsepsi lain seperti IVF.
Kesimpulan
Sebab itulah, amat penting untuk wanita melakukan pemeriksaan secepat mungkin jika mengalami masalah seperti sakit ketika membuang air kecil.
Hanya doktor sahaja yang boleh melakukan diagnosis dan menentukan sama ada penyakit tersebut berlaku disebabkan jangkitan saluran kencing atau penyakit radang pelvis.
Kedua-dua penyakit ini boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada penghidapnya dan boleh mengganggu emosi wanita. Malah, PID yang tidak dirawat juga boleh menyebabkan masalah kesuburan pada wanita.