backup og meta

Jenis-Jenis Ereksi & Durasi Yang Lelaki Boleh Dapat Dalam Satu Malam

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 20/04/2021

    Jenis-Jenis Ereksi & Durasi Yang Lelaki Boleh Dapat Dalam Satu Malam

    Selalu kita jumpa iklan jualan produk yang dapat membantu menguatkan atau mengekalkan durasi ereksi sebelum hubungan seks. Persoalannya, perlu ke sesuatu ereksi itu bertahan lama bagi mencapai kepuasan hubungan seksual?

    Masyarakat sering memegang pada tanggapan yang salah bahawa kelakian seseorang bergantung kepada kebolehannya untuk bertahan lebih lama di atas ranjang. Namun, durasi ereksi normal berbeza mengikut individu berdasarkan faktor-faktor tertentu.

    Artikel ini akan membincangkan perihal masa ereksi normal untuk lelaki. Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki, sila dapatkannya di sini.

    Purata masa ereksi normal bagi lelaki 

    durasi ereksi

    Pelbagai kajian pernah dilakukan bagi mengetahui durasi normal ereksi bagi seorang lelaki. Ini berikutan, kesihatan seksual bukan sahaja dapat mempengaruhi tahap keyakinan diri malah kesihatan mental.

    Menurut kajian yang diterbitkan di laman Jurnal Perubatan Seksual pada tahun 2005, ereksi kebiasaannya berlaku selama 5.4 minit (purata) sewaktu hubungan seks sedang berlangsung. Namun, normal atau tidak durasi ereksi itu bergantung kepada beberapa faktor seperti:

    • Usia
    • Tahap kesihatan
    • Aktiviti seksual 
    • Jenis ereksi

    Secara amnya, individu yang tidak mempunyai masalah kesihatan boleh mengalami ereksi selama 1 jam atau lebih. Ya, 1 jam! Namun, jika ereksi yang dialami melebihi 4 jam, ini adalah keadaan yang tidak normal.

    Sukar untuk kita tahu jika ereksi yang kita alami normal ataupun tidak namun jika anda berasa tertekan dengan prestasi seks anda, boleh rujuk kepada doktor pakar untuk rawatan lanjut.

    Jenis-jenis ereksi

    Pembaca wanita mesti keliru bila ada “jenis ereksi” pada faktor durasi ereksi, kan? Secara amnya, setiap ereksi yang dialami oleh lelaki tidak sama. Ini boleh menimbulkan sedikit kekeliruan memandangkan selama ini kebanyakan individu beranggapan bahawa ereksi hanya disebabkan oleh rangsangan seksual.

    Malah, ketika lelaki sedang kencing juga mereka mengalami ereksi. Jika anda sedar, ketika bangun tidur, anda akan mengalami ereksi walaupun anda sendiri tidak ingat apa yang anda mimpikan sebelumnya. Tiada rangsangan seks namun anda tetap mengalaminya, kenapa, ya?

    Lelaki luangkan 25% waktu tidur malam dengan ereksi

    durasi ereksi

    Tahukah anda bahawa lelaki kebiasaannya mengalami ereksi secara purata, 5 kali sewaktu tidur? Sebab itulah agaknya kita digalakkan untuk memakai pakaian yang longgar ketika tidur. Bagi memberi ruang kepada ‘adik’ untuk bernafas.

    Ereksi tersebut berlaku ketika anda sedang berada di dalam fasa kitaran tidur REM (rapid eyes movement). Setakat ini, terdapat dua teori yang diusulkan bagi memahami mengapa perkara ini berlaku:

    • Penghasilan hormon norepinefrin (hormon yang mengawal atur paras testosteron) jatuh
    • Peningkatan pada paras nitrik oksida ketika fasa tidur REM. Kehadiran bahan kimia ini akan menyebabkan salur darah arteri pada zakar mengembang. Aliran darah akan meningkat dan menyebabkan ereksi

    Apabila anda bangun tidur dan mengalami ereksi, itu merupakan aktiviti normal fisiologi badan anda. Ia masih berada pada kitaran terakhir fasa REM dan akan beransur-ansur turun. Jangan percaya pada mitos yang menyatakan bahawa ereksi pada waktu pagi menandakan anda perlu kencing.

    Menurut kajian oleh Universiti California, ereksi ketika ini berlangsung di antara 30 hingga 60 minit.

    Dapatan kajian tidak tepat

    Mungkin ada yang berpendapat bahawa purata durasi 5.4 minit sewaktu melakukan hubungan seks itu dikira sebagai sangat pendek. Seperti yang penulis bicarakan sebelum ini, durasi normal bagi setiap individu berbeza mengikut faktor-faktor tertentu.

    Namun, kajian yang dijalankan tidak mengambil kira durasi ereksi normal semasa pasangan melakukan foreplay. Jarang atau tiada hubungan seks yang dilakukan tanpa foreplay. Ia penting bukan sahaja bagi menghangatkan hubungan seksual malah memastikan lelaki mengalami ereksi supaya mudah untuk bersetubuh kemudiannya.

    Adakah 5.4 minit terlalu pendek jika dibuang foreplay dalam waktu pengiraan durasi ereksi? Kajian yang dijalankan pada tahun 2008 terhadap pakar terapi seks di Amerika Syarikat dan Kanada, waktu seks ideal adalah di antara 3 hingga 13 minit.

    Mungkin ramai yang berfantasi untuk melakukan hubungan seks sehingga 1 jam namun, kajian tersebut menunjukkan hubungan seks melebihi 13 minit adalah terlalu lama. Maka, jika dilihat pada data tersebut, 5.4 minit merupakan purata durasi ereksi yang relevan.

    Jangan mudah terpedaya dengan ubat yang menjanjikan kesan ereksi lama

    hubungan seks

    Apa yang penting dalam hubungan seks di antara pasangan adalah toleransi dan perbincangan. Setiap individu mempunyai idea dan keinginan mereka yang tersendiri apabila ia berkaitan dengan hubungan seks.

    Bagi setiap individu lelaki, masa durasi ereksi paling lama yang boleh dialami oleh mereka adalah ketika tidur. Bergantung kepada kitaran REM seseorang, ia berbeza mengikut individu. Jika anda mengalami durasi ereksi yang cukup untuk memberikan kepuasan seksual, tidak kiralah anda mengalami ereksi selama mana sekalipun, ia masih dikira normal.

    Walau bagaimanapun, masalah lain seperti stres, ejakulasi pramatang dan sebagainya boleh mempengaruhi durasi ereksi tersebut. Dalam situasi ini, cara yang paling munasabah, bukanlah untuk mencari agen yang menjual ubat untuk keras. Sebaliknya, anda perlu mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan rawatan jika perlu.

    Tiada jawapan mudah kepada persoalan durasi normal bagi ereksi. Selagi ia tidak memberikan tekanan emosi, fizikal dan mental kepada anda atau pasangan, tiada sebab untuk anda menganggap ia merupakan satu masalah. 

    Perkara yang paling penting adalah jangan bandingkan durasi ereksi anda dengan individu lain. Selain daripada pelik, ia menunjukkan bahawa anda tidak faham peraturan mudah biologi bahawa setiap lelaki mempunyai durasi ereksi yang berbeza.

    Konklusi

    Jika anda mempunyai masalah berkaitan dengan ereksi, pastikan anda mendapatkan pemeriksaan perubatan. Penjagaan kesihatan seksual penting bagi memastikan aspek fizikal, emosi dan mental terjaga.

    Jangan mudah terpedaya dengan ubat tahan lama dan ubat kuat yang sering dijual di internet. Tanpa pengawasan doktor, pengambilan ubat tersebut boleh menyebabkan komplikasi. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 20/04/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan