Umum mengetahui bahawa hubungan intim adalah satu perbuatan normal dan harus dilakukan khususnya buat mereka yang bergelar pasangan suami isteri.
Tanpanya, maka akan hambar dan tidak bermaknalah kehidupan intim di kamar tidur kalian berdua.
Apa yang menariknya, anda dan pasangan bebas berhubungan dengan pelbagai cara, teknik dan variasi.
Pun begitu, ini semua haruslah dilakukan secara sedar untuk kalian berdua dapat merasai nikmat projek asmara yang dijalankan secara bersama itu.
Kenapa kami kata begini? Ini kerana ada individu yang secara tidak sedar melakukan seks ketika tidur!
Definisi seks ketika tidur
Mungkin ramai yang sudah biasa dengan istilah ‘mengigau’ iaitu perbuatan bercakap, berjalan atau melakukan sesuatu ketika sedang nyenyak tidur.
Untuk pengetahuan anda, ia termasuk di dalam kategori parasomnia – aktiviti tidak normal yang dilakukan oleh individu ketika sedang lena tidur.
Ada satu lagi jenis parasomnia yang lebih membimbangkan iaitu seks ketika tidur atau lebih dikenali sebagai seksomnia kerana ia akan membuat seseorang itu bertindak ganas di luar kawalan secara intim.
Antara perkara yang akan dilakukan oleh penderita gangguan ini ketika tidur termasuklah marturbasi, melakukan penetrasi atau lebih membimbangkan iaitu berhubungan secara paksa.
Menurut kajian yang dijalankan oleh Toronto Western Hospital di Canada terhadap 832 individu, didapati bahawa 62 orang atau 7.6% daripada jumlah itu mengalami seksomnia.
Apa punca ia berlaku agaknya?
Punca sebenar seksomnia
Sehingga kini, punca sebenar gangguan seksomnia masih belum dapat ditentukan dengan tepat dan masih menjadi sebuah misteri.
Pun begitu, mungkin terdapat beberapa petunjuk atau petanda berdasarkan penelitian terhadap kes yang pernah terjadi sebelum ini.
Berikut adalah pencetus seksomnia yang diperkatakan:
- Pernah mengalami gangguan seksomnia
- Mengalami gangguan parasomnia yang lain
- Mengalami gangguan tidur seperti obstructive sleep apnea (OSA) atau restless legs syndrome (RLS)
- Tidur kurang kuantiti dan kualiti
- Kecederaan pada bahagian otak
- Menghidapi migrain
- Penyalahgunaan dadah
- Pengambilan ubat tidur
- Kepenatan
- Kegelisahan
- Trauma
- Depresi
Menurut Toronto Western Hospital di Canada lagi, golongan lelaki adalah lebih berisiko mengalami seksomnia berbanding wanita.
Sekiranya anda mengesyaki diri mengalami kondisi ini, maka segera berjumpa doktor untuk berkonsultasi dan rawatan lanjutan.
Bagaimana untuk elak seks ketika tidur?
Sesungguhnya, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, adalah lebih baik untuk anda tahu bagaimana hendak elak seks ketika tidur berulang kembali.
Berikut adalah caranya:
#1. Merawat gangguan tidur yang dialami
Seperti mana yang kita semua sudah tahu, seksomnia didalangi oleh gangguan tidur yang lain seperti OSA dan RLS.
Dalam usaha untuk mengelak ia berlaku, adalah lebih baik untuk penderita merawat gangguan tidur terlebih dahulu.
Caranya adalah dengan berjumpa doktor dan dapatkan pandangan mereka untuk menggunakan mesin continuous positive airway pressure (CPAP).
#2. Mengambil ubatan tertentu
Selain cara yang kami nyatakan di atas, kondisi gangguan tidur serta pelbagai lagi pencetus seksomnia lain mungkin boleh diubati dengan mengambil ubatan tertentu.
Antara ubatan yang mungkin akan dicadangkan oleh doktor adalah ubat penenang untuk memudahkan dan melancarkan tidur yang lebih berkuantiti dan berkualiti.
Pun begitu, pastikan kalian berjumpa doktor terlebih dahulu ya?
#3. Mengubah cara tidur
Hakikatnya, seksomnia bukan sahaja akan mengganggu diri anda malahan orang sekeliling juga terutamanya pasangan hidup anda.
Bayangkan, pasangan anda yang tidur sekatil dengan anda tentu sahaja akan terkeliru dan terkesan dengan gangguan yang anda alami ini.
Disebabkan itu, cara terbaik untuk merawat seksomnia adalah dengan mengubah cara tidur. Bagaimana?
Anda mungkin boleh cuba untuk tidur berasingan dan berseorangan pada waktu malam.
Ini bertujuan untuk mengelakkan penderita mencederakan individu yang tidur bersamanya.
Sampai bila? Ia haruslah dirujuk kepada pakar terlebih dahulu.
#4. Kaunseling
Akhir sekali, jangan pula anda berasa segan atau takut untuk berjumpa dengan pakar psikiatri untuk merawat seksomnia.
Ketahuilah bahawa gangguan seks ketika tidur ini juga mungkin disebabkan oleh kecelaruan emosi atau penyakit mental yang anda alami.
Oleh itu, jalanilah sesi kaunseling untuk mendapatkan konsultasi bersama pakar dalam usaha menyembuhkan kecelaruan yang wujud.
Dengan 4 cara ini, maka gangguan seksomnia mungkin tidak akan berulang kembali!
[embed-health-tool-bmi]