backup og meta

7 Makanan Sihat Untuk Bantu Pesakit Psoriasis Lawan Kegatalan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 15/12/2023

    7 Makanan Sihat Untuk Bantu Pesakit Psoriasis Lawan Kegatalan!

    Tidak dinafikan, makanan untuk pesakit psoriasis merupakan satu aspek penting yang perlu dititikberatkan.  

    Jika anda merupakan penghidap psoriasis, anda pasti tahu bahawa kondisi ini boleh dicetuskan oleh apa sahaja. 

    Asap rokok, luka pada tangan dan kadangkala penyakit tertentu boleh mengakibatkan kulit jadi gatal-gatal dan bersisik.

    Namun, bagaimana pula dengan makanan untuk pesakit psoriasis? Benarkah ia boleh menyebabkan psoriasis menjadi semakin teruk? Jawapannya, mungkin ya!

    Bukan itu sahaja, ada juga beberapa jenis makanan yang dapat membantu mengurangkan simptom psoriasis!

    Walau bagaimanapun, bukan semua jenis makanan boleh memberikan respons positif kepada pesakit psoriasis.

    Nasihat Dr. Annie Gonzalez, Pakar Dermatologi dari Riverchase Dermatology di Miami – Apa yang penting, pastikan anda sentiasa peka dengan apa yang dimakan.

    Tambah beliau lagi, semua orang mempunyai pencetus atau ‘trigger’ yang berbeza.

    Kadangkala, ada makanan yang berkesan untuk mengurangkan psoriasis dalam kalangan individu tertentu. Namun bagi orang lain, ia tidak berkesan.

    Sebagai panduan, kami telah menyenaraikan beberapa makanan untuk pesakit psoriasis yang mungkin berkesan untuk mengurangkan simptom. Nak tahu makanan apa? Jom sama-sama ikuti kupasan kami di bawah.

    Makanan untuk pesakit psoriasis

    makanan untuk pesakit psoriasis

    Seperti yang kita ketahui, ada beberapa jenis makanan yang dapat melawan inflamasi. 

    Cara yang terbaik untuk melawan keradangan yang berlaku disebabkan psoriasis adalah dengan pengambilan makanan yang sihat.

    Diet yang terbaik untuk penghidap psoriasis adalah diet Mediterranean. Ia amat berkesan dalam mengurangkan atau melegakan simptom psoriasis.

    Pada masa yang sama, diet Mediterranean juga amat bermanfaat untuk penghidap sakit jantung, diabetes jenis 2, kanser dan pelbagai penyakit lain.

    Antara makanan terbaik untuk penghidap psoriasis ialah:

    Makanan untuk pesakit psoriasis #1. Amalkan diet yang sihat

    Jika anda menghidap psoriasis, semua yang anda makan dan minum akan mempengaruhi kesihatan anda.

    Walau bagaimanapun saintis masih belum dapat mengenal pasti sama ada diet atau makanan tertentu dapat mengurangkan simptom psoriasis.

    Namun, diet yang merangkumi pelbagai buah-buahan, sayur-sayuran, protein dan bijirin penuh mungkin dapat mengurangkan simptom pesakit psoriasis.

    2. Makan lebih banyak sayuran hijau

    Sayuran hijau kaya dengan antioksidan yang dapat melindungi sel badan daripada keradangan. Sebab itulah, sayuran hijau seperti bayam, sawi atau kubis daun dapat mengurangkan simptom psoriasis.

    Cuba banyakkan pengambilan sayur dalam diet seharian. Jika anda ingin mencuba sesuatu yang baharu, cuba sediakan salad atau masukkan sayuran ini ke dalam telur dadar.

    3. Lawan psoriasis dengan ikan

    makanan untuk pesakit psoriasis

    Ikan seperti salmon, tuna, sardin dan makerel mengandungi asid lemak omega-3 yang dapat mengurangkan inflamasi. Dalam masa yang sama, ikan ini juga dapat meningkatkan sistem imun badan anda.

    Untuk mengurangkan simptom psoriasis, cuba makan ikan 2 kali seminggu. Menurut sebuah kajian, individu yang makan 170 gram (6 auns) ikan setiap minggu mengalami pengurangan dalam simptom psoriasis yang dialami.

    Malah, pengambilan asid lemak omega-3 juga dapat mengurangkan risiko sakit jantung!

    4. Tambah bijirin penuh dalam makanan

    Antara makanan untuk pesakit psoriasis tambahkan dalam diet seharian ialah bijirin penuh seperti roti whole-grain, bijirin sarapan, pasta dan nasi.

    Makanan yang mengandungi serat bukan sahaja dapat memudahkan proses pencernaan, ia juga boleh meredakan simptom psoriasis.

    Selain bijirin di atas, anda juga boleh mengambil lebih banyak quinoa, barli dan bulgur sebagai opsyen lain yang sihat, namun tetap menyelerakan.

    5. Tambah minyak zaitun dalam makanan

    makanan untuk pesakit psoriasis

    Bukan semua minyak masak mempunyai khasiat yang sama. Namun, berbeza pula dengan minyak zaitun yang sangat berkhasiat untuk badan.

    Ia bukan sahaja bersifat antiradang, minyak zaitun juga kaya dengan asid lemak omega-3 yang amat baik untuk pesakit psoriasis.

    Malah, minyak zaitun juga merupakan salah satu bahan asas dalam diet Mediterranean.

    Kajian menunjukkan individu yang makan lebih banyak sayur-sayuran hijau, buah-buahan, ikan, kekacang dan minyak zaitun mengalami simptom psoriasis yang tidak serius.

    6. Buah-buahan untuk kurangkan simptom psoriasis

    Teringin sesuatu yang manis tetapi sihat? Cuba tambahkan buah-buahan dalam diet setiap hari.

    Buah-buahan mengandungi antioksidan, serat dan pelbagai vitamin yang dapat melawan inflamasi. Untuk khasiat tambahan, ambil buah-buahan dengan warna yang berbeza.

    Semua buah-buahan ini mempunyai nutrisi yang berbeza. Sebagai contoh, buah beri, ceri dan epal mengandungi polifenol, manakala oren dan tembikai kaya dengan vitamin C.

    Buah nanas juga merupakan salah satu makanan untuk pesakit psoriasis amalkan dengan kerap. Ia mengandungi enzim antiradang yang dikenali sebagai bromelain yang dapat mengurangkan simptom psoriasis.

    7. Ambil kekacang sebagai snek

    Kekacang amat sesuai dijadikan snek harian. Ia bukan sahaja mengandungi protein yang tinggi, malah ia juga dapat melawan inflamasi disebabkan kandungan nutrien, lemak sihat dan seratnya yang tinggi.

    Tidak tahu bagaimana hendak masukkan kekacang dalam diet harian anda? Mudah sahaja! Campurkan sahaja dengan salad atau makan begitu saja.

    Tetapi, jangan makan terlalu banyak kacang! 28 gram kacang mengandungi hampir 160 hingga 200 kalori. Jadi, makanlah secara berpada-pada ya!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 15/12/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan