Penyakit vitiligo, atau juga dikenali sebagai penyakit kulit putih boleh menyebabkan kulit kehilangan warnanya secara beransur-ansur.
Walaupun ia lebih kerap didiagnosis pada usia muda, sesetengah individu mungkin mula mengalami vitiligo pada usia yang lebih lewat.
Jadi, adakah ini sesuatu yang biasa? Ketahui lebih lanjut mengenai vitiligo dalam penjelasan kami di bawah.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi berkenaan Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.
Apakah penyakit kulit putih @ vitiligo?
Vitiligo berlaku apabila pigmen yang memberi warna kepada kulit, rambut dan mata mula mati atau berhenti berfungsi. Ia akan menyebabkan kemunculan tompok putih pada kulit.
Hingga hari ini, punca sebenar vitiligo masih belum diketahui.
Namun, ia dipercayai melibatkan faktor autoimun, genetik atau faktor persekitaran tertentu seperti tekanan atau trauma pada permukaan kulit.
Penghidap vitiligo tidak akan rasa sakit. Penyakit vitiligo juga tidak akan menular dari satu individu ke individu yang lain.
Bagaimanapun, ia boleh memberi kesan psikologi yang ketara terhadap sesetengah pesakit.
Vitiligo selalunya berlaku pada usia muda
Dalam kebanyakan kes, vitiligo mula muncul sebelum usia 20 tahun.
Namun, terdapat banyak kes di mana ia mula berlaku pada usia dewasa, termasuk usia 30-an, 40-an dan lebih tua.
Perubahan warna kulit pada usia lewat ini sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pakar perubatan kerana ia dianggap sebagai penyakit yang lebih biasa berlaku pada golongan muda.
Mengapa penyakit kulit putih berlaku pada lewat usia?
Gejala vitiligo selalunya mula berlaku pada usia muda, tetapi tidak mustahil ia boleh terjadi di kemudian hari.
Berikut adalah beberapa faktor utama yang menyumbang kepada perkembangan vitiligo pada usia dewasa.
- Faktor autoimun
Sebahagian besar kes vitiligo berkait dengan sistem imun tubuh.
Masalah autoimun ini boleh berlaku pada bila-bila masa dalam hidup terutamanya jika seseorang mengalami tekanan atau penyakit tertentu.
- Trauma kulit atau pencetus fizikal lain
Trauma kulit seperti luka, terbakar atau geseran berulang boleh mencetuskan vitiligo walaupun pada usia lanjut.
- Faktor genetik
Meskipun bukan semua yang mempunyai sejarah keluarga vitiligo atau penyakit kulit putih akan mengalaminya, faktor genetik boleh memainkan peranan.
Bagi sesetengah individu, gejala hanya muncul setelah pencetus tertentu berlaku.
- Tekanan dan perubahan hidup
Tekanan fizikal atau emosi yang besar seperti kehilangan pasangan, penyakit serius atau pembedahan juga berpotensi mencetuskan vitiligo.
Diagnosis dan rawatan penyakit vitiligo
Jika seseorang mengalami perubahan warna kulit pada usia dewasa, langkah pertama adalah berjumpa doktor atau pakar dermatologi untuk diagnosis.
Pemeriksaan fizikal, sejarah perubatan dan ujian lampu Wood biasanya digunakan untuk mengesahkan vitiligo.
Pilihan rawatan untuk penyakit kulit putih:
- Krim topikal: Krim kortikosteroid atau inhibitor calcineurin boleh membantu memulihkan warna kulit.
- Fototerapi: Rawatan menggunakan cahaya UV boleh menjadi pilihan untuk kes yang lebih teruk.
- Pemindahan kulit: Dalam beberapa kes, pemindahan kulit mungkin dicadangkan untuk kawasan tertentu.
- Rawatan estetik: Sesetengah individu memilih untuk menggunakan kosmetik atau rawatan laser untuk menyamarkan tompok putih.
Kesan psikologi dan sokongan emosi
Vitiligo, terutamanya pada usia yang lewat boleh menyebabkan tekanan emosi kerana ia berupaya menyebabkan perubahan warna kulit yang ketara.
Malah, perubahan ini mungkin menjejaskan imej diri, keyakinan dan kesejahteraan psikologi individu.
Oleh itu, sokongan emosi adalah elemen penting dalam pengurusan penyakit kulit putih bagi membantu pesakit menyesuaikan diri dengan sebarang perubahan dan menjalani kehidupan yang lebih positif.
Langkah-langkah sokongan:
- Terapi: Kaunseling boleh membantu individu menangani perubahan imej diri
- Komuniti sokongan: Sertai kumpulan sokongan vitiligo untuk berkongsi pengalaman dan mendapat nasihat daripada orang lain
- Kesedaran diri: Belajar menerima keadaan ini dan menumpukan perhatian kepada aspek lain dalam hidup boleh membantu meningkatkan keyakinan diri
Dengan gabungan terapi serta sokongan dari ahli keluarga dan insan tersayang, individu yang menghidap vitiligo boleh menangani cabaran emosi dengan lebih baik.
Kesimpulan
- Vitiligo boleh bermula pada usia lewat walaupun biasanya berlaku pada usia muda.
- Faktor-faktor seperti tekanan, trauma kulit dan keadaan autoimun mungkin menyumbang kepada perkembangan awal penyakit.
- Vitiligo tidak menular atau menyebabkan sebarang kesakitan fizikal.
- Kesan emosi dan psikologi akibat vitiligo boleh menjadi cabaran besar bagi penghidapnya.
[embed-health-tool-bmi]