Setiap tahun, kita didedahkan dengan lambakan produk baharu di pasaran. Di media sosial juga, terlalu banyak iklan-iklan skincare yang tidak ditapis ditayangkan kepada umum. Malah, kita juga tidak tahu sama ada produk kecantikan lulus KKM ataupun tidak.
Untuk pengetahuan anda, produk kecantikan merupakan satu bisnes yang besar. Ia juga sangat menguntungkan. Sebab itulah, produk kecantikan ini dijual dengan pembungkusan yang menarik dan berwarna-warni.
Kulit yang cantik dan berseri merupakan impian setiap orang. Oleh sebab itu, kita semua mencari produk yang baik dan sesuai dengan kulit, dengan harapan ia dapat membawa perubahan yang positif terhadap rupa paras kita.
Namun, bagaimanakah kita boleh menjadi pembeli yang bijak dan tidak mudah terpedaya dengan janji-janji palsu yang dicanang oleh produk kosmetik atau penjagaan wajah ini?
Di bawah, kami senaraikan beberapa contoh produk penjagaan wajah atau kosmetik yang mungkin indah khabar dari rupa.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.
5 kenyataan produk kecantikan yang mungkin tidak benar
Tidak dinafikan, terdapat terlalu banyak produk kecantikan di luar sana. Untuk menonjolkan diri mereka dalam pasaran, produk-produk kecantikan ini perlu merangka strategi pemasaran yang berkesan dan dapat menarik minat orang ramai.
Bagaimanakah caranya? Salah satunya adalah dengan menabur janji-janji manis dan meletakkan pelbagai label pada produk mereka untuk memperdaya pengguna.
Sebagai pembeli yang bijak, jangan sesekali mudah jatuh dalam perangkap mereka. Kadangkala, produk ini mengandungi bahan yang berbahaya dan boleh memudaratkan kulit.
Malah, mungkin ada di antara produk kecantikan lulus KKM, namun masih tidak selamat untuk digunakan!
Sebagai panduan, kami akan berikan 5 contoh claim produk kecantikan yang lazim digunakan. Jadi, hati-hatilah ya sebelum membeli!
1. Kesan segera dan bertindak pantas
Pernahkah anda nampak produk kecantikan yang menjanjikan kesan yang pantas, kadangkala dalam masa beberapa hari?
Selalunya, produk pemutih wajah sering menggunakan kenyataan ini untuk menarik minat pembeli.
Jika anda rasa janji yang ditabur produk tersebut tidak masuk akal, besar kemungkinan ia hanyalah satu janji palsu.
Namun, lebih teruk lagi jika produk tersebut mengandungi bahan-bahan yang berbahaya dan memudaratkan kesihatan.
Sebelum beli, pastikan anda rujuk dahulu sama ada ia merupakan produk kecantikan lulus KKM.
Baca juga:
- Elak Pakai Produk Pemutih Sebarangan, Boleh Rosak Kulit! Ini Tip Putihkan Muka Dengan Selamat
- Bagaimana Memilih Produk Kecantikan yang Selamat dan Berkesan?
2. Produk bersifat antipenuaan atau antikedutan
Tahukah anda, tidak ada satu produk pun yang boleh mengurangkan kedutan yang teruk?
Malah, banyak krim, losen dan vitamin yang dijual di pasaran tidak mempunyai bukti yang cukup untuk membuktikan produk mereka dapat memperlahankan proses penuaan.
Walaupun begitu, ada beberapa bahan yang dapat mengurangkan kedutan halus di wajah. Sebagai contoh, produk kecantikan lulus KKM yang mengandungi asid alfa hidroksil, peptida dan retinol mungkin dapat membantu.
Namun, pastikan anda mempunyai jangkaan yang realistik. Tidak ada produk yang boleh buatkan kita nampak 10 tahun lebih muda.
Semua krim atau pelembap hanya dapat memberikan keputusan yang sederhana, bertepatan dengan harganya.
3. Menegangkan kulit dan menghilangkan selulit
Benarkah ada produk yang dapat menegangkan kulit dan menghilangkan selulit?
Menurut Mayo Clinic, selulit bermaksud kulit yang berlekuk atau bergaris pada kawasan paha, punggung dan perut wanita serta lelaki. Ia berlaku disebabkan lemak yang ada di bawah lapisan kulit.
Walaupun selulit merupakan sesuatu yang normal, namun ia boleh membuatkan kita rasa rendah diri dan malu dengan penampilan diri.
Buat masa ini, tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa pemakaian krim tertentu boleh menghilangkan selulit.
Jadi, untuk wanita yang sedang mencari jalan menghilangkan kesan regangan, elakkan membeli krim selulit kerana anda mungkin akan kecewa.
Sama jugalah dengan krim untuk menegangkan kulit wajah. Krim ini hanyalah sejenis pelembap yang dapat membuatkan wajah rasa tegang buat seketika.
4. Menggunakan bahan semula jadi dan berasaskan tumbuhan
Benarkah produk yang tertulis ‘organik’ mempunyai 100% bahan berasaskan tumbuhan? Jawapannya, mungkin tidak! Sama jugalah dengan produk yang dikatakan menggunakan 100% bahan semula jadi.
Produk yang terdiri daripada bahan semula jadi atau ‘100% natural’ mungkin mempunyai bahan kimia lain yang berfungsi sebagai pengawet. Walaupun produk kecantikan lulus KKM, pastikan anda baca dulu senarai bahannya sebelum beli!
5. Produk bebas pewangi
Sama seperti produk yang berasaskan bahan semula jadi, produk yang bebas pewangi juga mungkin sebenarnya mengandungi pewangi!
Kadangkala, bahan yang digunakan di dalam produk tersebut mempunyai baunya yang tersendiri, tetapi tidak dinyatakan sebagai pewangi dalam produk tersebut.
Kesimpulan
Untuk pengetahuan anda, bukan semua produk kecantikan lulus KKM selamat untuk digunakan.
Kadangkala, bahan yang terkandung di dalam produk tersebut mungkin tidak sesuai untuk wajah anda.
Oleh sebab itu, selain melakukan pemeriksaan di laman sesawang KKM mengenai satu-satu produk kecantikan lulus KKM, pastikan anda baca juga senarai bahan di kotak pembungkusnya.
Selain itu, jangan mudah tertipu dengan janji palsu, terutamanya yang menjanjikan perubahan mendadak dalam masa yang singkat.
Sudah tentu kita tidak mahu menjadi mangsa penggunaan produk yang tidak berkualiti, bukan?