Masalah ingrown hair atau rambut tumbuh ke dalam kulit merupakan sesuatu yang menyakitkan. Ramai orang, terutamanya lelaki berjambang mencari jalan untuk mengatasi ingrown hair kerana ia boleh menyebabkan inflamasi dan kegatalan pada kawasan yang terjejas.
Ingrown hair merupakan sesuatu yang lazim berlaku selepas membuang bulu. Ingrown hair boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang bercukur atau mencabut bulu, terutamanya jika mereka bercukur terlalu dekat dengan kulit.
Individu yang mempunyai rambut yang keriting atau sangat tebal lebih berisiko untuk mengalami ingrown hair.
Namun, ingrown hair bukanlah tanda penyakit. Ia juga boleh sembuh dengan sendirinya.
Ingrown hair selalunya muncul sebagai bintik hitam atau merah jambu pada wajah. Bintik-bintik ini muncul apabila hujung rambut yang tajam tumbuh secara melintang atau berpusing kembali dan menikam kulit.
Dalam kes yang serius, ada orang yang mengalami pertumbuhan ingrown hair berganda. Ini menyebabkan mereka mengalami bintik-bintik kecil yang menyerupai jerawat pada kawasan yang tumbuh bulu seperti di muka dan kaki.
Malah, bintik ini juga boleh menjadi semakin besar dan menyerupai jerawat!
Apakah punca ingrown hair?
Struktur dan arah pertumbuhan rambut memainkan peranan penting dalam pembentukan ingrown hair.
Rambut yang keriting dan tebal membuatkan ia lebih mudah untuk tumbuh secara melintang atau masuk semula ke dalam kulit.
Selain itu, amalan bercukur akan menghasilkan hujung rambut yang tajam. Sebab itulah, mereka yang bercukur lebih berisiko untuk mengalami ingrown hair.
Anda juga lebih berisiko untuk berdepan dengan masalah ini jika:
- Gemar menarik kulit ketika bercukur. Ini akan menyebabkan rambut yang dipotong untuk masuk semula ke dalam kulit.
- Mencabut bulu. Kadangkala, rambut yang dicabut putus di bawah lapisan kulit.
- Suka bercukur dalam keadaan kering.
Apabila rambut menembusi kulit, kulit kita akan mengalami keradangan.
Lama-kelamaan, bintik-bintik kecil yang kadangkala dipenuhi nanah akan tumbuh dan menyebabkan kesakitan.
Ingrown hair juga boleh menyebabkan komplikasi tertentu seperti:
- Jangkitan bakteria disebabkan menggaru.
- Kulit menjadi gelap disebabkan hiperpigmentasi.
- Parut kekal.
- Pseudofolliculitis barbae, bintik-bintik yang muncul selepas bercukur.
Tanda-tanda ingrown hair
Antara simptom ingrown hair yang perlu diperhatikan ialah:
- Gatal kulit.
- Bintik kecil dengan rambut di tengah pada kawasan muka dan leher.
- Bintik kecil yang dipenuhi nanah.
- Rasa sakit.
- Munculnya pseudofolliculitis barbae, bintik-bintik kecil selepas bercukur. Ia turut dikenali sebagai razor bumps, yang lazim berlaku pada kawasan muka dan leher.
Cara mengatasi ingrown hair
Cara terbaik untuk mengatasi ingrown hair adalah dengan tidak bercukur.
Walaupun begitu, ramai lelaki dan wanita lebih suka bercukur kerana ia mudah dan menjimatkan masa. Malah. amalan bercukur juga penting untuk menjaga rupa paras masing-masing.
Jika anda masih ingin bercukur, ada beberapa langkah yang boleh anda lakukan untuk mengelakkan pertumbuhan ingrown hair:
- Cuci kawasan wajah dengan air suam dan pencuci muka sebelum bercukur.
- Sapukan krim setiap kali bercukur. Tunggu selama beberapa minit untuk melembutkan rambut. Anda juga boleh letakkan tuala hangat ke atas tempat yang ingin dicukur.
- Gunakan pencukur yang tajam. Tidak kisahlah anda suka gunakan pencukur single -blade atau triple-blade, gunakan yang selesa pada kulit.
- Jangan cukur terlalu dekat dengan kulit.
- Cukur mengikut arah pertumbuhan rambut.
- Cuci pisau cukur dengan kerap.
- Gunakan skrub selepas bercukur untuk membuang sebarang rambut atau bulu yang tersangkut.
- Basuh muka dan sapukan losen selepas bercukur.
Selain langkah di atas, ada juga beberapa cara lain yang berkesan untuk mengatasi ingrown hair:
- Gunakan pencukur elektrik. Elakkan bercukur terlalu rapat dengan kulit atau pegang pencukur jauh sedikit dari kulit.
- Gunakan penanggal bulu kimia. Walau bagaimanapun, sebelum guna, uji dulu pada kulit. Penanggal bulu kimia boleh menyebabkan iritasi. Oleh sebab itu, hati-hati sebelum menggunakannya.
- Pakai krim untuk mengurangkan pertumbuhan bulu. Ada produk yang boleh mengurangkan pertumbuhan bulu. Selain itu, anda juga boleh lakukan terapi laser untuk buang bulu secara kekal.
Jika simptom yang dialami tidak berkurangan, jumpa doktor untuk rawatan lanjut. Doktor boleh bertindak membuang bulu tersebut secara manual atau memberi ubat-ubatan untuk mengurangkan inflamasi dan jangkitan.
Kesimpulan
Cara yang termudah untuk mengatasi ingrown hair atau rambut tumbuh ke dalam kulit adalah dengan membiarkan rambut tumbuh tanpa memotongnya terlalu pendek.
Amalan bercukur atau mencabut bulu boleh membuatkan masalah ingrown hair menjadi semakin serius, terutamanya jika anda suka menarik kulit wajah ketika bercukur.
Ada banyak cara untuk mengelakkan masalah ini. Antaranya ialah penggunaan krim yang mengandungi eflornithine untuk mengurangkan pertumbuhan bulu.
Malah, anda juga boleh melakukan rawatan laser untuk membuang terus bulu pada kawasan yang tidak diingini.
Untuk kebanyakan orang, masalah ingrown hair akan sembuh dengan sendirinya. Kurangkan bercukur serta gunakan pencukur elektrik untuk mengurangkan simptom dan menggalakkan luka untuk sembuh dengan lebih pantas.