backup og meta

Kerap Sangat Jerawat Tumbuh Di Dagu? Usah Risau, Jom Rawat Dengan 6 Cara Ini!

Kerap Sangat Jerawat Tumbuh Di Dagu? Usah Risau, Jom Rawat Dengan 6 Cara Ini!

Susah hati sebab ada banyak jerawat di dagu? Jangan gusar. Teruskan membaca artikel Hello Doktor ini kalau ingin mengetahui cara mengatasi masalah jerawat tersebut. Alami jerawat batu atau jerawat pasir? Lihat di sini.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.

Kemunculan jerawat di dagu

Kemunculan jerawat atau akne pada bahagian dagu adalah perkara biasa. Seperti jerawat lain, ia mungkin disebabkan oleh gabungan faktor termasuklah peningkatan sebum, liang pori tersumbat, keradangan dan bakteria.

Berdasarkan penyelidikan, jerawat pada bahagian muka ini – dagu dan garis rahang – sering dikaitkan dengan hormon, khususnya pada wanita.

Hormon androgen merangsang pengeluaran sebum – minyak yang bertanggungjawab dalam penyumbatan liang pori. 

Sesetengah wanita menghasilkan lebih banyak androgen seperti disebabkan oleh keadaan kesihatan yang dikenali sebagai sindrom ovari polisistik (PCOS).

Fahami puncanya 

Sama ada remaja atau dewasa, kedua-duanya boleh mengembangkan jerawat pada bahagian muka ini. 

jerawat di dagu
Ilustrasi lokasi jerawat. Sumber: acne.org.

Jerawat remaja paling kerap muncul pada bahagian zon-T – merangkumi dahi, hidung dan dagu. Manakala jerawat dewasa yang berpunca daripada turun naik hormon sering terjadi di sepanjang garis rahang.

Antara punca kemunculan jerawat di dagu adalah:

  • Kulit berminyak
  • Hormon yang turun naik
  • Gangguan hormon, seperti PCOS
  • Tabiat pemakanan
  • Tekanan
  • Genetik
  • Ubatan tertentu
  • Produk penjagaan rambut dan kulit

Bukan masalah jerawat

Dalam sesetengah kes, jerawat di dagu tersebut bukanlah jerawat. Sebaliknya keadaan yang menyerupai seperti jerawat, iaitu rambut tumbuh ke dalam (ingrown hair) atau rosacea.

Walaupun masalah ingrown hair lebih kerap dalam kalangan lelaki yang bercukur, namun sesiapa sahaja boleh mengalaminya. 

Ia adalah di mana rambut tumbuh semula ke dalam kulit, menyebabkan kemerahan dan keradangan. Keadaan itu boleh membentuk pustula seperti jerawat dan agak gatal.

Rosacea pula adalah keadaan yang menyebabkan kemerahan dan benjolan bernanah pada kulit.

jerawat di dagu
Jerawat kemerahan pada kulit muka.

Merawat jerawat di dagu

Bergantung kepada tahap keterukan akne, terdapat beberapa pilihan yang boleh anda lakukan untuk merawat masalah jerawat yang dialami:

Basuh muka

Untuk merawat jerawat ia harus bermula dengan kulit yang bersih. Basuh muka 2x sehari menggunakan produk pembersih lembut.

Selain daripada memicit jerawat, anda juga harus elakkan harsh product atau menggosok terlalu kuat kerana ia boleh merengsakan kulit dan memburukkan akne.

Produk penjagaan bersesuaian

Individu yang mempunyai jerawat perlu mengelakkan produk mekap, penjagaan kulit dan rambut yang berasaskan minyak.

Gunakan produk dengan label:

  • Bukan komedogenik – dirumus khusus untuk tidak menyumbat liang pori
  • Berasaskan air
  • Tanpa minyak
  • Tidak akan berjerawat
  • Tidak akan menyumbat pori 

Kurangkan produk tenusu & gula bantu atasi masalah jerawat

Mereka yang gemar mengambil minuman soda dan produk bergula lain lebih cenderung untuk mengalami jerawat. Begitu juga dengan individu yang suka mengambil produk tenusu dengan banyak.

jerawat di dagu
Makanan perlu elak ketika berjerawat.

Ubat farmasi

Bahan-bahan berikut semuanya boleh didapati di farmasi dan kedai ubat, yang telah terbukti dapat mengurangkan jerawat:

  • Retinoid
  • Asid salisilik
  • Benzoyl peroksida
  • Asid azelaic

Retinoid telah terbukti sangat membantu dalam merawat bintik putih dan bintik hitam. Asid salisilik dan benzoil peroksida mungkin lebih berkesan untuk merawat papula dan pustula.

Rawatan preskripsi

Doktor mungkin menetapkan mana-mana yang berikut:

  • Antibiotik
  • Dapsone
  • Retinoid oral

Doktor juga mungkin mengesyorkan ubat kawalan hormon seperti pil pencegahan kehamilan – dapat membantu mengawal pengeluaran sebum.

Laser atau terapi cahaya, antara cara atasi masalah jerawat di dagu

Pakar dermatologi kosmetik mungkin mengesyorkan beberapa versi terapi cahaya untuk membantu merawat jerawat anda. Prosedur ini biasanya perlu dilakukan dalam beberapa sesi di dalam bilik rawatan.

Langkah pencegahan 

Agak sukar untuk menghalang sepenuhnya pertumbuhan jerawat pada bahagian dagu. Tetapi beberapa perkara berikut boleh dilakukan sebagai langkah pencegahan, seperti:

  • Mencuci dagu dan semua kawasan muka dengan sabun lembut dua kali atau lebih setiap hari 
  • Elakkan makanan berminyak dan tinggi gula
  • Meminimumkan tekanan atau pencetus hormon lain
  • Hindari daripada menyentuh muka secara berlebihan dengan tangan dan jari
  • Gunakan pelindung matahari bebas minyak dengan kerap

Anda juga harus mengelakkan tingkah laku tertentu untuk membantu merawat dan mencegah jerawat daripada terbentuk di dagu, antaranya:

  • Jangan picit jerawat. Ini boleh menyebabkan lebih banyak keradangan dan menyebabkan parut
  • Jangan sekali-kali tidur dengan solekan. Sentiasa cuci muka sebelum tidur
  • Jangan biarkan kulit muka kering. Minyak boleh menyebabkan masalah, begitu juga kekeringan pada kulit. Gunakan pelembap muka
  • Jangan cuba rawatan atau produk baharu setiap minggu
  • Elakkan pembersih muka, loofah dan scrub yang keras. Jangan scrub muka terlalu kerap

Jerawat di dagu adalah normal

Jerawat pada bahagian dagu perkara biasa. Ia sering disebabkan oleh hormon yang merangsang pengeluaran minyak berlebihan pada dagu, sekali gus memerangkap sel kulit, kotoran dan bakteria punca jerawat.

Kesimpulan

Mengamalkan penjagaan kebersihan kulit wajah dan diri yang betul adalah cara terbaik menghalang perkembangan jerawat.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. What Does It Mean When Acne Is on Certain Areas of Your Face? https://health.clevelandclinic.org/what-does-it-mean-when-acne-is-on-certain-areas-of-your-face/, Accessed on April 26, 2022
  2. How To Treat Different Types Of Acne. https://www.aad.org/public/diseases/acne/diy/types-breakouts, Accessed on April 26, 2022 
  3. Acne. https://familydoctor.org/condition/acne/, Accessed on April 26, 2022
  4. Acne. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/acne/symptoms-causes/syc-20368047
  5. Acne. https://kidshealth.org/en/teens/acne.html, Accessed on April 26, 2022 
  6. The Truth About “Chin Acne” In Women. https://www.acne.org/the-truth-about-chin-acne-in-women.html, Accessed on April 26, 2022 

Versi Terbaru

23/04/2024

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Jerawat Tumbuh Belakang Badan? Pakar Kulit Kongsi 5 Cara Efektif Rawat Akne

Lepas Berpeluh Terus Mandi Punca Panau Naik Di Badan? Cuba 6 Petua Ini Untuk Hilangkannya!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 23/04/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan