Ternampak Ada Wanita Yang Tumbuh Misai Halus Di Wajah, Ambil Tahu Ini Sebabnya!

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 11/11/2020 . 6 minit bacaan
Share now

Siapa sahaja yang tidak kenal Wak Doyok? Beliau merupakan seorang selebriti fesyen tanah air kita yang sangat mementingkan penampilan. Dari hujung rambut ke hujung kaki, beliau sangat teliti dan kemas. Identiti beliau adalah misai yang unik serta jambang yang menarik. 

Mungkin akan ada yang beranggapan bahawa ia hanya akan membuat muka menjadi semak. Namun bagi kebanyakan lelaki, ia memberi satu gaya yang memberi imej “macho”. Pun begitu, adakah benar lelaki bermisai dan berjambang adalah pilihan wanita?

Persoalan itu mungkin agak subjektif dan jawapannya bergantung kepada individu. Pun begitu, ada satu persoalan yang lebih penting iaitu mengapakah ada sesetengah lelaki yang tidak boleh menumbuhka jambang? Sila ikuti artikel ini dengan lebih lanjut.

Apakah faktor lelaki sukar menumbuhkan misai atau jambang? 

misai

Lelaki yang bermisai dan berjambang mungkin mempunyai banyak kelebihan dari segi penampilan. Ini membuatkan kesemua lelaki mahu memilkinya. Pun begitu, ini tidak adil bagi lelaki yang tidak boleh menumbuhkannya. Adakah terdapat sebarang faktor yang menyebabkan rambut tidak tumbuh pada wajah lelaki?

Ada beberapa faktor yang dikatakan menjadi punca mengapa misai dan jambang tidak tumbuh pada wajah seseorang. Salah satunya adalah kadar testosteron yang rendah. Untuk pengetahuan anda, hormon ini mempunyai peranan yang sangat penting dalam pertumbuhan rambut pada kulit muka. Disebabkan itu, wanita tidak ada yang memilikinya. Namun begitu, masih ada wanita yang akan mempunyai rerambut walaupun pada wajah ekoran mempunyai ketidakstabilan hormon testosteron. Pun begitu, ia adalah kondisi yang jarang berlaku.

Menurut Dr. Kenneth Beer yang merupakan seorang pakar kulit dari Amerika Syarikat, kadar testosteron dalam tubuh badan setiap individu sebenarnya mungkin sudah mencukupi. Namun begitu, reaksi tubuh badan mereka terhadap hormon ini adalah berbeza bergantung kepada individu itu sendiri. Ada lelaki yang tubuh badannya mampu mempunyai respon yang baik dengan hormon ini lalu menumbuhkan misai dan jambang pada wajah. Dan ada juga lelaki yang kurang sensitif terhadap hormon ini walaupun kadarnya sudah mencukupi.

Menurut beliau lagi, faktor genetik juga memainkan peranan yang penting. Oleh itu, lihat pada susur galur keturunan anda. Jika ada yang bermisai dan berjambang lebat, mungkin anda akan berpeluang untuk memilikinya dan begitulah sebaliknya. Rambut pada wajah dan seluruh tubuh badan anda sebenarnya sudah ditentukan dalam gen anda sebelum anda lahir lagi.

Apakah terdapat cara untuk menumbuhkan misai atau jambang?

Sekiranya anda merupakan lelaki yang tidak memiliki fitur ini dan ingin mempunyainya, adakah terdapat sebarang cara yang anda boleh lakukan? Jawapannya, mungkin ya dan mungkin tidak, bergantung kepada individu itu sendiri.

Jika kadar testosteron dalam tubuh badan anda sangat rendah, Dr. Kenneth menyatakan bahawa anda mungkin boleh menyuntik hormon ini masuk ke dalam tubuh badan anda. Pun begitu, ia masih tidak dapat menjamin pertumbuhannya. Jika anda memang secara lahiriah tidak dapat menghasilkan reaksi yang tepat dengan hormon ini, suntikannya dalam kadar yang banyak sekalipun tidak akan dapat menumbuhkannya. Apatah lagi jika secara genetik anda sudah ditentukan anda memang tidak boleh memilikinya, ia sangat sukar.

Bagaimana pula dengan suplemen? Anda mungkin pernah terdengar atau terbaca bahawa terdapat beberapa suplemen berbentuk gel, minyak atau pil yang dikatakan mampu membantu anda menumbuhkan rambut pada wajah. Hati-hati, ini mungkin hanya sekadar iklan untuk melariskan produk. Dr. Kenneth menyatakan bahawa sehingga kini masih belum terdapat kajian yang boleh membuktikan keberkesanan suplemen sebegini. Lebih menakutkan, ia mungkin akan mendatangkan kesan sampingan seperti luka atau kerosakan organ hati. 

Menurut Dr. Joel M. Galfand yang merupakan ahli dermatologi dari University of Pennsylvania pula menyatakan bahawa sebenarnya memang tidak wujud sebarang ubat atau rawatan khusus untuk lelaki menumbuhkan misai dan jambang. Pun begitu, untuk melebatkannya mungkin ada. Paling utama, anda perlu memperbetulkan gaya hidup anda. Ini bermakna anda perlu menjaga pemakanan anda dengan nutrisi yang seimbang dan sebaiknya tinggalkan tabiat buruk anda seperti merokok atau minum alkohol. Ini mungkin sahaja akan membantu tubuh badan anda untuk meningkatkan lagi keberkesanan reaksi terhadap hormon testosteron.

Adakah normal wanita memiliki misai dan jambang?

misai

Jika tadi artikel ini membicarakan mengenai rambut pada lelaki sahaja, anda perlu tahu bahawa wanita juga boleh memiliki rerambut pada wajah. Jangan terkejut jika mereka juga mampu memiliki misai atau jambang kerana ia adalah satu kondisi yang dinamakan hirsutisme.

Apa itu hirsutisme?

Hirsutisme adalah kondisi biasa yang boleh berlaku kepada beberapa individu kesan daripada genetik. Sekiranya ada ibu atau kakak anda yang memiliki kondisi ini, maka kemungkinan besar anda boleh mengalaminya. Ia adalah kondisi pertumbuhan rambut berlebihan yang terjadi kepada wanita. Jika diperhatikan, rerambut yang tumbuh pada wanita akibat kondisi ini adalah lebih kasar dan gelap dan akan tumbuh di bahagian yang selalu tumbuh pada tubuh badan lelaki iaitu wajah, dada, paha dan punggung. 

Secara lahiriahnya, bulu-bulu ini tidak dianggap sebagai karakteristik fizikal yang biasa bagi wanita. Kondisi ini lebih banyak ditemui berlaku kepada masyarakat yang tinggal di kawasan Asia Tenggara, Timur Tengah dan Mediterania.

Apa punca hirsutisme?

Antara punca hirsutisme yang paling besar adalah penghasilan hormon seks lelaki (androgen) khususnya testosteron. Bagi anda yang belum tahu, semua wanita akan menghasilkan testosteron, walaupun kebiasaannya ia adalah dalam jumlah yang jauh lebih kecil berbanding lelaki.

Pun begitu, bukan sekadar jumlah testosteron ini yang akan menyebabkan pertumbuhan rambut pada wanita namun ia juga akan bergantung kepada tahap sensitiviti folikel rambut terhadap androgen dan insulin serta keseimbangan antara testosteron dengan hormon yang lain, seperti progesteron dan estrogen.

Selain daripada pertumbuhan bulu yang banyak pada tubuh badan anda sebagai seorang wanita, terdapat juga gejala lain yang disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon, iaitu:

  • Kitaran haid yang tidak menentu
  • Jerawat
  • Kulit berminya
  • Payudara mengecil
  • Klitoris membesar
  • Otot bahu menjadi bidang
  • Suara menjadi garau
  • Kebotakan kulit kepala

Anda yang memiliki fitur-fitur seperti ini tidak perlu terlalu bimbang kerana ia sangat jarang mendatangkan komplikasi yang serius. Pun begitu, ia masih berisiko untuk menyebabkan kondisi kronik, seperti:

  • Jumlah hormon pertumbuhan yang berlebihan (Acromegaly)
  • Pertumbuhan tumor pada kelenjar adrenalin (Congenital adrenal hyperplasia)
  • Pertumbuhan kista di rahim (PCOS)

Walaupun ia dikatakan sebagai satu kondisi yang normal, periksa kesemua simptom ini pada tubuh badan anda. Jika anda mengalami simptomnya yang teruk, sila segera berjumpa doktor untuk mendapatkan khidmat rawatan lanjut.

Adakah hirsutisme boleh dirawat?

Jadi, adakah anda perlu risau jika anda merupakan salah seorang individu yang mengalami keadaan ini? Sebenarnya, tidak asalkan anda tidak mengalami sebarang simptom yang teruk seperti yang dinyatakan di atas ini.

Selain itu, pasti anda yang mengalaminya akan terfikir untuk membuang rerambut ini pada wajah terutamanya untuk tujuan kosmetik, bukan? Jadi, adakah terdapat sebarang ubat atau rawatan bagi hirsutisme?

Sebenarnya, ia bergantung kepada punca yang mendasarinya dan tahap lebat pertumbuhan rambutnya. Anda boleh sahaja menghilangkan rerambut ini dengan cara yang paling mudah iaitu mencukur atau mencabutnya.

Pun begitu, ia sudah tentu sahaja tidak bersifat kekal dan bulu itu akan tumbuh kembali dengan cepat jadi anda perlu mengulang proses ini berulang kali pada setiap hari. Harus diingatkan juga bahawa anda perlu melakukan teknik membuang bulu ini dengan berhati-hati kerana ia boleh merosakkan kulit jika dilakukan dengan kasar. 

Tip mencukur dan membuang bulu

Bukan sahaja bagi individu yang mengalami hirsutisme, setiap individu normal sama ada lelaki atau wanita perlu tahu teknik mencukur atau membuang bulu dengan betul agar kesihatan dan kecantikan kulit anda sentiasa berada dalam keadaan yang bagus.

Apabila sudah meningkat dewasa, anda pasti perasan bahawa muka anda semakin berbulu. Anda juga akan menemui bulu di bahagian lain yang sebelum ini bersih dan licin seperti ketiak, dada, perut, dan kemaluan. Itu tandanya anda sudah mencapai umur matang.

Pertambahan bulu ini disebabkan oleh hormon androgen yang mula melonjak naik selepas mencapai akil baligh. Sekarang, sudah tentu anda perlu mula berfikir tentang mencukur atau membuang misai dan jambang anda. Berikut merupakan beberapa tip:

Tip pertama: Bila perlu mula mencukur dan membuang bulu?

Pertama sekali, dapatkan pandangan lelaki dalam keluarga anda – abang atau ayah. Apabila bulu gelap sudah mula tumbuh, kebiasaannya di bahagian dagu (janggut) dan atas bibir (misai), sudah tiba masanya untuk mula mencukur dan membuang bulu.

Tip kedua: Memilih jenis pisau cukur

Memilih pisau cukur yang selamat dan berkesan adalah sangat penting. Ia mungkin sedikit berbeza bagi setiap individu. Kebiasaannya, terdapat dua jenis: elektrik dan manual.

  • Pencukur elektrik

Jenis ini kebiasaannya sangat selesa dan sesuai untuk dipakai oleh anda yang ingin cepat dalam setiap perkara. Anda boleh dapatkan jenis berwayar atau tanpa wayar (boleh cas semula atau menggunakan bateri). Sebaiknya untuk memilih jenis yang mempunyai kepala fleksibel supaya dapat disesuaikan dengan bentuk muka. Harga pencukur elektrik mungkin lebih mahal berbanding manual.

  • Pencukur manual

Jenis ini kebiasaannya pakai buang dan anda memerlukan krim atau gel pencukur untuk memastikan kulit tidak luka dan untuk mengelakkan ruam. Sesetengah gel atau krim mungkin tidak sesuai dengan kulit anda. Jadi, uji kulit anda dengan jenama berbeza.

Tip ketiga: Mengelakkan luka

Luka semasa mencukur atau membuang bulu ialah perkara biasa terutamanya di waktu awal bercukur. Namun, ada beberapa tip yang boleh membantu, iaitu:

  • Waktu terbaik untuk mencukur atau membuang bulu ialah selepas mandi dengan air suam kerana kulit terhidrat dan lembut.
  • Basuh muka dengan air suam sebelum sapu gel atau krim pencukur.
  • Mencukur atau membuang bulu mengikut arah bulu, bukan melawan arah. Kebiasaannya, bulu akan tumbuh ke arah bawah, jadi bercukur juga paling baik mengikut arah tersebut untuk mengelakkan ruam dan merah-merah pada muka.
  • Jangan terburu-buru dan tekan pisau cukur terlalu kuat.
  • Tukar pisau cukur dengan kerap. Pisau tumpul lebih kerap menyebabkan luka.
  • Selepas mencukur atau membuang bulu, basuh muka dengan air dan sabun. Kemudian, sapu dengan losen atau pelembap muka untuk mengelakkan kulit menjadi kering.
  • Kekerapan mencukur dan membuang bulu bergantung kepada setiap individu mengikut ketebalan bulu dan pilihan masing-masing. Bagi sesetengah lelaki, mereka lebih selesa untuk tidak mencukur atau membuang bulu licin dan hanya mengemaskan bulu padamuka menggunakan mesin trimmer.

Apa yang penting adalah misai dan jambang yang anda sangat banggakan itu sentiasa kemas dan bersih agar ia sentiasa kelihatan cantik dan menarik seperti Wak Doyok.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan

Baca juga:

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

Bukan Rambut Saja, Misai Pun Boleh Rasa Gatal, Ini 5 Puncanya

Rasa gatal pada misai dan janggut lazim dialami oleh lelaki. Jika serius ia boleh mengganggu produktiviti harian. Ketahui punca dan tip atasinya.

Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Wazir Aiman
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
Gaya Hidup Sihat, Kesihatan Kulit 01/07/2020 . 3 minit bacaan

Wahai Lelaki, Jangan Bercukur Di Bulan November

Mengapa kebanyakan lelaki menyimpan segala jenis rambut pada tubuh badan sepanjang bulan November? Ikuti artikel ini untuk tahu berkenaan Movember.

Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
Berita, Berita Tempatan 08/11/2019 . 2 minit bacaan

Artikel lain untuk anda

wanita suka lelaki berjambang

Ternyata Kaum Hawa Lebih Tertarik Dengan Lelaki Berjambang! Ini Alasan Saintifiknya

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Nisreen Nadiah
Diterbitkan pada 18/12/2020 . 3 minit bacaan
tips bercukur

Berapa Kali Boleh Guna Pisau Pencukur Yang Sama? Ini Tip Bercukur Selamat Tanpa Rosakkan Kulit

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Nisreen Nadiah
Diterbitkan pada 27/11/2020 . 3 minit bacaan
jambang lelaki

Jejaka Berjambang Lebih Subur? Bukan Itu Saja, Ada Kajian Kata Jambang Jadi Perisai Lelaki

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
Diterbitkan pada 16/11/2020 . 3 minit bacaan
tumbuh jambang

Lelaki Kurang Jantan Jika Tiada Janggut, Benarkah Ada Kaitan Dengan Hormon Testosteron?

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Fatin Zahra
Diterbitkan pada 21/10/2020 . 3 minit bacaan