Testis tidak turun
Dalam embriologi manusia, proses testis turun dari abdomen ke dalam kantung telur merupakan keadaan yang penting berikutan ia boleh mempengaruhi kebolehan badan untuk menghasilkan hormon testosteron.
Mereka yang mengalami masalah kesihatan ini kebiasaannya mempunyai paras testosteron yang sangat rendah daripada normal. Jika dirawat pada peringkat awal, paras testosteron boleh kembali ke nilai normal semula.
Varikosel
Keadaan kesihatan di mana saluran vena pada testis membengkak. Aliran darah secara berlebihan boleh menyebabkan suhu kantung telur menjadi tidak ideal bagi proses penghasilan sperma. Ini boleh menyebabkan lelaki mandul.
Isu seksual yang lain
Terdapat pelbagai jenis masalah kesihatan yang boleh mempengaruhi minat individu untuk melakukan hubungan seks.
Perkara ini penting memandangkan ia boleh memberi kesan kepada kekerapan melakukan hubungan seks.
Antaranya adalah mati pucuk, ejakulasi pramatang dan keadaan yang boleh menyebabkan kesakitan semasa hubungan seks.
Faktor persekitaran dan gaya hidup turut memainkan peranan

Walaupun penyakit kronik merupakan punca utama lelaki mandul, faktor persekitaran juga boleh mempengaruhi integriti sperma lelaki.
Sebagai contoh, pendedahan kepada kawasan sekitar (contoh: sauna) atau meletakkan objek panas berhampiran dengan testis lelaki (menggunakan laptop di atas riba untuk satu tempoh masa yang lama) boleh mengubah suhu ideal untuk penghasilan sperma.
Selain itu, bahan kimia juga merupakan salah satu punca mengapa seseorang itu boleh mandul.
- Pendedahan kepada bahan kimia yang lazim digunakan dalam industri seperti benzene, toluene dan racun boleh mempengaruhi kuantiti sperma berkualiti
- Pekerjaan yang mendedahkan lelaki terhadap sinar radiasi seperti juru imbasan x-ray dalam satu tempoh masa yang lama turut boleh menyebabkan masalah kesuburan. Risiko ia berlaku bergantung kepada faktor seperti pemakaian alatan pelindung peribadi (PPE) dan sebagainya
- Terdedah kepada logam berat
Selain itu, gaya hidup juga boleh mempengaruhi integriti sperma secara langsung dan tidak langsung.
Jika faktor penting seperti pemakanan, senaman dan lain-lain tidak terjaga, ia boleh menyebabkan lelaki mandul melalui beberapa perkara:
- Kemurungan.
- Penggunaan alkohol secara berlebihan.
- Tabiat merokok.
- Peningkatan berat badan sehingga menyebabkan masalah obesiti.
- Penggunaan ubat atau suplemen seperti steroid untuk satu jangka masa yang lama.
Konklusi
Terdapat pelbagai punca yang boleh menyebabkan lelaki mandul.
Oleh itu, jika anda mengalami kesukaran untuk mendapatkan anak, pastikan anda berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat kesihatan dan pemeriksaan.
Jangan mudah terpedaya dengan suplemen penambah sperma dan sebagainya yang terjual di pasaran.
Hanya ambil suplemen jika ia dibenarkan oleh doktor.