backup og meta

Penyakit Kulit Aneh Sindrom Manusia Pokok, Bagaimana Untuk Kendali & Rawat?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 22/04/2022

    Penyakit Kulit Aneh Sindrom Manusia Pokok, Bagaimana Untuk Kendali & Rawat?

    Sebenarnya, wujud pelbagai jenis penyakit aneh lagi pelik yang sangat jarang berlaku di dunia ini dan ia termasuklah sindrom manusia pokok atau Tree Man Syndrome.

    Buat anda yang mungkin belum tahu, ia adalah sejenis penyakit berkaitan kulit di mana individu mengalami ketumbuhan unik seperti kulit pokok pada kulit mereka.

    Persoalannya, bagaimana cara untuk mengendali dan merawat sindrom manusia pokok ini? Jom teruskan membaca artikel untuk tahu dengan lebih lanjut tentangnya!

    Apa itu sindrom manusia pokok?

    Untuk pengetahuan anda semua, penyakit kulit misteri ini digelar dengan panggilan Tree Man Syndrome atau nama saintifiknya, Epidermodysplasia Verruciformis (EV).

    Kebiasaannya, simptom-simptom EV akan muncul pada zaman kanak-kanak dengan kemunculan benjolan seakan ketuat pada kawasan kulit leher, muka, tangan dan kaki.

    Lama-kelamaan, ketuat-ketuat ini akan mula merebak ke seluruh tubuh badan individu dan merubah bentuknya seperti kulit pokok, sesuai dengan nama penyakit ini.

    Menurut Genetic and Rare Diseases Information Center (GARD), kondisi sindrom manusia pokok ini adalah antara penyakit yang sangat jarang berlaku di dunia ini.

    sindrom manusia pokok

    Dianggarkan kira-kira 200 individu sahaja di seantero dunia yang mengalami penyakit misteri ini!

    Apa punca sindrom manusia pokok?

    EV adalah sejenis penyakit yang sangat jarang berlaku dan akan diwarisi melalui mutasi genetik tetapi tidak pula boleh berjangkit dari satu individu ke individu lain.

    Mutasi tersebut akan jadi punca individu itu mengalami kerosakan atau kecacatan pada sistem imunisasi tubuh badan lantas tidak mampu melawan jangkitan virus.

    Akibatnya, tubuh badan penderita sindrom manusia pokok lebih mudah terdedah dengan beberapa jenis virus tertentu khususnya Human Papilloma Virus (HPV).

    Virus ini kemudiannya pula akan menjejaskan genetik, sel dan fitur kulit individu lantas menyebabkan ketumbuhan unik seperti kulit pokok pada kulit penderitanya.

    Apa yang lebih penting, ia tidak boleh berjangkit dan juga bukan akibat sumpahan alam mistik!

    Sebuah kisah benar tentang kondisi ini…

    Abul Bajandar, seorang pemuda berusia 29 tahun dari Bangladesh digelar sebagai ‘The Tree Man‘ telah tular beberapa tahun dahulu akibat kondisi yang dialaminya.

    Disebabkan kulit yang mengalami ketumbuhan seperti kulit pokok, beliau tidak mampu untuk menjalani kehidupan biasa dan normal serta dipinggirkan masyarakat.

    sindrom manusia pokok

    Sumber: BBC

    Pada tahun 2016, beliau telah menjalani sebanyak 16 kali prosedur pembedahan major hanya untuk membuang ketuat-ketuat yang menjalar pada kaki dan tangan.

    Pembedahan-pembedahan ini telah berjaya menyingkirkan ketuat seberat 5 kilogram namun ia masih tidak mampu membuat kulit beliau menjadi normal semula.

    Apa yang dapat disimpulkan daripada kisah beliau adalah penyakit sindrom kulit pokok mungkin agak sukar dikendali dan dirawat serta telah menjejaskan kehidupan.

    Sekiranya ada individu yang mengalami nasib serupa dengan beliau, apa yang boleh dilakukan?

    Bagaimana cara untuk kendali dan rawat?

    Selain Abul Bajandar, mungkin juga wujud banyak lagi kes penyakit ini meskipun kita tidak tahu kerana ada individu yang cenderung untuk menyembunyikan diri.

    Oleh sebab itu, kita semua perlu tahu bagaimana cara untuk kendali dan rawat walaupun sehingga kini masih tiada penawar kepada penyakit ini dapat ditemui.

    Salah satu cara paling logik untuk dilakukan adalah dengan prosedur pembedahan major tetapi ia mungkin adalah penyelesaian yang bersifat sementara sahaja.

    Pembedahan Curettage melibatkan penggunaan Currette (alat seperti sudu) akan dilakukan dengan membuang ketumbuhan tanpa menjejaskan kulit individu.

    Disebabkan ketumbuhan ini mungkin boleh muncul semula, wujud juga beberapa alternatif lain:

    • Perawatan bahan kimia yang menggunakan nitrogen cecair
    • Penyapuan ubat topikal yang mengandungi asid salisilik
    • Prosedur terapi cyro di mana ketuat dibekukan dan dihapuskan

    sindrom manusia pokok

    Selain itu juga, ada beberapa aspek penting lain yang perlu penderita Tree Man Syndrome ini pertimbangkan iaitu mengelakkan pendedahan cahaya matahari.

    Pesakit EV juga berisiko tinggi untuk alami kanser kulit. Jadi, sila pastikan anda mendapat informasi dan nasihat daripada doktor atau pakar dermatologi tentangnya.

    Usah biar penyakit kulit tanpa sebarang rawatan!

    Apa yang dapat dikonklusikan melalui kisah manusia pokok adalah, memang wujud pelbagai jenis penyakit kulit sama ada ia bersifat biasa atau luar biasa di dunia ini.

    Akan tetapi, ia juga bukan alasan untuk membiarkan sebarang jenis penyakit kulit tanpa sebarang rawatan kerana ia mungkin hanya akan memburukkan keadaan.

    Jadi, adalah penting untuk kalian segera bertindak jika anda juga adalah salah seorang penderita Tree Man Syndrome atau sebarang penyakit kulit yang lain.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 22/04/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan