Kulit merupakan organ yang tercipta untuk menjaga dan melindungi tubuh badan daripada bahaya tetapi ia juga masih berisiko untuk terkena pelbagai jenis jangkitan kulit.
Selain kuman, bakteria atau virus, kulit juga mungkin boleh terdedah dengan penyakit yang disebabkan oleh jangkitan ‘makhluk asing’ atau lebih tepat lagi, parasit.
Persoalannya, apakah antara parasit yang boleh jadi punca penyakit jangkitan kulit ini? Jom teruskan membaca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut lagi!
Parasit boleh jadi punca jenis jangkitan kulit?
Untuk pengetahuan anda semua, kulit merupakan organ paling besar dan paling luar serta berfungsi untuk menghalang segala jenis infeksi atau jangkitan daripada anasir jahat.
Kadangkala, kulit itu sendiri yang mungkin mengalami infeksi daripada anasir seperti parasit dan ini boleh jadi punca jenis jangkitan kulit yang agak berbahaya.
Infeksi kulit angkara parasit ini biasa akan terjadi pada individu yang mungkin kurang menjaga kebersihan diri dan persekitaran khususnya di dalam ruang kediaman anda.
Antara jenis parasit yang biasa jadi dalang penyakit jangkitan kulit ini adalah serangga, kutu dan cacing. Simptomnya pula berbeza bergantung kepada jenisnya.
Disebabkan itu, kita semua perlu tahu apakah antara jenis parasit dan penyakit jangkitan kulit yang wujud untuk lebih peka tentang cara untuk mengelakkannya.
Ini jenis jangkitan kulit angkara parasit!
Sebenarnya, terdapat beberapa jenis infeksi pada kulit yang boleh jadi angkara ‘makhluk asing’ apabila ia mula tinggal di dalam kulit. Berikut adalah antaranya:
#1. Skabies
Skabies atau kudis buta adalah penyakit jangkitan kulit yang disebabkan oleh parasit Sarcoptes scabiei, sejenis kutu yang sangat gemar tinggal di dalam kulit.
Ia juga mampu hidup selama berbulan-bulan di dalam kulit untuk bersembunyi, berkembang dan bertelur dalam usaha mereka terus hidup dengan makan darah.
Akibatnya, kulit anda akan mengalami simptom-simptom seperti kemerahan dan kegatalan pada kulit yang perlu dirawat dengan segera sebelum ia bertambah teruk.
Kutu ini juga sangat mudah untuk berpindah dari individu ke individu hanya dengan kontak rapat, alas tidur atau pakaian yang mungkin tidak perlu sentuhan kulit ke kulit.
Pun begitu, anda mungkin tidak perlu risau kerana kondisi ini boleh dicegah dan dirawat dengan ubatan untuk membunuh kutu serta telur selain mengawal simptomnya.
#2. Pedikulosis
Pedikulosis juga merupakan antara jenis jangkitan kulit yang disebabkan oleh parasit Pediculus humanus, sejenis kutu yang sangat gemar tinggal di dalam kulit kepala.
Kutu yang sangat kecil ini sangat gemar kawasan kulit berbulu lebat khususnya kepala dan juga mampu untuk kekal hidup dan membiak dengan menghisap darah anda.
Akibatnya, kulit kepala anda mungkin akan mengalami kemerahan dan kegatalan yang mungkin agak teruk namun tidak pula menyebabkan masalah pada rambut anda.
Cara untuk mengelakkan penyakit jangkitan kulit ini adalah dengan menggunakan syampu atau ubat kutu rambut yang dilakukan selama beberapa hari sehingga kutu dan telur ini hilang.
Selain itu, kalian juga mungkin boleh mengambil inisiatif untuk menyikat atau menyisir rambut dengan sikat bergigi tajam dan rapat untuk membuang kutu dan telur.
Jenis jangkitan kulit #3. Creeping Eruption
Selain itu juga, wujud satu lagi penyakit jangkitan kulit yang bukan disebabkan oleh kutu tetapi parasit lain iaitu cacing tanah dan ia dikenali sebagai Creeping Eruption.
Infeksi ini kemudiannya akan mengakibatkan pelbagai jenis simptom yang agak teruk seperti kulit merah, gatal, melecet dan timbul ruam membesar sehingga 1 ke 2 cm.
Kebiasaannya, simptom akibat infeksi ini mungkin akan muncul di kawasan kulit yang terkena tanah dan menjadi tempat tinggal cacing seperti pada kaki dan tangan.
Untuk mengubatinya, inisiatif yang efektif adalah dengan merawat simptom-simptom terlebih dahulu dengan mengambil ubatan krim, minyak atau losen daripada doktor.
Dalam pada itu, sila elakkan daripada kawasan tanah yang kotor dan dibimbangi menjadi rumah cacing tanah agar parasit ini tidak mampu menjangkiti kulit anda.
Awasi parasit ini untuk elak infeksi pada kulit!
Konklusinya, terdapat banyak parasit yang mungkin boleh jadi punca penyakit jangkitan ini khususnya kutu dan cacing seperti mana yang kami nyatakan di atas tadi.
Disebabkan itu, adalah penting untuk kalian mencegah segala perbuatan atau persekitaran yang boleh jadi punca parasit-parasit ini daripada menjangkiti tubuh badan.
Sekiranya infeksi itu telah berlaku atau berulang, segera bertindak dengan berjumpa doktor atau pakar kulit agar simptom tidak bertambah teruk sebelum terlambat.