Apa yang lebih membahayakan ialah chancre ini sangat mudah berjangkit dan kegagalan untuk menyedari kewujudannya atau tidak mengendahkannya boleh menyebabkan anda berisiko untuk menjangkiti pasangan anda dan/atau dijangkiti oleh mereka dengan penyakit kelamin lain kerana kerosakan dinding kulit akibat ulser tadi. Atas sebab itu, kemungkinan seseorang itu menghidap jangkitan HIV serentak dengan sifilis adalah lebih tinggi apabila terdapat lebih daripada satu ulser di bahagian kemaluan mereka. Hanya kerana ulser itu sudah hilang tidak bermakna ianya sudah diuruskan oleh sistem imun badan, sebaliknya, hilangnya ulser tersebut bermaksud bakteria itu telahpun memasuki bahagian badan yang lebih dalam, bergerak dari satu tahap ke tahap seterusnya yang lebih teruk.
Dalam kalangan wanita, pembentukan ulser ini lazimnya (44%) berlaku di bahagian pangkal rahim (serviks). Dalam kalangan lelaki heteroseksual pula, kewujudan ulser ini hampir boleh diteka kerana terdapat 99% kemungkinan ianya akan berada di sekitar zakar mereka. Untuk lelaki homoseksual, ulser sifilis ini lazimnya berlaku sekitar, dan juga dalam bahagian dubur (34%). Selain kewujudan ulser, antara simptom sifilis primer yang turut kerap berlaku adalah pembengkakan noda limfa di sekitar bahagian kangkang (80%) yang berlaku kira-kira 7 hingga 10 hari setelah berlakunya pembentukan chancre.
Sifilis Sekunder
Seperti yang dibincangkan sebelum ini, apabila ianya tidak dirawat, sifilis akan bergerak ke tahap seterusnya (apabila ulser kemaluan telah hilang) iaitu ke tahap sifilis sekunder. Sifilis sekunder berlaku kira-kira 4 hingga 10 minggu selepas jangkitan primer. Sifilis sekunder ini mampu untuk menzahirkan pelbagai simptom dan tanda yang lazimnya membabitkan bahagian kulit, membran mukosa dan juga limfa noda. Seseorang yang menghidap sifilis sekunder mungkin akan mempunyai ruam simetri (sama rata taburannya pada bahagian kiri dan kanan badan) berwarna merah-merah jambu yang tidak gatal, pada bahagian badan dan tangan termasuk tapak tangan dan kaki.

Ruam-ruam ini boleh wujud dalam pelbagai bentuk; rata, luas, keputihan, mirip ketuat, dan bercecair. Walaupun tidak seperti ulser dalam sifilis primer, kesemua ruam-ruam ini tetap mengandungi bakteria Treponema pallidum yang sama seperti dalam ulser (sifilis primer) dan sangat mudah untuk berjangkit kepada orang lain . Simptom-simtpom lain termasuklah:
- Demam
- Sakit tekak
- Letih dan lesu
- Susut berat badan
- Rambut gugur
- Pening kepala
Manifestasi lain yang jarang berlaku untuk sifilis sekunder adalah keradangan hati, penyakit buah pinggang, keradangan sendi, keradangan saraf optik dan juga keradangan uvea. Simtpom-simptom akut sifilis sekunder ini lazimnya akan hilang dan susut selepas 3 hingga 6 minggu. Sekitar 25% penghidap mungkin akan mendapat semula simptom sifilis sekunder selepas ianya hilang.
Sifilis Pendam
Sifilis pendam disebut sebagai keadaan di mana seseorang itu tidak mempunyai simptom jangkitan sifilis tetapi melalui ujian serologi, terdapat bukti masih ada lagi jangkitan dalam badan mereka. Ianya boleh dikira sebagai awal (kurang setahun daripada tempoh sifilis sekunder) atau lewat (lebih setahun daripada sifilis sekunder). Tahap sifilis pendam ini dikatakan sebagai tahap di mana seseorang itu tidak mudah berjangkit.
Sifilis Tertier
Sifilis tertier adalah fasa terakhir dalam jangkitan sifilis jika ianya dibiarkan tidak dirawat. Tanpa menerima sebarang rawatan, dianggarkan satu per tiga akan progress kepada sifilis tertier. Ianya boleh berlaku sekitar 3 hingga 15 tahun selepas seseorang itu mula dijangkiti sifilis buat kali pertama. Sifilis tertier boleh dibahagikan kepada tiga bentuk iaitu sifilis gummatous (15%), neurosifilis (6.5%) dan juga sifilis kardiovaskular (10%). Seperti sifilis pendam, mereka yang menghidap sifilis tertier adalah tidak berjangkit.
Sifilis gummatous boleh berlaku bila-bila sahaja bermula daripada 1 hingga 46 tahun selepas terdedah kepada jangkitan sifilis namun puratanya adalah sekitar 15 tahun. Bentuk sifilis ini diperincikan dengan pembentukan gumma yang kronik (sejenis ketumbuhan keradangan yang lembut dan tumbuh dalam pelbagai saiz). Ia lazimnya terbentuk di bahagian kulit, tulang dan hati namun ianya boleh berlaku di mana-mana sahaja.
Neurosifilis adalah keadaan di mana jangkitan sifilis ini telah membabitkan sistem saraf pusat. Ianya boleh berlaku melalui beberapa keadaan seperti meningitis sifilis, kelemahan keseluruhan badan ataupun tabes dorsalis. Terdapat juga satu tanda pada mata yang disebut sebagai Argyll-Robertson pupils, iaitu keadaan di mana pupil kedua-dua belah mata penghidap tidak mengecil apabila terdedah kepada cahaya. Sifilis kardiovaskular lazimnya akan mengakibatkan komplikasi seperti keradangan aorta (syphyllic aortitis) yang seterusnya berupaya untuk menjadi aortic aneurysm.
Sifilis Kongenital
Seperti yang dibincangkan dalam bab epidemiologi, sifilis kongenital adalah antara punca kematian dan morbiditi dalam kalangan kanak-kanak yang utama di seluruh dunia. Sifilis jenis ini berlaku apabila bakteria Treponema pallidum berpindah kepada kandungan semasa tempoh mengandung atau semasa proses kelahiran. Semasa tempoh mengandung, jangkitan sifilis juga mampu menyebabkan berlakunya keguguran. Sungguhpun begitu, dua per tiga daripada keseluruhan bayi yang dijangkiti tidak menzahirkan sebarang simptom. Bagi yang mempunyai simptom, ia lazimnya berlaku dalam tahun-tahun pertama kehidupan. Simptom tersebut adalah hati dan limpa menjadi besar (70%), ruam (70%), demam (40%) dan keradangan paru-paru (20%). Apabila tidak dirawat, kanak-kanak tersebut mungkin akan mempunyai keabnormalan struktur hidung mereka.
Diagnosis
Diagnosis sifilis dilakukan melalui ujian darah atau melalu dark field microscopy. Namun yang demikan, ujian darah adalah lebih kerap dilakukan kerana ianya lebih mudah dan cepat. Ujian darah untuk sifilis dapat dibahagikan kepada ujian berteraskan treponema (Ujian VDRL dan ujian RPR) dan juga ujian yang tidak berteraskan treponema (Ujian TPHA dan juga ujian FTA-Abs).
Rawatan
Jangkitan awal
Rawatan utama untuk sifilis yang tidak rumit adalah melalui suntikan satu dos benzathine benzylpenicillin ke dalam otot. Sekiranya pesakit itu mempunyai alahan untuk antibiotik penicillin, rawatan alternatif adalah melalui pengambilan antibiotik Doxycycline dan juga antibiotik Tetracycline. Namun yang demikian, kedua-dua ubat tadi tidak diberikan kepada wanita mengandung kerana kesannya yang boleh mengakibatkan kecacatan bayi. Sebagai penambahan kepada rawatan, doktor akan menyarankan agar anda tidak melakukan sebarang aktiviti seksual sehinggalan ulser pada kemaluan anda sembuh atau hilang sepenuhnya.
Jangkitan lewat
Untuk neurosifilis, memandangkan suntikan benzathine penicillin tidak mampu untuk menembusi sistem saraf pusat, penghidap akan diberikan dos intravena penicillin yang besar selama 10 hari sekurang-kurangnya. Rawatan pada peringkat akhir lazimnya terhad kerana kerosakan yang ekstensif telah pun berlaku pada bahagain dalaman badan.
Sebagai rumusan kepada artikel ini, jangkitan sifilis adalah sejenis jangkitan kelamin yang cukup lazim bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia. Tambahan lagi, beban penyakit, kematian dan juga komplikasi akibat jangkitan sifilis menyebabkan ianya salah satu ancaman besar kepada kesihatan awam yang perlu diambil berat oleh semua pihak. Kesedaran akan penyebaran dan juga simptom sifilis adalah kunci kepada pencegahannya. Selain itu, pendidikan tentang langkah berjaga-jaga dan langkah perlindungan ketika melakukan hubungan seks juga penting bagi melindungi seseorang itu daripada dijangkiti. Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat yang lebih lanjut, berjumpalah dengan doktor anda untuk mendapatkan pemeriksaan, ujian saringan untuk sifilis dan juga jangkitan kelamin lain, nasihat dan juga rawatan mencukupi yang segera bagi membendung komplikasi sifilis yang tidak diingini.