Menurut kajian yang dijalankan pada tahun 2018 oleh Universiti Malaya, didapati bahawa pelacur wanita tidak menggunakan kondom hampir 24% daripada jumlah mereka melakukan hubungan kelamin dalam tempoh satu bulan.
Buat pelacur transgender pula, mereka tidak menggunakan kondom hampir 11% daripada jumlah mereka melakukan hubungan kelamin dalam tempoh yang sama.
Ini merupakan satu maklumat yang amat membimbangkan. Perkara ini memandangkan risiko untuk mendapatkan penyakit kelamin seperti sifilis, jangkitan HIV dan gonorrhoea adalah tinggi.
Ujian saringan, langkah awal cegah jangkitan kelamin

Prevalens HIV dan penyakit kelamin yang tinggi dalam kalangan pelacur boleh diatasi dengan ujian saringan yang kerap dan memulakan rawatan awal pada mereka yang memerlukannya.
Persoalannya di sini, adakah satu tindakan yang baik jika seorang doktor itu merawat penyakit kelamin seorang pelacur untuk terus melacur? Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 merupakan satu senjata yang dapat digunakan bagi mereka yang dipaksa untuk berkhidmat dalam sektor ini. Namun kebanyakan pelacur melacur secara sukarela dengan niat untuk mendapatkan wang.
Dari perspektif kesihatan, ujian saringan dan rawatan awal perlu diberikan untuk mengelakkan daripada penyakit-penyakit kelamin berleluasa. Prevalens HIV dalam kalangan pelacur wanita telah meningkat kepada 11.1% berbanding dengan prevalens 7.3% pada tahun 2014.
Kondom wanita boleh menjadi pelindung kepada pelacur yang ingin melindungi diri daripada desakan pelanggan yang tidak mahu menggunakan kondom. Pemakaian kondom ini digalakkan oleh Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) bagi meningkatkan kadar perlindungan pelacur wanita daripada penyakit kelamin.
Konklusi

Adakah tindakan untuk memberikan rawatan awal kepada pelacur sesuatu yang boleh dikatakan beretika? Adakah perlu untuk kita memberikan pendidikan seksual kepada golongan ini bagi mengelakkan penyakit kelamin yang semakin berleluasa sewaktu mereka sedang sibuk mencari wang? Fikir-fikirkanlah.
Pendidikan awal dapat membantu mengurangkan insiden penyakit kelamin melalui pengamalan seks dengan alat perlindungan. Golongan ini juga perlu menjalani ujian saringan penyakit kelamin dengan lebih kerap. Ia bagi merealisasikan objektif kadar sifar HIV menjelang 2030. Jadilah individu yang bertanggungjawab. Jika anda terdedah, buat ujian saringan dan dapatkan rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen