“Eii.. Gelilah tengok tangan dia. Tak nak salamlah”.
Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group
“Eii.. Gelilah tengok tangan dia. Tak nak salamlah”.
Nizam menarik tangannya selepas melihat rupa tangan Muhammad saat dia menghulurkan tangan untuk bersalam.
“Oh, benda ni tak berjangkit pun”, ujarnya. Namun Nizam hanya berlalu pergi meninggalkan Muhammad terpinga-pinga. Situasi ini kerap berlaku kepada mereka yang menghidap psoriasis. Teruskan membaca untuk mengetahui berkenaan dengan penyakit ini.
Pendidikan adalah merupakan asas kepada pemahaman berkenaan dengan sesuatu penyakit. Ambil psoriasis sebagai contoh. Kajian telah menunjukkan bahawa mereka yang mengenali seseorang dengan penyakit ini atau mereka yang tahu berkenaan dengannya lebih memahami situasi tersebut berbanding dengan mereka yang tidak tahu.
Psoriasis adalah merupakan penyakit autoimun kronik yang mempengaruhi kadar pusing ganti sel kulit. Keadaan ini menyebabkan sel kulit mati lebih cepat dan ia akan berkumpul di permukaan kulit menyerupai sisik putih kemerah-merahan yang gatal dan sakit buat sesetengah individu. Selain itu, penyakit ini juga boleh mempengaruhi sendi-sendi badan terutamanya tangan.
Walaupun penyakit ini bukanlah sesuatu yang boleh mengancam nyawa dalam jangka masa pendek, pesakit terpaksa berdepan dengan reaksi individu sekeliling memandangkan ia merupakan penyakit yang jelas kelihatan pada mata kasar. Bayangkan anda ingin berjabat tangan dengan individu yang anda ingin kenali secara peribadi atau profesional, keadaan tangan anda boleh menjadi punca kepada diskriminasi untuk anda menjalinkan hubungan sosial.
Apabila ditanya mengapa, jawapan yang paling kerap diberikan oleh mereka adalah penghidap psoriasis tidak kelihatan menarik, tampak sakit dan tidak selamat. 1/3 daripada jumlah subjek kajian tersebut percaya bahawa penyakit tersebut hanya melibatkan kulit dan ia bukanlah satu penyakit yang serius. Ini merupakan mitos dan menjadi sumber kepada diskriminasi dan pemikiran stereotaip terhadap pesakit psoriasis.
Pada tahun 2011, Novartis telah menjalankan kaji selidik global yang melibatkan 8,338 pesakit psoriasis. Melalui kajian ini, mereka mendapati bahawa 84% pesakit telah berhadapan dengan diskriminasi dan kira-kira 40% pesakit kerap ditenung oleh masyarakat sekeliling sewaktu menggunakan kemudahan awam. 16% daripada jumlah pesakit tersebut mengaku bahawa mereka lebih selesa untuk menjalani kehidupan mereka bersendirian sebagai cara untuk menyesuaikan diri dengan penyakit psoriasis.
Apa yang masyarakat perlu tahu berkenaan dengan penyakit ini adalah ia tidak berjangkit. Ia bukanlah disebabkan oleh jangkitan kuman seperti cacar air. Ia adalah disebabkan oleh sistem pertahanan tubuh badan yang menyerang sel-sel kulit menyebabkan ia lebih cepat mengelupas berbanding dengan individu biasa. Apa yang penting dalam menjalinkan hubungan sosial yang baik adalah dengan mengetahui isi dalaman seseorang individu, bukan rupa luaran semata-mata.
Masyarakat perlu sedar bahawa karakter seseorang individu tidak ditentukan oleh paras rupa mahupun penyakit yang dihidapinya. Hubungan sosial yang baik adalah merupakan teras kepada keadaan mental yang sihat. Mereka yang mempunyai penyakit kronik memerlukan sokongan sosial bagi meringankan beban emosi yang dipikul dalam menanggung derita simptom yang sedia ada.
Bersempena dengan Hari Psoriasis Sedunia yang bakal disambut pada 29 Oktober, kami menyeru kepada para pembaca untuk lebih prihatin terhadap mereka yang menghidapi penyakit psoriasis. Penyakit ini nampak menakutkan namun amat penting untuk anda memberikan sokongan moral dan sosial kepada rakan anda yang menghidapinya.
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen