backup og meta

10 Pekerjaan Yang Membahayakan Paru-paru, Cuba Periksa Adakah Kerja Anda Tersenarai?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 21/05/2021

    10 Pekerjaan Yang Membahayakan Paru-paru, Cuba Periksa Adakah Kerja Anda Tersenarai?

    Bagaikan mesin, paru-paru anda bekerja tanpa henti. Oleh itu, masalah paru-paru harus diambil berat kerana ia boleh mengubah gaya hidup anda sepenuhnya.

    Majoriti orang dewasa akan bernafas sekurang-kurangnya 20,000 kali sehari. Menariknya, sejauh mana paru-paru anda berfungsi terpulang kepada jenis pekerjaan yang anda lakukan.

    Selain habuk, bahan kimia, gentian, kuman, dan asap, banyak lagi elemen lain yang nampak tidak berbahaya tetapi boleh merosakkan saluran udara dan mengakibatkan paru-paru kotor.

    Dr Philip Harber, profesor kesihatan awam daripada Universiti Arizona menjelaskan bahawa, “pendedahan pekerjaan dan persekitaran boleh menyebabkan parut atau fibrosis, asma, COPD, jangkitan kuman atau kanser.’

    Artikel ini akan menyenaraikan 10 pekerjaan di mana langkah berjaga-jaga harus diambil untuk kesihatan paru-paru anda.

    10 pekerjaan berkait dengan masalah paru-paru

    #1 Pelayan bar dan restoran

    masalah paru paru

    Banyak kajian mendedahkan kaitan asap rokok dengan kanser paru-paru.

    Ini menjadi suatu ancaman buat pelayan bar dan restoran yang menjadi perokok pasif buat tempat-tempat yang membenarkan merokok.

    Selain itu, pekerja kasino juga akan menghadapi ancaman yang sama.

    Suasana kasino yang dipenuhi dengan asap tebal daripada rokok mahupun cerut boleh mengakibatkan paru-paru kotor buat pekerja di sana.

    Jika anda merupakan pelayan bar, kasino atau restoran yang sering terdedah kepada asap rokok, ada baiknya jika anda mempertimbangkan pekerjaan lain.

    #2 Pengurus dan pembersih rumah

    Walaupun sebilangan bahan pencuci rumah dilabel sebagai produk semula jadi, tapi ia tetap mempunyai bahan kimia berbahaya yang boleh dikaitkan dengan masalah paru-paru seperti asma.

    “Bahan pencuci ialah sejenis bahan kimia reaktif yang boleh bertindak balas sama ada dengan kotoran ataupun tisu paru-paru anda,’ dedah Dr Susanna Von Essen, profesor perubatan bahagian pulmonari, penjagaan kritikal, tidur dan alergi dari University of Nebraska Medical Center.

    Beberapa bahan pencuci boleh mengeluarkan sebatian organik yang mudah meruap. Ini boleh menyumbang kepada masalah pernafasan kronik dan alergi.

    #3 Kaitan pekerja sektor kesihatan dan masalah paru-paru

    masalah paru-paru

    Doktor, jururawat dan pegawai kesihatan lain berisiko untuk mendapat penyakit paru-paru seperti tibi, influenza, dan sindrom gangguan pernafasan akut (SARS).

    Oleh itu, pekerja sektor kesihatan haruslah mengambil imunisasi tambahan untuk melindungi diri sendiri.

    Kajian dari Amerika Syarikat menganggarkan sebanyak 8% hingga 12% pekerja sektor kesihatan mempunyai alahan terhadap lateks.

    Reaksi alahan boleh menjadi ringan seperti dermatitis kontak ataupun mengancam nyawa di mana saluran pernafasan akan menjadi bengkak dan sempit.

    #4 Salon rambut

    Bahan pewarna rambut tertentu boleh mengakibatkan asma. Beberapa produk untuk meluruskan rambut mengandungi  formaldehyde, bahan kimia berpotensi menyebabkan kanser.

    Ia juga boleh menyebabkan iritasi pada mata, hidung, tekak dan masalah paru-paru.

    #5 Pekerja kilang

    Sesetengah pekerja kilang berisiko untuk mendapat asma atau menjadikan kondisi asma yang sedia ada semakin teruk.

    Dr Harber menjelaskan sebanyak 25% orang dewasa dengan asma menjadi lebih teruk disebabkan oleh jenis pekerjaan mereka.

    Mereka boleh terdedah dengan berbagai-bagai jenis elemen yang mengakibatkan masalah paru-paru seperti logam, silika atau pasir halus.

    Pemakaian alat pelindung diri yang lengkap dan pengudaraan yang baik mampu mengurangkan risiko untuk mendapat masalah paru-paru.

    #6 Pekerja pembinaan dan masalah paru-paru kronik

    Jika berbicara mengenai debu, asap dan pasir halus, pekerja sektor pembinaan memang amat berisiko untuk mendapat masalah paru-paru.

    Perobohan atau pengubahsuaian bangunan boleh mendedahkan pekerja dengan asbestos yang sering digunakan sebagai bahan penebat.

    Pendedahan yang kecil sekalipun boleh menjadi punca utama penyakit mesothelioma, sejenis barah yang melibatkan lapisan organ seperti paru-paru.

    Ia juga boleh meningkatkan risiko kanser sel kecil paru-paru atau asbestosis, pembentukan parut di paru-paru berkait dengan asbestos.

    #7 Perladangan

    masalah paru-paru

    Hasil pertanian yang tercemar dengan jamur atau kulat boleh menyebabkan keradangan paru-paru hipersensitif.

    Kantung udara paru-paru mengalami keradangan dan boleh meninggalkan parut pada tisu paru-paru.

    Selain itu, penternak juga berisiko untuk mendapat paru-paru kotor kerana terdedah kepada debu dan amonia. Ia boleh mengakibatkan sindrom yang serupa dengan asma.

    #8 Automotif

    Cat semburan boleh merengsakan kulit dan paru-paru. Pekerja automotif sering terdedah kepada bahan kimia yang dikenali sebagai isosianat, penyebab utama asma pekerjaan.

    Penggunaan topeng muka yang sesuai dan berkualiti serta tempat bekerja dengan pengudaraan baik boleh mengurangkan risiko mendapat penyakit.

    #9 Bomba

    Selain terdedah kepada bahaya api, ahli bomba juga akan terdedah kepada plastik atau bahan kimia yang terbakar.

    Anggota bomba boleh mengurangkan risiko masalah paru-paru dengan menggunakan alat pernafasan mandiri.

    #10 Perlombongan arang batu punca masalah paru-paru hitam

    Pelombong bawah tanah berisiko untuk mendapat pelbagai masalah paru-paru dari bronkitis atau pneumoconiosis, iaitu “paru-paru hitam’.

    Ia merupakan keadaan kronik yang disebabkan oleh menyedut habuk arang batu yang boleh tertanam pada paru-paru.

    Jika berlaku berterusan, partikel tersebut boleh mengeras dan menyukarkan pernafasan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 21/05/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan