
Diabetes menyebabkan banyak komplikasi. Bahkan, rawatan utama adalah diberikan untuk mengawal komplikasi-komplikasi tersebut. Kesan daripada keadaan ini membuatkan penghidap diabetes terdedah kepada bahaya, lebih-lebih lagi jika dibiar hidup sendirian.
Penglihatan terjejas
Salah satu daripada komplikasi diabetes adalah menjejaskan penglihatan. Ini mungkin disebabkan oleh beberapa keadaan:
- Retinopati diabetes – perubahan yang berlaku pada salur darah retina (bahagian dalam mata) menyebabkan kebocoran dan pendarahan, seterusnya menganggu penglihatan.
- Katarak – penghidap diabetes adalah 2-5 kali lebih berisiko mengalami katarak.
- Glaukoma – tekanan di dalam mata meningkat dan menjejaskan urat saraf di dalam mata.
Penglihatan yang terjejas tentu membuatkan kerja-kerja harian pesakit menjadi lebih rumit. Mereka akan lebih cenderung untuk terjatuh atau cedera. Jadi, sangat penting untuk ada orang lain yang boleh membantu dalam urusan hariannya.
Kurang deria rasa
Antara komplikasi yang biasa berlaku dalam kalangan pesakit ialah peripheral neuropathy. Gula yang tinggi di dalam darah menjejaskan fungsi urat saraf. Ini menyebabkan rasa kebas, hilang deria rasa dan kadangkala rasa sakit pada kaki dan tangan.
Jika berlaku pelanggaran atau luka, biasanya pada kaki, pesakit mungkin tidak sedar. Ditambah pula dengan penglihatan yang kurang jelas, kecederaan lebih cenderung berlaku. Kalau tidak diperiksa secara berkala, luka tersebut akan dibiarkan terbuka, seterusnya terdedah kepada jangkitan. Sistem ketahanan badan yang lemah memburukkan lagi keadaan. Dalam kes yang lebih parah, ia boleh membawa kepada keadaan yang disebut sebagai kaki diabetes (diabetic foot).
Luka lewat sembuh
Salur darah yang sempit dalam kalangan penghidap diabetes menyebabkan darah dan oksigen yang sampai kepada sel badan berkurang beserta sistem ketahanan badan yang lemah menjejaskan proses pemulihan luka. Dengan penglihatan yang lemah dan deria rasa yang terjejas, pesakit tidak sedar dengan luka yang dialami. Kemudian, luka tersebut pula lewat sembuh. Semua ini akan menyebabkan lebih banyak komplikasi. Silap haribulan, kaki mungkin terpaksa dipotong.
Pesakit perlu dipantau selalu
Jika ada ahli keluarga yang menghidap diabetes, jangan biarkan mereka sendirian di rumah. Perlu ada orang yang memantau keadaannya. Ini termasuk:
- Memastikan ubat-ubatan diambil dengan betul.
- Menghadiri setiap temu janji doktor.
- Memeriksa luka atau kecederaan yang mungkin berlaku, terutamanya di bahagian kaki.
- Mendapatkan bantuan perubatan segera jika perlu.
Di samping itu, mereka memerlukan sokongan bukan sahaja dari sudut kewangan tetapi juga emosi. Keberadaan anda di sisi mereka memberikan motivasi dan semangat untuk menghadapi kehidupan. Jangan biarkan mereka sendirian!
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.