“Harun, jangan makan biji cili itu ya, nanti sakit apendiks!,” tegah seorang ibu kepada anaknya yang sedang khusyuk makan nasi lemak kegemarannya. Rasanya, bukan Harun sahaja yang pernah mendengar dialog seperti ini. Penulis juga selalu dimomokkan dengan mitos ini oleh masyarakat sekeliling. Persoalannya, adakah benar biji cili boleh jadi punca apendiks yang sebenar?
Untuk mengetahui jawapan sebenarnya, jom sama-sama kita selami artikel ini dengan lebih mendalam!
Lebih banyak info tentang Sistem Penghadaman di sini.
Biji cili punca apendiks, mitos atau fakta?
Menurut Dr Maisara Yusra yang merupakan Penolong Profesor Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS), tiada sebarang kajian saintifik berjaya membuktikan radang apendiks adalah disebabkan pemakanan.
Ternyatalah bahawa kepercayaan biji cili boleh menyebabkan sakit apendiks yang selama ini ditakuti masyarakat kita adalah mitos dan karut semata-mata.
Beliau menambah lagi bahawa kepercayaan ini datangnya daripada petua masyarakat terdahulu yang percaya biji cili dan pelbagai lagi makanan lain seperti biji anggur, tembikai dan jambu batu boleh tersangkut dan tersimpan pada pundi apendiks.
Ini adalah fakta yang mengarut dan tidak boleh dipercayai.
Sebenarnya, semua orang berisiko mengalaminya walaupun tidak makan biji makanan seperti yang dinyatakan.
Hakikatnya, segala makanan yang keras seperti biji cili dan sebagainya akan hancur di dalam perut disebabkan oleh asid perut. Selepas hancur sepenuhnya, barulah ia akan masuk ke usus untuk proses pembuangan najis.
Jadi, pemakanan bukanlah punca apendiks. Tetapi, apakah punca sebenar ia berlaku?
Apa punca apendiks yang sebenarnya?
Dr Maisara turut menyatakan bahawa radang apendiks (appendicitis) bukanlah sejenis penyakit tetapi satu kondisi di mana pundi apendiks (vermiform apendiks) tersumbat.
Untuk anda yang belum tahu, ia adalah satu struktur berbentuk tiub yang terletak pada bahagian pemulaan usus besar. Pun begitu, fungsi sebenar organ ini masih belum dapat diketahui dengan tepat.
Mengapa ia boleh tersumbat jika bukan sebab pemakanan?
Ia adalah disebabkan oleh bukaan apendiks menuju ke tiub besar atau sekum tersekat.
Sekatan ini mungkin berlaku akibat lendir tebal dalam apendiks atau serpihan najis keras daripada tiub besar termasuk ke pundi apendiks. Inilah punca apendiks yang sebenarnya berlaku.
Selain itu, kondisi ini juga boleh berlaku berpunca daripada jangkitan bakteria. Ia sering menyerang golongan muda sekitar usia 10 hingga 30 tahun.
Jadi, jangan sesekali beranggapan bahawa orang yang masih muda tidak boleh mengalaminya ya?
Cara terbaik untuk merawat masalah ini adalah melalui pembedahan membuang pundi apendiks (apendektomi).
Baca juga:
- Ini Bezanya Apendiks Dan Sakit Perut, Kena Tahu Betul-betul, Kalau Tak MAUT Menanti!
- Awas, Nyawa Boleh Melayang Jika Lambat Rawat Apendiks, Ini Tanda & Prosedur Rawatannya!
Pembedahan apendiks
Sekiranya kita telah terkena radang apendiks, cara yang terbaik untuk menghilangkan kesakitan yang dialami adalah dengan melakukan pembedahan apendiks
Ini kerana, ia juga adalah satu-satunya teknik yang telah diperakui oleh kebanyakan pakar kesihatan.
Persoalannya, bagaimana ia dilakukan?
Untuk pengetahuan anda, pembedahan ini turut dikenali sebagai appendectomy. Caranya, doktor boleh melakukannya dengan dua kaedah iaitu:
- Pembedahan tradisional (membelah perut secara terbuka)
- Laparoskopi (membelah perut dengan ukuran yang kecil dan memasukkan kamera untuk melihat ke dalam)
Namun, ia sangat bergantung kepada saiz tumor pada bahagian apendiks itu sendiri. Sekiranya ia terlalu besar, pembedahan major terpaksa dilakukan dalam usaha untuk membuangnya.
Buat anda yang belum tahu, penggunaan antibiotik juga diperlukan untuk merawat segala jangkitan yang terjadi akibat simptom-simptom penyakit ini.
Namun secara amnya, ia tidak mampu merawat radang apendiks secara total. Pembedahan masih perlu dijalankan.
Konklusi
Kesimpulannya, punca apendiks ini adalah penyumbatan di dalam saluran apendiks seperti yang telah disenaraikan di dalam artikel ini.
Pun begitu, pemakanan tidak boleh dianggap sebagai antara punca utamanya kerana masih tidak ada kajian kukuh yang mengatakan sebegitu.
Jadi, anda tidak perlu bimbang untuk makan nasi lemak kegemaran anda lagi. Begitu juga dengan ibu Harun.
Jangan sesekali percaya sebarang mitos tanpa usul periksa kesahihannya terlebih dahulu ya? Akhir kata, biasakan yang betul dan betulkan yang biasa!
[embed-health-tool-bmr]