Diet seimbang bermaksud memakan pelbagai jenis makanan berkhasiat. Walau bagaimanapun, bagi penghidap sindrom iritasi usus (IBS), ada makanan yang mungkin mencetuskan rasa tidak selesa.
Sesetengah makanan mungkin mencetuskan simptom IBS yang berbeza untuk individu lain.
Jadi untuk menyenaraikan semua jenis makanan yang perlu dielak adalah sesuatu yang agak mustahil.
Pun begitu, ramai individu sedar dengan cara mengelakkan beberapa makanan pencetus paling lazim akan berlaku perubahan dalam tahap kesihatan penghidap IBS, seperti:
- Pergerakan usus yang lebih kerap
- Kurang mengalami kekejangan perut
- Masalah perut kembung kurang berlaku
7 jenis makanan perlu dielakkan oleh individu dengan sindrom iritasi usus
Walaupun tidak ada ubat untuk menyembuhkan IBS, tetapi terdapat beberapa jenis makanan dan ubat tertentu boleh mendatangkan kesan buruk kepada simptom yang dialami.
Menghindari makanan berikut, mungkin boleh mengurangkan risiko mengalami simptom sindrom iritasi usus:
1. Susu
Produk tenusu atau makanan lain yang mengandungi laktosa, seperti keju dan aiskrim, boleh menyebabkan perut berangin dan kembung pada individu yangmmenghidap intoleransi laktosa.
70% individu dewasa di dunia tidak menghasilkan enzim laktase yang mencukupi – enzim usus yang membantu memecahkan gula dalam susu.
Akibat tidak menyerap laktosa dalam usus kecil, laktosa yang tidak dicerna ini akan masuk ke usus besar di mana bakteria fermentasi sekali gus menyebabkan perut berangin.
2. Minuman berkarbonat
Apabila mengambil minuman ini, gelembung gas dalam air bersoda memberikan kesan yang dalam pada saluran pencernaan anda.
Pilihan terbaik bagi menghilangkan dahaga adalah dengan memilih air kosong atau susu tanpa laktosa.
Pun begitu, jus tidak termasuk dalam senarai kerana minuman berasaskan buah selalunya tinggi fruktosa!
3. Kafein
Kafein boleh meningkatkan simptom cirit-birit kepada individu dengan sindrom iritasi usus.
Antara sumber kafein yang tinggi termasuklah kopi, teh, minuman bersoda, coklat, dan sesetengah pil sakit kepala.
4. Makanan bergoreng
Jenis makanan seperti kentang goreng atau masakan bergoreng lain adalah biasa dalam pemakanan harian masa kini.
Namun, memakan makanan bergoreng secara berlebihan boleh menyebabkan masalah kesihatan. Kandungan lemak tinggi boleh mendatangkan kesukaran pada sistem pencernaan penghidap IBS.
Untuk pilihan lebih sihat, cubalah cara memanggang atau membakar makanan kegemaran anda.
5. Makanan diproses
Makanan yang diproses cenderung mengandungi banyak:
- Garam
- Gula
- Lemak
Contoh makanan yang diproses:
- Kerepek kentang
- Makanan sejuk beku
- Daging diproses
- Makanan bergoreng
Mengambil jenis makanan yang terlalu banyak bahan ini boleh menyebabkan masalah kesihatan bagi sesiapa sahaja.
Di samping itu, ia sering mengandungi bahan tambahan atau pengawet yang mungkin mencetuskan sindrom iritasi usus.
6. Bawang
Bawang, sama ada bawang putih atau bawang merah, adalah agen perasa terbaik untuk makanan.
Tetapi ia boleh mendatangkan kesukaran untuk usus pencernaan dan boleh menyebabkan perut berangin.
Selain itu, perut akan rasa bergas dan kekejangan disebabkan pengambilan bawang yang mentah mahupun dimasak.
7. Brokoli dan kubis bunga
Pengambilan 2 jenis sayur-sayuran ini secara mentah boleh mendatangkan kesukaran bagi sistem pencernaan tubuh.
Ia sekali gus menjadi pencetus gejala bagi penghidap IBS, seperti perut berangin dan sembelit. Bahkan, individu tanpa sindrom iritasi usus juga boleh mengalaminya.
Jadi pastikan anda memasak sayuran ini dengan kaedah memanggang atau menumis agar mudah untuk dicerna oleh sistem pencernaan.
Pilihan makanan untuk penghidap sindrom iritasi usus
Kebanyakan doktor akan mengesyorkan penghidap IBS untuk mengikuti diet rendah FODMAP.
Diet ini memberikan tumpuan kepada mengehadkan makanan yang kaya dengan karbohidrat tertentu.
FODMAP bermaksud fermentable oligosaccharides, disaccharides, monosaccharaides, and polyols. Ini adalah karbohidrat rantai pendek yang boleh ditapai.
Menurut Harvard Medical School, penyelidikan menunjukkan bahawa usus kecil tidak boleh menyerap makanan mengandungi FODMAP dengan mudah.
Kesannya tercetuslah masalah kembung, berangin dan sakit perut.
Jenis makanan sesuai
Sebagai permulaan, makanan tanpa karbohidrat atau rendah FODMAP dibenarkan dalam diet IBS. Ini termasuklah:
- Ikan dan daging
- Telur
- Mentega dan minyak
- Keju keras (hard cheese), brie, camembert
Makanan sihat rendah FODMAP lain yang boleh dinikmati adalah:
- Produk tenusu tanpa laktosa seperti susu soya atau susu oat
- Beberapa buah, termasuk pisang, beri biru, anggur, kiwi, oren, dan nanas
- Sesetengah sayur-sayuran seperti lobak, saderi, terung, kacang hijau, kangkung, labu, bayam, dan kentang
- Quinoa, nasi, millet, tepung jagung, dan ubi kayu
- Tauhu
- Biji labu, biji bijan, dan biji bunga matahari
Diet rendah FODMAP melibatkan tahap penyingkiran dan fasa pengenalan semula makanan. Ia sukar diikuti tanpa bantuan pakar pemakanan.
Sekiranya anda berminat untuk mencuba diet rendah FODMAP rendah, berbincanglah dengan pakar pemakanan yang khusus untuk pencernaan.
Kesimpulannya
Penting untuk diingat bahawa sistem pencernaan dan makanan pencetus makanan bagi setiap individu adalah berbeza.
Sebilangan individu dengan IBS boleh bertolak ansur dengan makanan yang tidak dapat dicerna oleh penghidap sindrom iritasi usus lain.
Kenali tubuh dan pelajari makanan mana yang membuat anda berasa sihat dan hadkan makanan yang menyebabkan gejala tidak selesa.
Catatkan makanan dan gejala dalam buku harian bagi membantu anda mengetahui makanan yang harus dimakan dan dielakkan.
[embed-health-tool-bmr]