Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang jangkitan Hepatitis B dan kesihatan penghadaman, sila dapatkannya di sini.
Definisi
Apa itu penyakit hepatitis B?
Hepatitis B adalah penyakit berkaitan organ hati yang berlaku akibat jangkitan hepatitis B (HBV) dan boleh berkembang menjadi sirosis atau kanser.
Penularan virus ini boleh terjadi angkara kontak rapat melalui cecair tubuh badan seperti transfusi darah, perkongsian jarum suntikan atau hubungan seksual.
Pun begitu, virus ini dipercayai paling sering merebak secara vertikal yakni dari seorang ibu kepada bayinya ketika proses kehamilan atau di saat melahirkan anak.
Kebiasaannya, jangkitan hepatitis B ini mungkin tidak akan menunjukkan sebarang simptom namun jika ada ia biasanya berlangsung selama beberapa minggu lamanya.
Sekiranya anda adalah salah seorang daripada penderitanya, ia mungkin boleh dirawat dengan ubatan atau rawatan khusus dan boleh dicegah dengan vaksin hepatitis B.
Apa risiko jangkitan hepatitis B?
Penyakit hepatitis B adalah antara penyakit berjangkit yang paling banyak dialami oleh penduduk di seluruh dunia dengan sekitar 257 juta orang penderitanya – WHO.
Lebih menakutkan, kira-kira 887,000 individu telah maut akibat komplikasi penyakit berkaitan organ hati seperti sirosis dan kanser ekoran lambat ambil tindakan.
Jenis
Jenis jangkitan hepatitis B
Kondisi hepatitis B terbahagi kepada 2 jenis yang dikategorikan mengikut tempoh ia berlangsung.
Jangkitan Hepatitis B (HBV) akut
Jangkitan HBV akut itu adalah sejenis penyakit berkaitan organ hati yang akan terjadi sekitar 6 bulan selepas seseorang itu dijangkiti dengan virus yang sama.
Ia mungkin akan hilang dengan sendiri ekoran sistem imunisasi tubuh badan yang akan melawan dan membuang virus ini sekali gus membuat individu itu pulih.
Ia juga mungkin akan dapat berkembang menjadi jangkitan kronik namun sangat jarang berlaku.
Jangkitan Hepatitis B (HBV) kronik
Jangkitan HBV kronik itu adalah sejenis penyakit berkaitan organ hati yang akan terjadi lebih dari 6 bulan selepas seseorang itu dijangkiti dengan virus yang sama.
Ia mungkin akan berlaku seumur hidup lantas meningkatkan risiko komplikasi lebih serius seperti sirosis atau kanser akibat sistem imunisasi tubuh badan tidak kuat.
Ia juga mungkin angkara jangkitan tidak didiagnosis selama beberapa tahun dan telah melarat.
Simptom
Bagaimana simptom penyakit hepatitis B?
Biasa dikenali sebagai salah satu penyakit pembunuh senyap, ramai orang yang tidak mengalami simptom sehingga penyakit ini melarat kerana tidak sedar akannya.
Pun begitu, masih ada beberapa simptom yang boleh jadi indikator namun ia akan berbeza bergantung kepada sistem imunisasi tubuh badan mereka sendiri.
Jangkitan Hepatitis B akut
Simptom jangkitan yang bersifat akut mungkin akan berlangsung selama sekitar 1 ke 4 bulan dan ia merupakan fasa awal penyakit ini, gejalanya adalah seperti berikut:
- Lemah tubuh badan
- Hilang selera makan
- Mual-mual
- Muntah-muntah
- Kesakitan pada bahagian atas abdomen
- Kekuningan pada kulit dan mata (jaundis)
Kebiasaannya, jangkitan Hepatitis B akut tidak akan menyebabkan kerosakan organ hati yang teruk serta tidak akan menunjukkan sebarang gejala lain seperti pendarahan.
Jangkitan HBV kronik
Simptom jangkitan yang bersifat kronik biasanya lebih kurang sama dengan gejala gangguan fungsi organ hati akibat keradangan, sirosis atau kanser termasuklah:
- Lemah tubuh badan
- Sakit otot badan
- Hilang selera makan
- Warna najis pucat
- Warna urin keruh
- Mual-mual
- Muntah-muntah
- Kesakitan pada bahagian atas abdomen
- Kekuningan pada kulit dan mata (jaundis)
- Demam yang ringan
- Wujud cairan aneh pada perut (asites)
- Timbul pembuluh darah pada kulit (spider angioma)
Sekiranya anda mengalami sebarang gejala sama ada bersifat akut atau kronik, segera berjumpa doktor untuk dapatkan ubatan dan rawatan agar ia tidak melarat.
Punca
Apa punca jangkitan hepatitis B?
Jangkitan HBV itu mungkin boleh berlaku akibat kontak rapat cecair tubuh badan individu seperti darah, air mani, air kencing namun bukan bersin atau batuk.
Virus ini juga dapat bertahan hidup di luar tubuh badan manusia selama sekitar lebih 7 hari dan ketika itu ia mampu untuk membiak dan merebak pada individu.
Selepas ia berjaya memasuki tubuh badan individu yang lemah sistem imun, virus tersebut biasanya tidak akan terus menyebabkan jangkitan kerana tempoh inkubasi.
Kebiasaannya, ia akan berinkubasi kira-kira 75 hari, namun boleh terjadi dengan lebih awal yakni 30 hari atau lebih lewat iaitu 180 hari.
Apa faktor risiko jangkitan hepatitis B?
Kondisi ini mampu berjangkit akibat penyebaran virus melalui kontak rapat dengan darah, air mani, air kencing atau sebarang cecair tubuh badan yang lain.
Dalam pada itu, wujud juga beberapa faktor risiko yang membawa kepada penyakit ini iaitu :
- Aktiviti seksual yang tidak selamat
- Penggunaan jarum suntikan yang sama
- Bayi yang dilahirkan oleh ibu dengan virus
- Tinggal di kawasan yang sama dengan pesakit
- Kerja di kawasan yang terdedah dengan cecair manusia
- Keluar ke kawasan yang tinggi risiko jangkitan HBV (Asia Tenggara, Afrika)
Ketiadaan faktor risiko bukan bermaksud bahawa anda tidak mungkin akan dijangkiti HBV. Sebaiknya, dapatkan informasi daripada doktor dengan lebih lanjut.
Diagnosis & Rawatan
Bagaimana mendiagnosis penyakit ini?
Langkah pertama yang anda perlu buat adalah mengenal pasti simptom dan kemudian bertindak berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan seperti berikut:
- Ujian darah – mendiagnosis ciri virus hepatitis sama ada ia akut atau kronik serta reaksi sistem imun tubuh badan terhadapnya
- Biopsi organ hati – mengambil sampel jaringan dari hati untuk melihat sama ada berlaku sebarang kerosakan serius pada organ ini
- Periksa fungsi hati – mengkaji fungsi hati sama ada ia bekerja secara optimum atau tidak melalui kadar enzim, albumin dan bilirubin
Selepas didiagnosis, maka baru pesakit itu boleh mula untuk merancang dan mengambil ubatan serta rawatan yang diperlukan mengikut saranan daripada doktor.
Bagaimana merawat penyakit ini?
Sebenarnya, mencegah itu adalah jauh lebih baik daripada mengubati dan ini menunjukkan bahawa vaksinasi merupakan langkah awal yang perlu kita semua ambil.
Tanpa vaksin juga, anda masih boleh merawat penyakit ini dengan lebih awal melalui suntikan immunoglobulin dalam tempoh 12 jam selepas jangkitan berlaku.
Jangkitan HBV akut
Jika doktor mendiagnosis anda alami kondisi hepatitis B akut, anda tidak perlu risau kerana ia hanya bersifat sementara dan mungkin boleh sembuh dengan sendiri.
Apa yang anda perlu buat adalah lebih banyak berehat, mengelak daripada kontak rapat dengan orang lain serta memastikan tubuh badan kuat untuk melawan jangkitan.
Jangkitan HBV kronik
Jika doktor mendiagnosis anda alami kondisi hepatitis B kronik, pesakit perlu untuk mengambil ubatan antivirus (adefovir, entecavir atau interferon alfa-2b).
Sekiranya jangkitan virus ini telah menyebabkan kerosakan atau kegagalan pada organ hati pula, prosedur pembedahan dan pemindahan organ mungkin perlu dibuat.
[embed-health-tool-bmr]