Mengalami keadaan di mana asid perut naik semula ke tekak atau GERD pastinya tidak menyelesakan. Tetapi apakah ada ubat GERD paling mujarab untuk dicuba bagi mengatasi keadaan ini?
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Sistem Penghadaman, sila dapatkannya di sini.
Apa itu GERD
Apa kata kita fahami terlebih dahulu keadaan kesihatan ini sebelum mengetahui pilihan ubat GERD paling mujarab yang ada untuk anda, okay?
Penyakit gastroesophageal refluks (GERD) berlaku apabila asid perut kerap mengalir kembali (refluks) ke dalam tiub yang menghubungkan mulut dan perut – esofagus dan menyebabkan iritasi.
Bagi asid refluks ringan, ia boleh berlaku sekurang-kurangnya 2 kali seminggu. Manakala bagi tahap sederhana hingga teruk, ia boleh terjadi sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Simptom apa itu GERD
Tanda dan gejala GERD yang biasa adalah:
- Sensasi terbakar di dada (pedih ulu hati), biasanya selepas makan dan boleh bertambah teruk pada waktu malam
- Sakit dada
- Kesukaran menelan
- Regurgitasi/muntah makanan atau cecair masam
- Sensasi benjolan di kerongkong
Jika asid refluks turut dialami pada waktu malam, gejalanya mungkin:
- Batuk kronik
- Laringitis
- Asma baharu atau semakin teruk
- Tidur terganggu
Baca juga:
Ubat GERD paling mujarab: Kenal pasti faktor risiko dahulu
Sebelum tahu ubat sakit perut GERD, ketahui keadaan yang boleh meningkatkan risiko GERD:
- Obesiti
- Hernia hiatal
- Kehamilan
- Gangguan tisu penghubung
- Proses pengosongan perut lambat
Masalah asid refluks akan bertambah buruk disebabkan oleh:
- Tabiat merokok
- Makan lewat atau makan banyak
- Makanan tertentu seperti makanan bergoreng
- Minuman tertentu seperti alkohol atau kopi
- Ubatan tertentu seperti aspirin
Ubat GERD paling mujarab
Kita sudah memahami secara ringkas apa itu GERD, kini tiba masanya untuk mengetahui kaedah yang boleh dilakukan bagi merawat keadaan ini.
Terdapat 4 pendekatan untuk merawat GERD:
- Perubahan gaya hidup dan diet
- Ubatan
- Terapi endoskopi
- Pembedahan
Perubahan gaya hidup & pemakanan
Perubahan pada diet dan amalan gaya hidup adalah langkah pertama dalam merawat GERD. Antara perkara yang disarankan bagi mengurangkan gejala adalah:
- Kurangkan berat badan jika berlebihan, ini merupakan kaedah paling berkesan untuk mengurangkan gejala asid refluks
- Elakkan makanan yang boleh meningkatkan kadar asid perut seperti minuman berkafein
- Hindari makanan yang boleh mengurangkan tekanan esofagus bawah seperti makanan berlemak, alkohol
- Elakkan makanan yang menjejaskan peristalsis- pergerakan otot saluran pencernaan, seperti kopi, cecair berasid dan alkohol
- Hindari makanan yang melambatkan pengosongan gastrik seperti makanan berlemak
- Elakkan mengambil makanan dalam porsi besar
- Berhenti merokok. Merokok mengurangkan keupayaan sfingter esofagus bawah untuk berfungsi dengan baik
- Jangan berbaring selepas makan, tunggu sekurang-kurangnya 3 jam sebelum berbaring atau tidur
- Tinggikan aras kepala ketika berbaring. Lakukan dengan meninggikan kaki katil bahagian kepala dengan blok kayu atau simen. Penggunaan bantal untuk menambah ketinggian aras kepala biasanya tidak berkesan
Ubat GERD paling mujarab: Pengambilan ubatan
Jika perubahan gaya hidup dan diet tidak berkesan, doktor mungkin menetapkan ubatan tertentu. Ia sama ada berfungsi untuk menurunkan tahap asid perut atau meningkatkan tahap pergerakan pada saluran gastrointestinal atas (GI).
Antasid
Ubat daripada farmasi yang terbaik bagi mengatasi simptom refluks yang berlaku sekejap dan agak jarang.
Namun ia tidak digalakkan untuk diambil dengan kerap kerana boleh memburukkan lagi masalah GERD.
Ini kerana ia akan melegakan ketidakselesaan perut dengan cepat, dan kesannya perut akan meningkatkan pengeluaran asid.
Penyekat histamin
Ubat yang membantu menurunkan rembesan asid. Penyekat H2 dapat menyembuhkan hakisan esofagus pada sekitar 50% individu dengan masalah asid refluks.
Perencat pam proton (PPI)
Ubat yang menyekat 3 laluan utama untuk pengeluaran asid. PPI lebih berkesan berbanding penyekat H2 dalam menekan pengeluaran asid.
PPI dianggap ubat GERD paling mujarab kerana dapat menyembuhkan esofagitis erosif serta kerosakan esofagus kronik pada kebanyakan individu.
Agen prokinetik
Ubat yang dapat meningkatkan aktiviti otot licin pada saluran gastrousus (GI), namun ia kurang berkesan berbanding PPI.
TIF & Terapi Endoskopi Lain
Antara ubat GERD paling mujarab adalah transoral incisionless fundoplication (TIF). Tempoh proses rawatan lebih pendek, kurang kesakitan dan proses pemulihan pantas.
Buat masa ini, keberkesanan terapi endoskopi masih dalam kajian. Antara bentuk terapi adalah menggunakan mesin jahit endoskopi yang bertujuan untuk meningkatkan penghalang antirefluks.
Pembedahan, salah satu ubat GERD mujarab
Prosedur pembedahan adalah pilihan terakhir bagi merawat masalah asid refluks. GERD boleh sembuh dengan pembedahan yang dilakukan untuk memperkuatkan penghalang antirefluks.
Untuk prosedur ini, pakar bedah mungkin melakukan pembedahan secara laparoskopi – prosedur kurang invasif dengan tempoh pemulihan lebih pendek.
Umumnya, ada sesetengah individu lebih menyukai pendekatan ini berbanding pengambilan ubatan seumur hidup.
Walau apa pun pendekatan pilihan anda dalam merawat masalah GERD, sebaiknya berundinglah dengan doktor untuk memastikan kesesuaian rawatan tersebut dengan diri anda.
[embed-health-tool-bmr]