backup og meta

Ibu Risau Susu Badan Tak Cukup? Cuba Makanan Ini Untuk Banyakkan Susu Secara Semula Jadi

Ramai ibu mula risau bila susu badan terasa makin berkurang, terutamanya selepas berpantang atau kembali bekerja. Selain rutin penyusuan dan rehat, pemilihan makanan tambah susu ibu yang sesuai boleh bantu merangsang pengeluaran susu secara semula jadi.

Ibu Risau Susu Badan Tak Cukup? Cuba Makanan Ini Untuk Banyakkan Susu Secara Semula Jadi

Dalam artikel ini, bersempena dengan Minggu Penyusuan, kita akan kongsikan senarai makanan yang terbukti membantu serta tip berguna untuk ibu terus kekal bertenaga dan yakin sepanjang tempoh menyusu.

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Keibubapaan, boleh klik di sini.

Kenapa makanan tambah susu ibu penting untuk penyusuan yang berterusan?

Makanan tambah susu ibu sangat penting kerana apa yang ibu makan boleh mempengaruhi jumlah dan kualiti susu badan. 

Jika pemakanan tidak seimbang, penghasilan susu mungkin terjejas, menyebabkan bayi tidak kenyang atau meragam. 

Dengan memilih makanan berkhasiat kaya galactagogue (bahan semula jadi yang bantu rangsang penghasilan susu), ibu boleh menyokong penyusuan secara semula jadi tanpa bergantung sepenuhnya pada suplemen.

[embed-health-tool-vaccination-tool]

Tanda susu badan kurang yang perlu diberikan perhatian

Ramai ibu bimbang sama ada susu badan mereka mencukupi. Walaupun setiap bayi berbeza, ada beberapa tanda umum yang boleh menunjukkan susu mungkin tidak cukup.

  1. Bayi kerap menangis walaupun sudah menyusu
  2. Jumlah lampin basah sedikit dalam sehari (kurang daripada 6 lampin basah)
  3. Berat badan bayi tidak naik secara konsisten
  4. Payudara masih terasa penuh selepas menyusu
  5. Bayi tidur sekejap dan mudah terjaga

Jika anda mengalami tanda-tanda ini, jangan panik. Kami ada cara yang dapat membantu atasinya.

makanan tambah susu ibu
Kebaikan susu ibu untuk si manja.

Cara tradisional tambah susu badan

Sejak dahulu lagi, ramai ibu di Malaysia mengamalkan petua dan kaedah tradisional untuk merangsang penghasilan susu badan. 

Walaupun kesannya mungkin berbeza bagi setiap individu, tidak dinafikan bahawa gabungan pemakanan dan rutin harian yang betul dapat membantu menyokong penyusuan. 

Berikut antara cara tradisional yang masih diamalkan hingga kini:

  1. Amalkan makanan tambah susu ibu seperti halba dan pegagaHalba dipercayai membantu meningkatkan hormon prolaktin yang penting untuk penghasilan susu. Pegaga pula sering dijadikan ulam atau direbus sebagai air minuman untuk kesihatan dalaman wanita lepas bersalin.
  2. Minum air rebusan daun – seperti daun kucai atau daun ketumbarMembantu menyeimbangkan hormon dan melancarkan pengeluaran susu badan secara semula jadi.
  3. Pengambilan sup lobak putih atau sup betik mudaDua menu tradisional ini kaya dengan nutrisi dan sering diamalkan oleh ibu berpantang. 
  4. Urutan dan tuam payudara secara berkalaUrutan lembut pada kawasan payudara menggunakan minyak kelapa dara atau minyak herba boleh membantu melancarkan aliran susu serta mengurangkan bengkak susu.
  5. Kerapkan penyusuan dan berfikiran positifMinda yang tenang dan sokongan emosi juga memainkan peranan penting.

[embed-health-tool-child-growth-chart]

Cara moden tambah susu badan yang ibu boleh cuba

Kaedah moden ini selalunya lebih praktikal, mudah diamalkan dan disokong oleh kajian pemakanan.

Salah satu cara paling popular ialah pengambilan makanan tambah susu ibu yang terbukti tinggi dengan galactagogue semula jadi seperti:

  • Oat – Mengandungi zat besi dan serat yang membantu meningkatkan tenaga dan menyokong hormon penyusuan
  • Kacang badam dan walnut – Sumber lemak sihat dan protein yang membantu kelenjar susu berfungsi dengan lebih efektif
  • Biji chia dan biji rami (flaxseed) – Kaya dengan omega-3 dan serat, membantu kestabilan hormon dan penghasilan susu
makanan tambah susu ibu
Biji chia dan biji rami juga dapat membantu menambah susu badan.

Terdapat juga ibu yang memilih untuk mengambil snek atau minuman tambahan yang diformulasikan khas bagi menyokong proses penyusuan. 

Kebiasaannya, produk ini mengandungi gabungan bahan seperti fenugreek dan biji bunga matahari — antara bahan galactagogue moden yang terbukti membantu merangsang penghasilan susu.

Makanan tambah susu badan semasa pantang

Selain boleh mengamalkan cara tradisional tambah susu badan serta moden seperti yang dikongsikan di atas, ibu yang sedang berpantang juga boleh mencuba:

  1. Halia dan kunyit hidupHalia dan kunyit bukan sahaja memanaskan badan, tetapi juga membantu melancarkan aliran darah—termasuk ke kawasan payudara untuk penghasilan susu yang lebih stabil.
  2. Kurma dan susu kambingKombinasi tradisional ini dipercayai membekalkan tenaga serta meningkatkan kualiti dan kuantiti susu badan, terutamanya semasa awal tempoh penyusuan.
  3. Ikan haruan dan ikan selar, antara makanan tambah susu ibuIkan jenis ini kaya dengan protein dan asid amino yang membantu mempercepatkan proses penyembuhan luka dalaman, di samping menyokong penghasilan susu ibu.
  4. Sup ayam herba tanpa bahan pedas sebagai makanan tambah susu badan semasa pantangSup yang dimasak bersama herba seperti halia, bawang putih dan goji berry memberikan kesan pemulihan dalaman dan dalam masa sama bertindak sebagai makanan tambah susu ibu yang mudah dihadam.
makanan tambah susu ibu
Sup ayam antara makanan yang boleh membantu menambah susu badan.

Makanan semasa pantang perlu bersifat pemulih dan perangsang, jadi elakkan makanan sejuk, berangin atau yang boleh menyebabkan ketidakselesaan perut. Pengambilan air juga sangat penting, pastikan badan cukup terhidrat dengan air suam.

Kesimpulan

Pemilihan makanan tambah susu ibu yang betul boleh memainkan peranan besar dalam menyokong penghasilan susu badan yang mencukupi dan berkualiti. 

Sama ada dalam bentuk makanan moden seperti oat dan kekacang, atau pilihan tradisional seperti halba dan kurma, semuanya dapat membantu ibu kekal bertenaga dan yakin sepanjang tempoh penyusuan. 

Apa yang penting, pastikan pengambilan makanan harian seimbang, kaya nutrien dan sesuai dengan keperluan tubuh—terutama jika masih dalam fasa berpantang. Dengan sokongan pemakanan yang betul, ibu dapat terus memberikan yang terbaik untuk si kecil.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Increasing your breast milk supply if your baby is not breastfeeding.  https://www.childrens.health.qld.gov.au/health-a-to-z/breastfeeding/increasing-breast-milk-supply/increasing-breast-milk-supply-if-your-baby-is-not-breastfeeding. Accessed on Aug 4, 2025.
  2. Breastfeeding nutrition: Tips for moms. https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/infant-and-toddler-health/in-depth/breastfeeding-nutrition/art-20046912. Accessed on Aug 4, 2025.
  3. How to increase breastmilk supply. https://www.pregnancybirthbaby.org.au/increasing-your-breast-milk-supply. Accessed on Aug 4, 2025.
  4. Herbs and Foods to Increase Your Breast Milk Supply.https://www.uwmedicine.org/sites/stevie/files/2018-11/Herbs-Foods-Increase-Your-Breast-Milk-Supply.pdf. Accessed on Aug 4, 2025.
  5. 9 Cara Banyakkan Susu Badan Secara Semulajadi. https://mamaschoice.my/article/cara-banyakkan-susu-badan/. Accessed on Aug 4, 2025.
  6. Breastfeeding: Tips to Increase Your Milk Supply. https://www.uhhospitals.org/services/obgyn-womens-health/patient-resources/pregnancy-resources/breastfeeding-guide/breastfeeding-tips-to-increase-your-milk-supply. Accessed on Aug 4, 2025.
  7. Low Milk Supply. https://wicbreastfeeding.fns.usda.gov/low-milk-supply. Accessed on Aug 4, 2025.

 

Versi Terbaru

13/08/2025

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Annes Nadia


Artikel Berkaitan

Ibu Menyusu Perlu Ambil Dan Elak 11 Jenis Makanan Ini, Jika Baby Ada Jaundis!

3 Penyebab Si Ibu Tidak Patut Menyusukan Anak Dengan Susu Badan, Awas Ya!


Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor · · · Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Dikemas kini 13/08/2025

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan