Definisi
Apa itu Herniasi cakera lumbar?
Cakera saraf tunjang memainkan peranan yang sangat penting di bahagian belakang bawah badan, berfungsi sebagai penyerap hentakan di antara tulang belakang, menyokong bahagian atas badan, dan mengizinkan pelbagai pergerakan badan dari semua arah.
Apabila cakera terherniasi dan berlaku kebocoran bahan dari dalamnya, cakera akan berubah dari sesuatu yang memudahkan kehidupan harian kepada perkara yang mengganggu saraf, mennyebabkan sakit belakang dan kemungkinan sakit dan simptom saraf hingga ke kaki.
Simptom herniasi cakera selalunya bermula tanpa sebab yang ketara. Atau ia juga boleh terjadi jika seseorang mengangkat barang yang berat atau / dan bahagian bawah badan berpusing, ia merupakan pergerakan yang menambah tekanan kepada cakera tersebut.
Apakah kebarangkalian Herniasi cakera lumbar?
Herniasi cakera lumbar adalah masalah kesihatan yang meluas, selalunya melibatkan mereka yang berusia sekitar 35-50 tahun. Sila berjumpa dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.
Simptom-simptom
Apakah simptom-simptom Herniasi cakera lumbar?
Simptom yang selalunya berlaku ialah:
- Sakit kaki: Sakit kaki biasanya akan lebih teruk dirasakan berbanding sakit di bahagian belakang bawah badan. Jika sakit itu dirasai di sepanjang saraf siatik besar di bahagian belakang kaki, ia akan dirujuk sebagai siatika atau radikulopati.
- Sakit saraf: Simptom yang paling mudah dikenal pasti selalunya ialah digambarkan sebagai sakit saraf kaki, dengan sakit tersebut dikatakan menyelar, tajam, elektrik, mencucuk atau menyebar.
- Lokasi simptom berubah-ubah: Ia berubah-ubah berdasarkan seperti lokasi di mana cakera terherniasi, simptom boleh dirasai di bahagian belakang bawah badan, punggung, depan atau belakang peha, betis, tapak kaki dan/atau jari kaki, dan biasanya menjejaskan sebelah bahagian badan sahaja.
- Simptom neurologi: Kebas, ‘rasa pin dan jarum’, lemah dan sesemut boleh dirasai di bahagian kaki, tapak dan jari kaki.
- Kaki terkulai: Simptom neurologi disebabkan oleh herniasi adalah termasuk kesukaran mengangkat kaki apabila berjalan atau berdiri di atas kekura kaki, ia dikenali sebagai kaki terkulai.
- Sakit di belakang bawah badan: Ia boleh terjadi, tetapi tidaklah selalu. Sakit di belakang bawah badan digambarkan sebagai sakit tumpul atau berdenyut-denyut, dan mungkin disertai dengan kekakuan. Jika herniasi cakera menyebabkan otot di bahagian belakang bawah badan kejang, ia boleh dilegakan dengan berehat selama sehari dua, menggunakan ais atau haba, duduk di atas kerusi yang disokong atau berbaring rata dengan bantal disusun di bawah lutut.
- Sakit yang bertambah dengan sebarang pergerakan: Sakit boleh terjadi selepas berdiri atau duduk yang lama, atau selepas berjalan walaupun dalam jarak yang pendek. Ketawa, bersin atau sebarang pergerakan yang tiba-tiba juga mungkin boleh menambah rasa sakit.
- Sakit yang bertambah apabila membongkok: Ramai yang mendapati posisi seperti membongkok ke depan atau ke belakang menjadikan sakit kaki bertambah teruk.
- Masa mula yang cepat: Sakit herniasi cakera lumbar selalunya berkembang dengan cepat walaupon tiada tindakan atau peristiwa yang dapat dikenal pasti menyebabkan sakit itu.
Simptom herniasi cakera lumbar selalunya lebih teruk apabila herniasi terjadi secara meluas. Sakit boleh menjadi lebih ringan dan terhad kepada sakit belakang jika herniasi cakera tidak melibatkan urat saraf.
Dalam sesetengah kes, sakit belakang atau sakit kaki yang berlaku untuk beberapa hari dan kemudian hilang, adalah petunjuk pertama herniasi cakera.
Mungkin terdapat beberapa tanda atau simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom-simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor anda.
Bila saya harus berjumpa doktor?
Jika anda ada mengalami sebarang tanda atau simptom seperti yang disenaraikan di atas atau ada sebarang kemusykilan, sila rujuk doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Yang terbaik adalah anda berunding dengan doktor anda apa yang terbaik untuk situasi yang sedang anda lalui.
Punca
Apakah punca Herniasi cakera lumbar?
Kesakitan yang disebabkan herniasi cakera lumbar kelihatan seperti berlaku secara tiba-tiba, tetapi sebenarnya ia adalah hasil proses yang beransur-ansur.
Cakera saraf tunjang kanak-kanak mengandungi kandungan cecair yang tinggi, yang membantu cakera tetap fleksibel kerana ia bertindak sebagai kusyen di antara tulang belakang. Dari masa ke semasa ianya menjadi sebahagian dari proses penuaan di mana cakera mula kering. Ini menyebabkan lapisan luar cakera yang dahulunya teguh menjadi rapuh dan berisiko untuk mudah tercedera dan retak walaupun dengan hanya pergerakan yang ringan, seperti mengangkat satu beg barangan dapur, memusingkan bahagian belakang bawah badan semasa memukul bola golf, atau semudah semasa memusingkan badan untuk masuk ke dalam kereta.
Sebab yang kurang terjadi antaranya ialah kecederaan trauma seperti jatuh atau kemalangan kenderaan. Kecederaan tersebut boleh menambah beban ke atas cakera lalu menyebabkan herniasi berlaku.
Faktor-faktor Risiko
Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Herniasi cakera lumbar?
Terdapat banyak faktor risiko berlakunya herniasi cakera lumbar, seperti:
- Faktor risiko yang selalunya terjadi ialah faktor usia yang berumur 35 hingga 50 tahun. Keadaan ini jarang memberi simptom kepada mereka yang berumur lebih dari 80 tahun.
- Lelaki lebih berisiko dua kali ganda untuk mendapat herniasi cakera lumbar berbanding perempuan.
- Pekerjaan fizikal yang berat. Pekerjaan yang memerlukan aktiviti mengangkat barang yang berat dan kerja fizikal yang lain didapati berkait rapat dengan risiko terjadinya herniasi cakera. Pergerakan menarik, menolak dan berpusing boleh menjadi faktor tambahan jika ianya dilakukan berulang-ulang.
- Mereka yang mempunyai berat badan berlebihan didapati lebih berisiko untuk mendapat herniasi cakera lumbar dan 12 kali lebih berisiko untuk cakera yang sama terherniasi lagi, dikenali sebagai herniasi cakera berulang, selepas pembedahan microdiscectomy. Pakar percaya bahawa mengangkat barang yang berat akan menambah beban ke atas tulang belakang lumbar, menjadikan mereka yang obes lebih terdedah kepada herniasi.
- Nikotin mengehadkan aliran darah ke cakera tulang belakang, yang akan mempercepatkan degenerasi cakera dan menghalang penyembuhan. Cakera yang degenerasi sudah kurang lentur, ia lebih mudah tercedera atau retak, dan lebih mudah untuk terherniasi. Para pengkaji perubatan masih lagi membincangkan adakah mereka yang merokok mempunyai risiko yang lebih besar untuk mendapat herniasi baru selepas discectomy.
- Sejarah keluarga. Para pengkaji perubatan telah membuktikan ada faktor keturunan untuk degenerasi cakera, dan degenerasi cakera dikaitkan dengan risiko tingga untuk mendapat herniasi cakera. Satu kajian yang meluas mendapati sejarah keluarga yang ada herniasi lumbar cakera adalah peramal terbaik untuk herniasi akan berlaku.
Diagnosis dan Rawatan
Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.
Bagaimana pesakit Herniasi cakera lumbar didiagnosis?
Doktor anda akan mengambil sejarah perubatan dan melakukan pemeriksaan fizikal. Jika ia dapat menjuruskan anda kepada herniasi cakera, anda tidak lagi perlu melakukan pemeriksaan lain.
Jika doktor anda memerlukan lebih maklumat lagi, atau jika rawatan yang diberikan tidak berkesan selepas empat minggu, anda mungkin perlu melakukan MRI atau CT scan.
X-ray selalunya tidak berguna dan tidak diperlukan. Tetapi jika sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal menjuruskan anda kepada keadaan yang lebih membimbangkan (seperti ketumbuhan, jangkitan, patah tulang atau kerosakan saraf yang teruk), atau jika sakit kaki dan simptom lain tidak menunjukkan kesembuhan selepas empat minggu rawatan bukan pembedahan, doktor anda mungkin mengarahkan untuk mengambil x-ray.
Pemeriksaan lain seperti ujian darah, mungkin akan dilakukan untuk menolak sebarang kebarangkalian penyakit lain.
Ujian yang berikut tidak selalu digunakan seperti MRI dan CT scan, tetapi ia mungkin boleh memberikan doktor anda lebih maklumat:
- Elektromiogram dan ujian konduksi saraf mungkin dilakukan dalam beberapa keadaan di mana mereka yang ada tanda-tanda tekanan yang lama kepada akar saraf.
- Mielogram juga mungkin dilakukan jika anda tidak boleh melakukan MRI (sebagai contoh, jika anda memakai perentak jantung.
- Diskografi boleh membantu dalam mendiagnosis masalah cakera tetapi ia adalah amat jarang digunakan.
- Sekatan / blok saraf mungkin dapat menunjukkan saraf mana yang mengalami masalah.
Bagaimana pesakit Herniasi cakera lumbar dirawat?
Kebanyakan simptom herniasi lumbar cakera pulih dengan sendirinya dalam masa enam minggu, jadi pesakit selalunya akan dinasihati untuk memulakan rawatan dengan cara bukan pembedahan dahulu. Walau bagaimanapun, ia boleh berubah bergantung kepada sifat dan tahap simptom tersebut.
Kawalan kesakitan awal untuk herniasi lumbar cakera.
Mengawal kesakitan yang melampau adalah perkara paling mustahak apabila simptom pertama muncul. Kawalan kesakitan awal adalah termasuk:
- Menuam ais. Menuam ais atau pek sejuk mungkin boleh membantu dalam mengurangkan keradangan awal dan kekejangan otot yang berlaku apabila herniasi cakera lumbar. Urutan ais juga boleh membantu. Ais adalah sangat berkesan untuk 48 jam pertama selepas kesakitan belakang bawah badan bermula.
- Ubat untuk kesakitan. Doktor mungkin mencadangkan ubat anti-radang bukan steroid seperti ibuprofen atau naproxen untuk merawat kesakitan dan keradangan.
- Ubat penenang otot. Kekejangan otot boleh terjadi bersama herniasi cakera lumbar, preskripsi ini boleh membantu melegakan sakit kekejangan.
- Terapi haba. Menuam haba boleh, membantu melegakan sakit kekejangan selepas 48 jam yang pertama. Pad pemanas, pemampan haba dan pelekat pembalut haba adalah pilihan yang baik. Haba lembab seperti mandian panas, juga boleh menjadi pilihan.
- Haba dan ais. Sesetengah orang mendapati bergilir pad panas dan sejuk dapat memberi kelegaan secara maksimum.
- Berehat di atas katil untuk sakit yang teruk adalah terhad kepada sehari atau dua sahaja, kerana rehat yang lebih dari itu boleh menyebabkan kekakuan dan lebih kesakitan.
Selepas dari itu, adalah dinasihatkan untuk pesakit melakukan aktiviti ringan dan pergerakan secara kerap dengan rehat sebentar apabila diperlukan. Mengangkat berat dan senaman yang berat perlu dielakkan.
Terapi tambahan untuk herniasi lumbar cakera
Ini adalah terapi-terapi yang didapati mampu membantu melegakan sakit bagi jangka masa yang lebih panjang:
- Terapi fizikal sangat penting dalam mengajar aktiviti meregang dan latihan untuk pemulihan. Program ini juga mampu mengajar pesakit tentang cara yang lebih selamat semasa melakukan aktiviti yang biasa dilakukan seperti mengangkat barang dan berjalan.
- Suntikan epidural untuk ubat-ubatan steroid boleh membantu melegakan kasakitan dalam sesetengah kes. Suntikan steroid epidural adalah bertujuan untuk menyediakan kelegaan yang secukupnya kepada pesakit supaya pesakit mampu mencapai kemajuan dalam proses penyembuhan. Kesannya adalah pelbagai dan kelegaan kesakitan adalah bersifat sementara.
- Manipulasi tulang belakang yang dilakukan dengan cara kiropraktor atau osteopath juga boleh melegakan kesakitan dan persekitaran yang lebih baik untuk penyembuhan.
- Akupunktur menggunakan jarum halus dicucuk ke dalam kulit berdekatan dengan kawasan yang sakit. U.S Food and Drug Administration telah meluluskan akupunktur sebagai rawatan sakit belakang.
- Terapi tingkah laku kognitif juga didapati membantu dalam menangani sakit siatika. Terapi ini membantu mengawal dan mengubah tingkah laku diri sendiri. Pakar terapi membantu pesakit secara berhadapan atau melalui sesi atas talian. Pakar terapi juga mampu membantu mengajar teknik-teknik seperti meditasi sedar dan di bawah sedar untuk mengurangkan rasa sakit.
- Terapi urutan juga boleh melegakan kesakitan belakang badan dengan cara meningkatkan aliran darah, merehatkan otot, dan melepaskan hormon semulajadi yang melegakan sakit, dikenali sebagai endorphins.
Pilihan rawatan untuk herniasi cakera lumbar ini adalah sangat bergantung kepada tempoh masa pesakit mengalami simptom dan tahap kesakitan yang dialami. Simptom yang spesifik (seperti lemah dan rasa kebas), dan umur pesakit juga menjadi antara faktor.
Jika rasa sakit dan simptom lain herniasi cakera lumbar berterusan selama lebih dari 6 minggu, pembedahan akan dipertimbangkan. Herniasi cakera lumbar adalah sebab yang paling biasa berlakunya pembedahan tulang belakang bagi orang dewasa dalam tempoh umur bekerja.
Pembedahan adalah disarankan jika:
- Terdapat kesakitan yang amat sangat dan jika pesakit mengalami kepayahan dalam mengendalikan aktiviti harian yang sepatutnya, seperti berdiri dan berjalan.
- Pesakit mengalami simptom neurologi yang semakin teruk, seperti kelemahan kaki yang bertambah, dan/atau rasa kebas.
- Terdapat gangguan fungsi usus dan pundi kencing.
- Meditasi, terapi fizikal, dan/atau rawatan bukan pembedahan tidak dapat melegakan simptom dengan signifikan.
Dalam sesetengah kes, pembedahan diperlukan sebelum pesakit tamat rawatan bukan pembedahan selama enam minggu.
Prosedur Mikrodiscektomi untuk herniasi cakera lumbar
Dua prosedur yang invasif secara minima, mikrodisektomi dan endoskopi mikodisektomi, adalah yang paling disarankan untuk herniasi cakera lumbar. Dua prosedur ini menghilangkan beban ke atas saraf tunjang dan menyediakan persekitaran yang lebih baik untuk penyembuhan berlaku.
Kebiasaannya, hanya sebahagian kecil cakera sahaja yang didapati menolak saraf tunjang perlu dibuang,dan sebahagian besar cakera masih utuh.
Hanya belahan kecil selalu digunakan dalam mikrodiscectomi. Untuk pembedahan endoskopi mikrodiscectomi, peralatan yang digunakan di dalam tiub halus atau tiub yang mengurangkan gangguan kepada tisu-tisu sekitarnya. Kamera halus boleh dimasukkan melalui tiub untuk menyediakan visualisasi kepada pakar bedah.
Kedua-dua pembedahan selalunya dilakukan di wad pesakit luar atau pesakit perlu bermalam selama satu malam di hospital. Kebanyakan pesakit boleh kembali bekerja dan memulakan aktiviti harian seperti biasa dalam masa satu hingga tiga minggu.
Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan
Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Herniasi cakera lumbar?
Brikut adalah perubahan gaya hidup atau pengubatan sampingan yang mungkin boleh menangani herniasi cakera lumbar:
- Cari posisi yang selesa untuk berehat. Anda mungkin lebih memilih untuk berbaring rata di atas permukaan lantai atau tilam yang sederhana kerasnya bersama bantal di bawah kepala dan bantai lain di bawah lutut. Atau anda boleh mencuba berbaring secara mengiring dengan bantal di antara dua lutut. Jangan tetap pada satu posisi untuk satu jangka masa yang terlalu lama.
- Lakukan akiviti riadah seperti berjalan seketika (10-20 minit) di atas permukaan rata (bukan curam, bukit atau tangga) setiap 2-3 jam. Berjalanlah untuk jarak yang anda mampu tanpa sebarang rasa sakit, terutamanya sakit kaki.
- Sila ambil ubat tahan sakit jika diperlukan. Ubatan ini berfungsi dengan baik jika anda mengambilnya pada waktu yang tetap berbanding menunggu sehingga sakit menjadi teruk.
- Cuba haba atau ais. Tiada sebarang bukti kukuh yang menyatakan haba atau ais boleh membantu, tetapi anda boleh mencubanya dan lihat adakah ia berkesan. Anda juga boleh bergilir-gilir menggunakan haba dan ais. Anda boleh mencuba:
- Pad pemanas pada tetapan rendah atau sederhahanuntuk 15-20 minit setiap 2-3 jam.
- Pancuran mandian hangat untuk satu sesi bersama pad pemanas.
- Satu pembalut haba yang boleh bertahan sehingga 8 jam.
- Pek ais untuk 10-15 minit setiap 2-3 jam. Anda boleh menggunakan pek ais atau satu beg sayuran beku yang dibalut dengan tuala nipis.
- Terus aktif dan lakukan senaman, seperti yang dinasihatkan doktor anda atau pakar terapi fizikal anda, untuk membantu anda kembali kepada tahap aktiviti yang biasa anda lakukan. Senaman teras boleh mebantu anda menguatkan otot badan seterusnya melindungi belakang badan anda.
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.