backup og meta

Betul Ke Letupkan Jari Tak Elok Untuk Kesihatan? Ini 5 Tip Nak Berhenti Lakukannya

Betul Ke Letupkan Jari Tak Elok Untuk Kesihatan? Ini 5 Tip Nak Berhenti Lakukannya

Amalan letupkan jari tangan sering dianggap berbahaya. Ada yang khuatir akan risiko radang sendi jika seseorang itu kerap meletupkan jari mereka.

Namun, bagaimana pula dengan kajian sains? Adakah perbuatan tersebut tidak elok jika dilihat pada bukti klinikal sedia ada?

Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Kenapa ramai orang suka letupkan jari tangan?

Bukan semua individu suka meletup-letupkan sendi jari tangan masing-masing. Namun kajian di Amerika Syarikat menunjukkan kira-kira 54% individu suka berbuat demikian.

Mungkin anda tertanya-tanya, mengapa mereka suka meletupkan jari? Adakah kerana ia nikmat atau adakah tangan mereka sakit/lenguh jika tidak mengamalkannya?

 Terdapat beberapa sebab mengapa seseorang itu suka meletupkan jari tangan:

  1. Rasa puas/nikmat: Segelintir individu berasa sedap selepas meletupkan jari masing-masing berikutan ruangan di dalam sendi jari terasa seakan-akan ‘bertambah’. Perkara ini akan menyebabkan jari anda berasa lebih ringan. 
  2. Resah gelisah: Setiap individu mempunyai cara yang tersendiri untuk menguruskan kegelisahan mereka. Ada yang suka bermain dengan rambut, goyang kaki dan ada juga yang suka untuk meletupkan jari mereka.
  3. Stres: Sama seperti apa yang dilakukan oleh mereka yang resah gelisah, amalan letupkan jari tangan boleh jadi cara yang berkesan untuk seseorang itu menghilangkan rasa stres.
  4. Bunyi: Walaupun bunyi seperti tidak masuk akal, ada individu yang hanya suka akan bunyi ketika sendi diletupkan.
  5. Tabiat: Apabila seseorang itu sering meletupkan jari mereka, akan tiba satu saat di mana mereka akan melakukannya tanpa disedari. Pada ketika itu, amalan mereka sudah bertukar menjadi tabiat. Kebiasaannya, mereka yang meletupkan sendi jari mereka lima kali atau lebih dalam masa sehari dikaitkan dengan faktor tabiat.

Apa yang menyebabkan sendi jari meletup?

jari tangan

Mungkin ada yang tertanya-tanya, apa yang menyebabkan sendi jari mengeluarkan bunyi meletup apabila ia dilipatkan?

Mekanisme di sebalik fenomena tersebut bukanlah sesuatu yang difahami sepenuhnya oleh pengkaji.

Walau bagaimanapun, antara teori yang paling lama dipegang oleh ahli akademik berkait dengan penghasilan dan penghapusan buih nitrogen di dalam cecair sendi.

Ada juga yang berpendapat bunyi tersebut merupakan implikasi daripada pergerakan ligamen di sekitar sendi jari.

Pada tahun 2015, kajian yang dijalankan di Universiti Nebraska menunjukkan letupan sendi jari menyebabkan terbentuknya rongga akibat daripada tekanan negatif yang dihasilkan daripada perbuatan tersebut.

Mereka beranggapan bahawa bunyi letupan sendi jari tersebut boleh jadi berasal daripada pembentukan rongga itu.

Walau bagaimanapun, teori tersebut hanya menerangkan penghasilan bunyi akibat pembentukan rongga. Ia tidak mengambil kira atau menerangkan kelantangan bunyi yang dihasilkan.

Pada tahun 2018, satu lagi kajian menunjukkan kemungkinan bunyi tersebut berasal daripada keruntuhan separa yang dialami oleh rongga berkenaan.

Kajian tersebut turut menunjukkan keruntuhan penuh rongga berkenaan akan mengambil masa 20 minit sebelum rongga baharu boleh terbentuk.

Ia menerangkan mengapa selepas anda meletupkan jari, anda tidak melakukannya sekali lagi dalam tempoh masa tertentu.

Adakah tabiat ini boleh membahayakan kesihatan?

jari tangan

Walaupun ramai beranggapan bahawa tabiat ini berbahaya untuk kesihatan, kajian menunjukkan ia tidak menyebabkan apa-apa kesan serius dalam tempoh masa panjang.

Walau bagaimanapun, jumlah kajian yang dilakukan terhadapnya agak sedikit. Jika ingin diuji ketepatan hipotesis ini, lebih banyak kajian perlu dilakukan.

Terdapat laporan yang telah diterbitkan di laman jurnal Artritis dan Reumatologi yang menunjukkan amalan ini tidak mendatangkan apa-apa kesan yang signifikan.

Subjek kajian tersebut, seorang doktor yang meletupkan jari pada tangan kiri 2 kali atau lebih sehari tidak menemui apa-apa kesan atau simptom artritis apabila dibandingkan dengan jari tangan kanan (tidak pernah diletupkan).

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna perbuatan tersebut tidak akan menyebabkan sebarang kesan sampingan.

Umumnya, perbuatan letupkan jari tidak akan menyebabkan simptom seperti sakit, bengkak atau perubahan bentuk sendi.

Jika anda mengalami sebarang perubahan atau simptom tersebut, berkemungkinan ia disebabkan oleh proses patologi lain dan perlu disiasat.

Jarang sekali untuk anda mengalami masalah kecederaan ligamen jari akibat tabiat ini, namun ia tidak mustahil.

Ada beberapa tip yang anda boleh amalkan untuk menghentikan tabiat letupkan jari ini:

  1. Kenal pasti punca mengapa anda mengamalkan tabiat ini dan cari jalan penyelesaian.
  2. Cuba kaedah kawalan stres yang lain seperti teknik pernafasan dalaman, senaman atau meditasi.
  3. Guna bola stress untuk bantu anda atasi masalah letupkan jari.
  4. Pakai gelang getah pada pergelangan tangan. Setiap kali anda letupkan jari secara sengaja atau tidak sengaja, tarik dan lepas getah tersebut sebagai hukuman.
  5. Awasi pergerakan anda dan berhenti jika anda tersedar hendak meletupkan jari tangan.

Konklusi

Walaupun tidak berbahaya, bagi mereka yang risau, anda boleh amalkan 5 tip yang diberikan untuk memudahkan proses berhenti daripada tabiat meletupkan jari.

Jika anda suka meletupkan jari, secara amnya, tabiat tersebut tidak berbahaya. 

Namun, jika anda mengalami simptom seperti sakit, sendi bengkak dan sebagainya, rujuk doktor perubatan untuk pemeriksaan dan khidmat nasihat kesihatan.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Real-Time Visualization of Joint Cavitation. (https://journals.plos.org/plosone/article?id=10.1371/journal.pone.0119470). Diakses pada 1 Mac 2021.
  2. A Mathematical Model for the Sounds Produced by Knuckle Cracking. (https://www.nature.com/articles/s41598-018-22664-4?utm_medium=affiliate&utm_source=commission_junction&utm_campaign=3_nsn6445_deeplink_PID100090071&utm_content=deeplink). Diakses pada 1 Mac 2021.
  3. Knuckle Cracking Self Experiment Report. (https://onlinelibrary.wiley.com/doi/epdf/10.1002/1529-0131(199805)41:5%3C949::AID-ART36%3E3.0.CO;2-3). Diakses pada 1 Mac 2021.
  4. Knuckle cracking: Annoying and harmful, or just annoying? (https://www.health.harvard.edu/blog/knuckle-cracking-annoying-and-harmful-or-just-annoying-2018051413797). Diakses pada 1 Mac 2021.
  5. Knuckle Cracking and Hand Osteoarthritis. (https://www.jabfm.org/content/24/2/169.long). Diakses pada 1 Mac 2021.

Versi Terbaru

09/06/2022

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Nurul Halifah


Artikel Berkaitan

29 Punca Sakit Sendi Yang Anda Mungkin Terlepas, Patutlah Selalu Lenguh Badan!

Jangan Ambil Ringan Kalau Sakit Sendi, Lakukan 5 Petua Hilangkan Bisa Urat Saraf!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 09/06/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan