backup og meta

Fikir Banyak Kali Sebelum 'Letupkan' Leher Anda Yang Sedang Tegang! Kenapa?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 30/08/2022

    Fikir Banyak Kali Sebelum 'Letupkan' Leher Anda Yang Sedang Tegang! Kenapa?

    Pernahkah kalian mengalami leher tegang dan bertindak letupkan ia kononnya untuk melegakan ketidakselesaan itu? Anda mungkin perlu berhenti melakukannya!

    Ini kerana mungkin terdapat risiko yang berbahaya terutama jika anda salah cara meletupkannya.

    Jika ingin tahu apakah bahaya yang dimaksudkan ini, ayuh ikuti artikel ini dengan lebih lanjut.

    Kes kecemasan akibat letupkan leher tegang

    Amaran yang telah kami nyatakan menerusi tajuk artikel ini bukanlah dibuat atas alasan yang tidak berpandukan kepada fakta.

    Ini kerana sudah ada beberapa kes kecemasan akibat perbuatan letupkan leher tegang yang telah mengundang bahaya.

    Terbaharu, ada kes melibatkan 2 individu yang terpaksa dikejarkan ke hospital akibat kesalahan yang membawa maut ini!

    Seorang terselamat manakala seorang lagi maut!

    Pada tahun 2019, seorang lelaki berusia 28 tahun terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi ekoran tidak boleh berjalan selepas meletupkan leher.

    Menurutnya, perlakuan itu mungkin dilakukan dengan daya yang terlebih kuat sehingga menyebabkan bunyi ‘pop’ pada leher lelaki malang itu.

    Doktor mengesahkan mangsa dari Oklahoma, Amerika itu mengalami strok akibat kekoyakan arteri pada leher lantas mengakibatkan darah beku terkumpul.

    Berita baiknya, dia telah terselamat, namun lain pula ceritanya buat seorang wanita dari Los Angeles, Amerika yang maut akibat perbuatan ini.

    Atas alasan yang sama, wanita malang itu meletupkan leher kerana ketegangan namun tindakannya telah mengoyakkan arteri dan menyebabkan strok.

    Mangsa kemudiannya meninggal dunia semasa sedang menjalani rawatan kiropraktik.

    Ia bukan cara melegakan leher tegang terbaik

    Ketegangan pada leher selalu berlaku atau ia lebih dikenali dalam kalangan masyarakat kita sebagai kondisi ‘salah urat’.

    Ia mungkin terjadi akibat beberapa situasi contohnya posisi yang tidak sesuai ketika tidur melibatkan bantal atau tilam terlalu tinggi.

    Selain itu, kondisi ini juga mungkin boleh berlaku akibat kemalangan ketika bersukan, bersenam atau sekadar menoleh terlalu laju.

    Namun meletupkannya bukan cara melegakan leher tegang yang terbaik!

    Apa bahaya yang bakal menimpa pelaku?

    Seperti yang telah berlaku kepada 2 orang mangsa di atas tadi, perbuatan ini sebenarnya boleh mendatangkan bahaya besar.

    Jika salah cara atau terlalu kuat letupkan leher, ia mungkin boleh menyebabkan kekoyakan arteri (vertebral artery dissection).

    Ia merupakan keadaan di mana salah satu daripada 4 arteri utama yang terdapat pada belakang leher dan menyalurkan darah ke otak terkoyak.

    Apabila arteri ini terkoyak, maka darah akan mula memasuki dinding arteri lantas membeku.

    Pembekuan darah inilah yang kemudiannya akan menyumbatkan arteri sekali gus mengundang kondisi strok.

    Apa kata pakar tentang bahaya letupkan leher?

    Sebenarnya, tiada jumlah tepat yang dapat direkodkan mengenai kejadian strok akibat manipulasi leher namun ia dipercayai sangat jarang berlaku.

    Meskipun begitu, ia sudah tentu merupakan antara risiko yang tidak wajar diambil!

    Menurut Pakar Neurologi Mollie McDermott dari Michigan Medicine, kebanyakan kes strok akibat manipulasi leher adalah kerana rawatan kiropraktik itu sendiri.

    Kenyataan yang sangat mengejutkan ini sudah tentu akan menimbulkan tanda tanya bahawa adakah rawatan manipulasi tulang seperti ini bahaya atau tidak.

    Ya, ia mungkin juga mempunyai pro dan kontra yang tersendiri.

    leher tegang

    Adakah rawatan kiropraktik itu berbahaya?

    Sehingga kini, masih berlangsung debat di mana persoalan sama ada manipulasi leher adalah kaedah terbaik untuk merawat leher tegang.

    Ia adalah salah satu daripada kaedah dalam rawatan kiropraktik yang membabitkan manipulasi tulang dan harus dilakukan oleh pakar.

    Menurut The National Center for Complementary and Integrative Health, ia sebenarnya adalah selamat selagi dilakukan oleh pakar kiropraktik.

    Namun penerima rawatan juga perlu tahu bahawa masih wujud risiko yang tersendiri termasuklah kekoyakan arteri dan strok.

    Jadi, apakah kaedah alternatif yang boleh dilakukan?

    Lakukan ini jika alami leher tegang!

    Jika anda mengalami ketegangan leher dan mahu melegakannya secara sendiri di rumah, terdapat beberapa pilihan yang boleh dicuba.

    Cleveland Clinic menyarankan agar kalian melakukan regangan ringan ketika sedang duduk dengan cara menaik turunkan bahu anda.

    Cuba lakukannya secara berulang dan perlahan sebanyak 10 kali setiap kali ketidakselesaan ini datang tanpa diundang.

    Selain itu, anda juga boleh cuba menuam bahagian leher anda menggunakan ais atau air suam atau ambil ubatan tahan sakit seperti acetaminophen atau ibuprofen dengan kebenaran doktor.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 30/08/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan