Hukuman berat perlu diberi ke atas pemandu mabuk!
Hakikatnya, sudah banyak insan yang terkorban akibat pemandu mabuk ini. Apa yang menghairankan, hukuman terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab ini masih boleh dikatakan ringan di negara kita.
Untuk pengetahuan anda, kerajaan Taiwan kini sedang bercadang untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap pesalah yang menyebabkan kemalangan maut akibat memandu dalam keadaan mabuk. Adakah ia satu keputusan yang tepat? Terpulang kepada individu untuk menilainya.
Lantaran kes isu kemalangan maut akibat pemandu mabuk yang semakin menjadi-jadi, pihak berkuasa negara ini sudah mula mengkaji semula hukuman yang perlu diberikan terhadap pesalah dan mungkin akan memindanya kelak.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azsman Alias, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat.
Dikatakan, hukuman bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian akan dikenakan denda maksimum RM10,000 dan penjara tidak lebih 12 bulan akan dipinda. Ia adalah satu keputusan yang tepat untuk dilakukan.

Kenapa tidak boleh memandu ketika mabuk?
Jawapannya sudah terang lagi bersuluh. Ini kerana perbuatan ini boleh mengakibatkan kerosakan harta benda awam serta kematian individu yang tidak bersalah.
Tahukah anda, kira-kira 30 orang di Amerika Syarikat meninggal dunia berpunca daripada pemandu mabuk setiap hari? Angka yang sangat mengejutkan, bukan?
Tiada siapa yang mahu angka ini meningkat. Jadi, memandu ketika sedang dalam pengaruh minuman keras sudah tentu adalah satu perbuatan yang tidak seharusnya dilakukan. Namun, tiada siapa yang boleh melarang anda untuk mengambil alkohol. Cuma, jangan memandu semasa mabuk!
Ini sebabnya kenapa kita tidak boleh memandu semasa sedang dalam pengaruh alkohol:
- Reaksi – refleks tubuh badan anda akan menjadi sedikit merosot
- Penglihatan – mata anda akan menjadi sedikit kabur akibat otot mata yang semakin lemah
- Pertimbangan – keupayaan anda untuk menjangka dan memastikan kedudukan kenderaan menjadi kurang tepat
- Konsentrasi – sudah pasti anda yang mabuk ini tidak mampu memberikan perhatian sepenuhnya ketika memandu
- Komprehensi – anda juga tidak mampu membuat keputusan yang rasional ketika ini
- Koordinasi – Keseimbangan mata, tangan dan kaki akan merosot akibat terlalu banyak mengambil alkohol

Apa yang boleh dilakukan?
Ini perkara yang anda perlu beri perhatian sebelum anda mengambil minuman keras bersama rakan-rakan anda dan merancang untuk memandu selepas itu:
- Jangan sesekali memandu. Sebaiknya, dapatkan teksi untuk pulang ke rumah.
- Bawa seorang rakan yang tidak minum alkohol. Minta dia yang memandu untuk menghantar anda pulang.
- Sorok kunci kereta daripada rakan yang sedang mabuk. Jangan biarkan dia memandu.
- Pesan kepada rakan-rakan lain untuk tidak memandu selepas mengambil alkohol. Walaupun jumlah pengambilan hanya sedikit, ia masih boleh membahayakan.
- Pakai tali pinggang keledar setiap masa. Ini mungkin dapat melindungi anda daripada dirempuh pemandu mabuk yang lain di atas jalan raya.
Konklusi
Kesimpulannya, sudah ramai insan tidak bersalah yang terkorban gara-gara pemandu mabuk. Ya, mungkin ada yang anggap ia sebagai satu kemalangan yang tidak disengajakan. Namun, ia adalah salah anda yang mengambil minuman keras tanpa memikirkan akibatnya kelak.
Jadi, sila bertanggungjawab atas setiap perbuatan yang anda lakukan. Jangan semata-mata disebabkan keegoan dan kealpaan anda, orang lain yang menjadi mangsa!
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen