backup og meta

Penyakit Jantung Kongenital

Penyakit Jantung Kongenital

Ingin tahu apa itu penyakit jantung kongenital pada anak dan juga orang dewasa? Teruskan membaca artikel ini kerana kami akan huraikan satu-persatu mengenai definisi, simptom, punca, faktor risiko, diagnosis dan rawatan, serta cara pencegahannya.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.

Definisi

Apa itu penyakit jantung kongenital?

Penyakit jantung kongenital (Congenital Heart Disease – CHD) adalah masalah pada struktur jantung yang wujud sejak dilahirkan.

Penyakit ini boleh menggambarkan beberapa masalah yang berbeza yang mempengaruhi jantung. Ia merupakan jenis kecacatan kelahiran yang paling lazim.

CHD menyebabkan lebih banyak kematian dalam tahun pertama kehidupan berbanding sebarang kecacatan kelahiran yang lain.

Walaupun ini boleh menjadi keadaan yang sangat serius, kebanyakannya boleh dirawat dengan pembedahan. Dalam sesetengah kes, doktor boleh menemui masalah ini sejak kehamilan.

Anda mungkin tidak akan menzahirkan apa-apa simptom sehinggalah dewasa, atau mungkin tiada simptom sama sekali.

Apakah kebarangkaliannya?

Penyakit jantung kongenital boleh menjejaskan pesakit pada mana-mana lapisan umur. Ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor risiko bagi anda dan bayi anda.

Jadi bagi mengurangkan risiko dan merawat penyakit jantung kongenital pada anak dan orang dewasa, sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom

Apakah simptom sakit jantung kongenital?

Penyakit jantung kongenital selalunya dikesan semasa ujian ultrabunyi kehamilan. Sekiranya doktor anda mendengar denyutan jantung yang tidak normal sebagai contoh, mereka mungkin akan menyiasat isu ini selanjutnya dengan melakukan ujian tertentu.

Ini termasuk ekokardiogram, imbasan x-ray dada, atau imbasan MRI. Sekiranya diagnosis dibuat, doktor anda akan memastikan pakar-pakar yang bersesuaian bersedia semasa proses bersalin.

Dalam sesetengah kes, simptom-simptom kecacatan jantung kongenital mungkin tidak muncul sehingga beberapa ketika selepas kelahiran. Bayi yang baru lahir dengan kecacatan jantung mungkin mengalami:

jantung kongenital

  • Bibir, kulit, jari tangan dan kaki yang biru
  • Sesak nafas atau masalah bernafas
  • Kesukaran makan
  • Berat lahir rendah
  • Sakit dada
  • Pertumbuhan yang lambat

Dalam kes lain, simptom kecacatan jantung kongenital mungkin tidak muncul sehingga bertahun-tahun selepas lahir. Apabila simptom telah berkembang, ia mungkin meliputi:

  • Irama jantung yang tidak normal
  • Pening
  • Masalah pernafasan
  • Pengsan
  • Pembengkakan
  • Keletihan

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika bayi anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda.

Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Jadi, adalah dinasihatkan untuk anda membincangkan dengan doktor tentang apa yang terbaik untuk keadaan anda dan bayi.

Punca

Apakah punca penyakit jantung kongenital pada anak?

Penyakit jantung kongenital berlaku akibat masalah pada perkembangan awal dalam struktur jantung.

Kecacatan biasanya mengganggu aliran darah yang normal melalui jantung, yang mungkin akan menjejaskan pernafasan.

Para pengkaji masih tidak pasti mengapa jantung tersebut gagal berkembang dengan betul. Walau bagaimanapun, terdapat faktor risiko tertentu yang boleh diperhatikan oleh ahli keluarga.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada penyakit jantung kongenital?

Terdapat banyak faktor risiko bagi jantung kongenital, seperti:

  • Masalah kecacatan jantung boleh berada dalam jalur keturunan keluarga
  • Masalah pada gen atau kromosom pada kanak-kanak, seperti sindrom Down
  • Mengambil beberapa ubat preskripsi tertentu semasa kehamilan boleh meletakkan bayi pada risiko yang lebih tinggi untuk kecacatan jantung
  • Menggunakan alkohol atau dadah yang haram semasa mengandung dapat meningkatkan risiko anak mengalami kecacatan jantung
  • Ibu yang mengalami jangkitan virus semasa trimester pertama kehamilan lebih cenderung untuk melahirkan anak dengan kecacatan jantung
  • Peningkatan paras gula darah, seperti diabetes, boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak

jantung kongenital

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit didiagnosis?

Doktor mungkin akan menemui beberapa masalah sebelum bayi dilahirkan. Masalah lain pula mungkin dikesan selepas lahir, semasa di alam kanak-kanak, atau setelah dewasa.

Doktor akan mendengar degupan jantung untuk memeriksa tahap kesihatan pesakit. Jika doktor mendengar bunyi desiran jantung atau apa-apa bunyi yang luar biasa, beliau mungkin akan mengarahkan lebih banyak ujian dilaksanakan, seperti:

  • Ekokardiogram: Sejenis ujian ultrabunyi yang berupaya mengambil gambar jantung. Terdapat pelbagai jenis, sila berbincang dengan doktor anda untuk maklumat lanjut
  • Pengkateteran jantung: Doktor akan melalukan tiub yang sangat nipis dan fleksibel (dipanggil kateter) melalui saluran darah di lengan atau kaki untuk mencapai pembuluh darah jantung anda. Dia kemudiannya akan meletakkan pewarna melalui kateter tersebut lalu menggunakan video x-ray untuk melihat di dalam jantung 
  • Imbasan x-ray dada: Ini boleh menunjukkan tanda-tanda kegagalan jantung
  • Elektrokardiogram (ECG atau EKG): Ini akan mengukur aktiviti elektrik jantung
  • MRI: Imbasan yang membolehkan doktor melihat struktur jantung

Bagaimana pesakit dirawat?

Rawatan bagi kecacatan jantung kongenital bergantung kepada jenis dan keparahan kecacatan. Sesetengah bayi mempunyai kecacatan jantung yang ringan yang boleh sembuh sendiri dengan masa.

Yang lain pula mungkin mempunyai kecacatan teruk yang memerlukan rawatan lanjut. Dalam kes ini, rawatan mungkin termasuk yang berikut:

  • Ubat-ubatan: Terdapat pelbagai ubat yang boleh membantu jantung untuk bekerja dengan lebih cekap. Ada juga ubat yang digunakan untuk mengelakkan pembekuan darah daripada terbentuk atau mengawal degupan jantung yang tidak teratur
  • Peranti jantung boleh implan: Beberapa komplikasi yang berkaitan dengan kecacatan jantung kongenital boleh dicegah dengan penggunaan alat tertentu, termasuk alat perentak jantung dan defibrilator kardioverter boleh implan (ICDs). Alat perentak jantung boleh membantu mengawal kadar denyutan jantung yang tidak normal, dan ICD boleh membetulkan degupan jantung tidak teratur yang mengancam nyawa
  • Prosedur pengkateteran: Teknik pengkatateran membenarkan doktor memperbaiki kecacatan jantung kongenital tanpa pembedahan secara langsung pada dada dan jantung. Semasa prosedur ini, doktor akan memasukkan tiub nipis ke dalam urat di kaki dan melalukannya sehingga ke jantung. Apabila kateter berada di kedudukan yang betul, doktor akan menggunakan alat-alat kecil yang dilalukan melalui kateter untuk membetulkan kecacatan
  • Pembedahan jantung terbuka: Pembedahan jenis ini mungkin diperlukan jika prosedur pengkateteran tidak mencukupi untuk membaiki kecacatan jantung kongenital. Pakar bedah boleh melakukan pembedahan jantung terbuka untuk menutup lubang di dalam jantung, memperbaiki injap jantung, atau melebarkan saluran darah
  • Pemindahan jantung: Dalam kes-kes yang jarang berlaku di mana kecacatan jantung kongenital terlalu kompleks untuk diperbaiki, pemindahan jantung mungkin diperlukan. Semasa prosedur ini, jantung kanak-kanak akan digantikan dengan jantung yang sihat daripada penderma

Pencegahan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani penyakit jantung kongenital?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut mungkin membantu anda menangani penyakit jantung kongenital:

  • Jika anda merancang untuk hamil, berbincanglah dengan doktor anda mengenai sebarang ubat preskripsi atau belian kaunter yang anda boleh ambil
  • Jika anda menghidap diabetes, pastikan tahap gula darah anda terkawal sebelum mengandung. Penting juga untuk anda bekerjasama dengan doktor bagi menguruskan penyakit semasa mengandung
  • Jika anda tidak diberi vaksin terhadap rubela, atau demam campak Jerman, elakkan sebarang pendedahan terhadap penyakit itu dan bercakap dengan doktor anda mengenai pilihan pencegahan
  • Jika anda mempunyai sejarah keluarga terhadap kecacatan jantung kongenital, rujuk kepada doktor anda tentang pemeriksaan genetik. Gen tertentu boleh menyumbang kepada perkembangan jantung yang tidak normal
  • Elakkan minum alkohol dan menggunakan dadah haram semasa mengandung

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

[embed-health-tool-heart-rate]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Congenital Heart Defects.

https://medlineplus.gov/congenitalheartdefects.html. Accessed November 6, 2016

Congenital heart disease.

http://www.nhs.uk/conditions/Congenital-heart-disease/Pages/Introduction.aspx. Accessed November 6, 2016

https://www.nhlbi.nih.gov/health-topics/congenital-heart-defects

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/adult-congenital-heart-disease/symptoms-causes/syc-20355456

https://www.stanfordchildrens.org/en/topic/default?id=congenital-heart-disease-90-P02346

https://www.cdc.gov/ncbddd/heartdefects/data.html

https://www.heart.org/en/health-topics/congenital-heart-defects/about-congenital-heart-defects#.VsQY1ZMrLBJ

Versi Terbaru

09/06/2021

Ditulis oleh Muhammad Ikraam Abdul Latif

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Kecacatan Jantung Kongenital dalam kalangan Kanak-kanak

Penyakit Jantung Kongenital bagi Orang Dewasa


Fakta Disemak oleh

Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Muhammad Ikraam Abdul Latif · Disemak pada 09/06/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan