Kita semua tahu bagaimana bunyi jantung kita berdegup, ia berdegup perlahan ketika kita bersantai dan berdegup kencang apabila kita melakukan aktiviti berlari. Namun jika kita mempunyai masalah jantung, keupayaan kita untuk melakukan kerja-kerja ringan atau aktiviti seharian seperti menaiki tangga boleh terjejas, memberi impak buruk terhadap kehidupan pesakit berkenaan. Baru-baru ini kempen #KeepItPumping telah diadakan, bertujuan untuk memperkasakan pesakit serta orang ramai agar memainkan peranan aktif dalam usaha untuk melindungi jantung dan membebaskan diri daripada belenggu simptom kegagalan jantung yang mengecewakan serta melemahkan.
Kegagalan jantung memberi kesan kepada lebih 60 juta pesakit di seluruh dunia. Kajian telah menunjukkan bahawa rakyat Malaysia lebih berisiko berbanding rakyat negara lain, memandangkan kadar kegagalan jantung di negara ini lebih tinggi berbanding dengan negara-negara lain (iaitu pada kadar 6.7% berbanding 0.5-4.5% di negara-negara lain). Kegagalan jantung dalam kalangan pesakit di Asia Tenggara turut membabitkan mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang buruk dengan faktor risiko penyakit vaskular seperti hipertensi, obesiti dan diabetes. Tambahan pula, kebanyakan penghidap kegagalan jantung di Asia terdiri daripada mereka yang berusia 10 tahun lebih muda berbanding pesakit di Eropah, menjejaskan produktiviti ekonomi golongan berkenaan.
Profesor dan Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr Chee Kok Han berkata salah anggap berkaitan simptom kegagalan jantung menjadi punca kenapa ramai tidak mendapatkan rawatan awal. “Kegagalan jantung merupakan satu keadaan yang serius serta kronik dan ia boleh beransur-ansur menjadi semakin buruk dan akhirnya memendekkan hayat anda. Kadar progressinya juga sukar diramalkan, dan ia boleh memberi kesan signifikan terhadap kualiti hidup seseorang pesakit itu. Walau bagaimanapun seseorang pesakit itu boleh menghalang keadaan menjadi bertambah buruk dengan mengamalkan perubatan moden dan mengubah gaya hidup,” tambah Prof. Chee.
Selain daripada mengambil ubat preskripsi, senaman juga merupakan komponen penting dalam pengurusan optimum penyakit untuk penghidap kegagalan jantung, membantu mengurangkan progressi simptom-simptom disamping menggalakkan mereka untuk mengamalkan gaya hidup aktif. Penghidap kegagalan jantung itu boleh mengelak daripada kerap dimasukkan ke hospital, meningkatkan kualiti hidupnya dan mengurangkan kadar kematian dalam jangka masa panjang dengan menjalani proses pemulihan berasaskan senaman serta pematuhan terhadap rawatan. Tambahan pula, senaman yang kerap turut dapat mengurangkan risiko hipertensi dan obesiti seterusnya dapat membantu menghalang berlakunya kegagalan jantung dan melindungi jantung orang ramai secara keseluruhannya.
“Pertambahan aktiviti fizikal beserta dengan ubat-ubatan yang sesuai amat bermanfaat untuk penghidap kegagalan jantung. Ia berupaya memulihkan fungsi jantung dengan menguatkannya untuk mengepam dengan lebih berkesan dan membantu mengatasi simptom kelesuan. Anda dinasihatkan agar berbincang dengan doktor atau jururawat sebelum memulakan program pemulihan berasaskan senaman sebagai sebahagian daripada kaedah rawatan anda, bagi memastikan anda tidak mengenakan tekanan yang terlalu tinggi ke atas jantung anda. Para pesakit boleh mula dengan melakukan aktiviti asas seperti: berjalan dengan kerap di kawasan yang mempunyai teduh dan tempat untuk beristirahat, dan selepas itu berjalan kaki ke kedai-kedai atau naik tangga, apabila sudah yakin terhadap gejala kegagalan hati dan bertambah baik dari segi ketahanan,” kata Pakar Pemulihan Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Pensyarah Senior Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr Anwar bin Suhaimi.
“Ketika ini, masih belum ada penawar untuk kegagalan jantung.”
“Walau bagaimanapun pesakit boleh mengurangkan simptom yang dialami dengan mengambil tindakan aktif dalam menjaga kesihatan jantung mereka yang turut berpotensi mengurangkan keparahan penyakit berkenaan. Dengan melakukan rawatan perubatan serta aktiviti fizikal yang dibentuk khas untuk setiap pesakit, ia dapat membantu meningkatkan keupayaan mereka melakukan aktiviti seharian dan akhirnya meningkatkan kualiti hidup mereka,” tambah Dr Anwar lagi.
“Ketika saya dikesan menghidap kegagalan jantung pertama kali, setiap langkah yang saya ambil adalah perjuangan. Saya tidak dapat menaiki tangga sepenuhnya tanpa berasa pening dan tercungap-cungap. Lama kelamaan, keadaan saya bertambah buruk, dan setahun saya terlantar di katil,” kata penghidap kegagalan jantung, Iryani Abd Jamil.
“Selepas saya membuat temujanji dengan pakar, doktor telah membantu saya untuk memahami keadaan saya dengan lebih baik serta memberitahu cara untuk merawatnya. Kami bersama-sama telah membentuk cara untuk saya mengawal semula jantung saya. Dengan bantuan keluarga saya, saya berjaya mengamalkan gaya hidup sihat. Ini termasuklah melakukan senaman ringan bagi membantu saya menjadi lebih aktif serta menjaga jantung saya, dan saya mula menggalakkan mereka di sekeliling saya untuk melakukan perkara sama,” tambah Iryani.
Pada pelancaran kempen #KeepItPumping tahun ini, Iryani bersama-sama dengan sekumpulan pesakit pemulihan kegagalan jantung dari Pusat Pemulihan Jantung, Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mempersembahkan tarian aerobik yang memukau para pengunjung. Pesakit-pesakit berkenaan yang berusia antara 29 hingga 60 tahun, masing-masing telah melalui perjalanan hidup yang unik sebagai penghidap kegagalan jantung. Mereka telah membuktikan bagaimana pengetahuan mengenai pengurusan holistik dapat memperkasakan mereka untuk menikmati kehidupan yang normal dan sempurna.
Dengan meningkatkan pengetahuan mengenai kegagalan jantung serta mengambil tindakan proaktif terhadap kesihatan diri kita, kita dapat membantu jantung-jantung negara kita. Aktiviti fizikal dapat membantu anda mengurangkan risiko kegagalan jantung dengan mengurangkan beban serta kadar faktor risiko berkaitan. Anda boleh memastikan jantung anda terus mengepam dengan mengambil langkah-langkah kecil ke arah penjagaan kesihatan.
[embed-health-tool-heart-rate]