Sakit Pada Kulit, Bahaya Pada Jantung! Jangan Abaikan Jangkitan Kayap
Ramai menganggap kayap hanya berkaitan kulit, ruam dan sakit saraf. Namun bagi mereka yang pernah menghidap sakit jantung, jangkitan kayap sebenarnya boleh memberi tekanan lebih besar kepada sistem kardiovaskular.1

Kayap mencetuskan keradangan sistemik dalam tubuh yang boleh menjejaskan fungsi salur darah dan jantung. Kesan keradangan ini memberi risiko tambahan, khususnya dalam kalangan individu yang mempunyai sejarah penyakit jantung.2
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Jantung, klik di sini.
Bukan sekadar ruam: Kayap jejaskan seluruh tubuh
Kayap bukan sekadar ruam pada kulit. Ia adalah jangkitan virus Varicella-Zoster yang boleh menjejaskan saraf, sistem tindak balas tubuh dan kesihatan jantung.
Semasa jangkitan aktif, tubuh menghasilkan keradangan yang boleh mengganggu fungsi organ lain, termasuk jantung.
Kajian menunjukkan bahawa keadaan kardiovaskular yang lemah boleh meningkatkan risiko kayap. Malah berdasarkan analisis, pesakit jantung mempunyai 34% peningkatan risiko kayap berbanding individu tanpa masalah jantung. (meta-analysis; RR: 1.34; 95% CI: 1.17–1.54) 2*
Ini bermakna mereka yang sudah menghidap penyakit jantung lebih mudah terkesan oleh jangkitan ini.
Dalam konteks tersebut, persoalan seperti kenapa boleh kena serangan jantung atau tanda tanda ringan sakit jantung menjadi lebih relevan. Ini kerana keradangan akibat kayap boleh memburukkan keadaan jantung sedia ada.

Infografik ini adalah hak milik Hello Doktor.
Rujukan: Mayo Clinic Staff. (2023, October 09). Heart attack. Mayo Clinic. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/heart-attack/symptoms-causes/syc-20373106.
Tekanan tersembunyi kayap terhadap jantung
Jangkitan kayap dikaitkan dengan peningkatan risiko komplikasi kardiovaskular. Antara mekanisme yang dicadangkan adalah keradangan yang boleh menjejaskan lapisan dalam salur darah serta meningkatkan kecenderungan pembentukan darah beku:5
- Keradangan boleh menyebabkan penebalan lapisan dalam salur darah dan kerosakan pada lapisan elastiknya5
- Keradangan sistemik boleh meningkatkan kecenderungan pembentukan darah beku5
- Jangkitan kayap dikaitkan dengan peningkatan strok, terutama dalam beberapa bulan pertama selepas jangkitan5
Dalam satu kajian berasaskan komuniti di Amerika Syarikat yang melibatkan orang dewasa berusia 50 tahun ke atas, kayap dikaitkan dengan peningkatan odds strok sebanyak 53%3 dalam tempoh tiga bulan selepas jangkitan, selepas mengambil kira faktor risiko lain.3**
Selain risiko strok, kesihatan jantung juga perlu diberi perhatian, termasuk dengan mengenali tanda sakit jantung.
Tekanan emosi akibat kesakitan kayap juga boleh menjejaskan kesihatan jantung. Hal ini berkait dengan persoalan adakah stress boleh menyebabkan sakit jantung, memandangkan tekanan kronik sememangnya boleh memberi kesan kepada fungsi jantung.
Kayap & penyakit jantung: Gabungan tidak boleh diabaikan
Bagi mereka yang sudah mempunyai sejarah penyakit jantung seperti tekanan darah tinggi, arteri tersumbat atau kegagalan jantung, jangkitan kayap boleh memberi kesan yang lebih berat berbanding individu lain.4

Penyelidikan menunjukkan jangkitan kayap boleh meningkatkan:
- Risiko peristiwa kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok, terutamanya dalam tempoh beberapa bulan selepas jangkitan4
- Keradangan pada salur darah yang boleh menyebabkan penyempitan dan gangguan aliran darah ke jantung5
- Beban kerja jantung, terutamanya bagi individu yang sudah mempunyai penyakit jantung sedia ada6
Dalam sesetengah kes, tekanan fisiologi ini boleh mencetuskan gejala seperti tanda sakit jantung, terutamanya bagi mereka yang mempunyai salur darah sempit atau fungsi jantung yang lemah.
Penyelidikan menunjukkan bahawa jangkitan kayap boleh memberi kesan tambahan kepada sistem kardiovaskular, terutamanya bagi individu dengan penyakit jantung sedia ada, sekali gus menyebabkan simptom yang lebih teruk dan pemulihan yang lebih perlahan.7
Ini termasuk ruam yang lebih lambat kering, kesakitan saraf yang lebih kuat serta risiko komplikasi jangka panjang yang lebih tinggi.7
Keadaan ini menjadikan kawalan tekanan darah, paras kolesterol dan semua faktor risiko jantung sangat penting. Bukan sahaja untuk kesihatan jantung, tetapi juga untuk mengurangkan kemungkinan kesan kayap menjadi lebih teruk.7
Risiko tidak berhenti selepas ruam hilang
Walaupun ruam kayap sudah pudar, kesannya terhadap kesihatan boleh berlarutan. Kesakitan saraf berpanjangan merupakan antara komplikasi kayap yang boleh menjejaskan kualiti hidup.8 Sementara itu, sejarah jangkitan kayap turut dikaitkan dengan peningkatan risiko kardiovaskular jangka panjang.4

Komplikasi paling biasa adalah Postherpetic Neuralgia (PHN), iaitu sakit saraf berpanjangan yang memberi tekanan dalam tubuh.8
Lebih 30% pesakit kayap mengalami PHN dan bagi mereka yang ada sejarah penyakit jantung, tekanan berpanjangan ini meningkatkan lagi risiko jantung untuk bekerja lebih keras.8
Beberapa gejala awal yang dikaitkan dengan tanda tanda ringan sakit jantung, misalnya rasa tidak selesa di dada, keletihan luar biasa atau degupan jantung tidak teratur, boleh menjadi petunjuk bahawa jantung sedang tertekan semasa atau selepas pemulihan.
Cara lindungi jantung & langkah pencegahan kayap
Walaupun kayap boleh memberi kesan besar kepada jantung, pencegahan boleh membantu mengurangkan risiko komplikasi.
Antara langkah yang boleh diambil adalah:9,10,11
- Pemeriksaan dengan doktor mengenai pencegahan kayap, terutamanya jika anda ada sejarah penyakit jantung
- Mengawal stres, paras kolesterol dan tekanan darah
- Mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengurangkan keradangan tubuh
- Memantau tanda sakit jantung dan dapatkan rawatan segera jika gejala muncul
Memahami hubungan antara kayap dan keradangan adalah langkah penting untuk mengurangkan risiko jangka panjang.
Berbincang dengan doktor anda di klinik dan hospital terdekat anda sekarang sebagai langkah pencegahan awal!
*Figure 2 – Keputusan gabungan daripada meta-analisis melibatkan 18 faktor risiko kayap merangkumi 88 kajian pemerhatian (penerbitan tidak melaporkan umur median, kadar insiden atau risiko mutlak).3 Kumpulan kawalan (populasi umum atau individu tanpa penyakit) berbeza antara setiap kajian.3 Mekanisme patologi yang menyebabkan peningkatan risiko tidak dilaporkan. Keadaan kardiovaskular yang dimasukkan dalam meta-analisis ini juga berbeza antara kajian, termasuk penyakit jantung, kegagalan jantung, hipertensi, strok, fibrilasi atau flutter atrium, serta penyakit kardiovaskular lain.12-27 Peningkatan risiko tidak signifikan secara statistik dalam semua kajian yang disertakan.28
**Dalam tempoh 3 bulan selepas jangkitan kayap.
*Semua kandungan dihasilkan oleh Hello Doktor

Program pendidikan ini dibawakan kepada anda oleh GSK.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi doktor anda.
GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd 195801000141(3277-U)
©2026 syarikat kumpulan GSK atau pemegang lesennya.
NP-MY-HZU-WCNT-250004 10/26