Terdapat banyak gaya hidup sihat yang boleh diamalkan. Dalam artikel ini, kita berikan fokus kepada 2 perkara yang paling penting: pemakanan dan senaman.
1. Pemakanan yang sihat
Bukan khas untuk golongan senior sahaja, semua peringkat umur harus mengambil berat terhadap pemakanan. Namun, perhatian lebih perlu diberikan kepada mereka yang berumur kerana kebiasaannya, banyak penyakit datang pada waktu ini. Sakit jantung, darah tinggi, diabetes, buah pinggang, gout dan artritis. Semua ini adalah penyakit yang kerap berlaku.
Pilihan jenis makanan adalah sangat penting. Elakkan makanan kurang berkhasiat seperti air berkarbonat, biskut, donut dan alkohol. Makanan bergaram tinggi juga harus dikurangkan. Contohnya nugget, burger, sos cili dan tomato serta sos tiram.
Banyakkan sayur-sayuran, buah-buahan serta sumber protein seperti ikan, daging dan ayam. Bagi mereka yang menghidap penyakit tertentu, sila berbincang dengan doktor berkenaan diet yang terbaik. Tidak perlu terlalu ketat dalam merancang diet. Jangan sampai semua tak boleh dimakan sehingga anda tertekan.
2. Senaman berkala
Senaman adalah satu keperluan. Khusus bagi warga emas, senaman membantu mencegah atau mengawal tekanan darah, kesihatan jantung, kadar gula dan fungsi sendi serta menstabilkan emosi. 3 kali senaman seminggu dengan setiap sesi selama 30 minit sudah memadai.
Senaman mudah seperti berjalan, joging atau berbasikal antara pilihan yang baik. Walau bagaimanapun, sesetengah penyakit seperti sakit jantung kadangkala mengehadkan pergerakan dan stamina. Ia juga mungkin bahaya bagi anda untuk bersenam secara berlebihan kerana jantung anda mungkin tidak dapat menanggung beban yang terlalu banyak.